Isnin, 22 Ogos 2011

Next.. BERSIH 3.0..!!

PAS: Ketidakikhlasan BN semarak semangat himpunan BERSIH 3.0
Pakatan Rakyat akan bermesyuarat Rabu ini untuk membuat keputusan bersama terhadap ketidakikhlasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN melakukan reformasi sistem pilihanraya sebelum pilihan raya umum ke-13.

Ia ekoran kenyataan perdana menteri bahawa pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa dan ia tidak perlu menunggu keputusan jawatankuasa khas parlimen mengenai reformasi pilihan raya.

Menurut ketua penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi menimbang penyertaan dalam Jawatankuasa Khas Parlimen, kerana berpendapat, ianya tidak membawa sebarang makna setelah perdana menteri membuat kenyataan sedemikian.

Sambil menyuarakan kekesalan PAS, beliau berkata: "Kenyataan tersebut membuktikan sikap sebenar kerajaan terhadap tuntutan rakyat agar sistem pilihanraya yang bersih dan adil dapat diwujudkan, sebelum PRU akan datang.

"Tujuan utama Jawatankuasa Khas ini ialah merumus satu sistem pilihanraya yang adil dan bersih, setelah pelbagai kelemahan dibongkar.

"Apa guna dibentuk jawatankuasa Khas, sekiranya kerajaan sudah memberikan bayangan jelas bahawa pilihanraya umum akan diadakan sebelum jawatankuasa itu menyiapkan laporan dan sekaligus memberikan petanda yang jelas bahawa sememangnya kerajaan BN tidak bersedia untuk menerima dan memperbaiki kelemahan yang ada," katanya Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, adalah mustahak bagi rakyat bahawa inisiatif mengatasi kelemahan dan hilangnya keyakinan mereka terhadap sistem pilihanraya yang ada kini diperbetulkan terlebih dahulu supaya satu perjalanan sistem pilihanraya yang bersih dan adil di Malaysia dapat dijalankan.

"Sekiranya tidak, apa gunanya rakyat mengundi sekiranya keputusan pilihanraya bukan keputusan yang membayangkan hasrat mereka sebenar di akar umbi, tetapi hasrat pengundi hantu dan warga asing yang berlambak untuk memenangkan calon parti tertentu," tambahnya.

Tegasnya, kerajaan harus menyedari kemarahan rakyat dan tuntutan dalam perhimpunan aman BERSIH 2.0 baru- baru ini.

"Sikap kerajaan yang menolak diadakan pilihanraya sebelum sistem diperbaiki sudah tentu akan mengundang kemarahan rakyat dan tahap kebolehpercayaan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan terus merosot.

"Keadaan ini sangat tidak baik bagi negara, dan terutamanya kerajaan memerintah dan tidak mustahil parti- parti dalam Pakatan Rakyat akan menarik diri ekoran kenyataan Perdana Menteri.

"Ketidakikhlasan kerajaan Barisan Nasional ini juga dijangka akan mempercepatkan bantahan rakyat, justeru menyemarakkan semangat untuk himpunan BERSIH 3.0 diadakan," tambahnya.

PAS, tegasnya, ingin tegaskan bahawa kerajaan tidak patut dan sememangnya "ia amat tidak bertanggungjawab untuk membubarkan Parlimen dalam keadaan mereka sedar bahawa sistem pilihanraya negara kita sememangnya tempang berhadapan dengan kelemahan dan kepincangan yang pelbagai.

"Sila memperbaiki dahulu beberapa kelemahan yang utama, barulah diadakan pilihanraya ke 13, demi rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat," katanya.

http://www.malaysiakini.com/news/173666

Tiada ulasan:

Catat Ulasan