Jumaat, 30 September 2011

Takut pada kezaliman Umno BN, bukannya hudud

Harakahdaily
http://a7.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/228715_209597775739372_100000674526688_663116_5983582_n.jpg
KUALA LUMPUR, 30 Sept: Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh menegaskan bahawa warga Malaysia bukan Islam hanya perlu takut kepada kezaliman yang dilakukan oleh Umno ke atas mereka dan statistik kadar jenayah sepanjang 54 tahun negara merdeka.

Menurutnya, orang bukan Islam tidak perlu takut dan bimbang kepada hukum hudud kerana ianya hanya terbatas perlaksanaannya ke atas umat Islam sahaja dan tidak melibatkan mereka.

Jelasnya, orang bukan Islam diberikan pilihan untuk memilih undang-undang hudud sekiranya itu adalah pilihan mereka.

“Non Muslim tak perlu gusar dengan hukum hudud, yang perlu mereka bimbang dan takut ialah kezaliman Umno BN yang telah dilakukan sepanjang 54 tahun kita merdeka, kezaliman Umno sudah pun terbukti dan diketahui umum, namun hudud pasti akan menjamin keadilan,” kata beliau.

Katanya, kalau dilihat kadar jenayah yang berlaku di negara ini, ia amat menggerunkan.

Tambahnya, ini adalah sangat tidak baik untuk keselamatan rakyat Malaysia dan akan memberikan ancaman kepada perkembangan ekonomi negara.

“Bukan Islam juga perlu tahu bahawa mereka tidak tertakluk kepada undang-undang hudud ini, namun kita tidak menyekat permintaan mereka sekiranya mereka meminta supaya diadili dengan hukum hudud, kita tahu ramai bukan Islam juga turut menyokong perlaksanaan hukum hudud,”tambah beliau lagi.

Justeru, beliau turut meminta pihak bukan Islam agar tidak campur tangan dalam urusan berkaitan dengan Islam yang telah terjamin keistimewaannya dalam perlembagaan sebagai agama rasmi negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan