Ahad, 11 September 2011

UMNO Terpukul Sebagai Talibarut Penjajah, Zainal Kling Pusing Kata Malaya Tak Pernah Dijajah!

Zainal Kling: Malaya tak pernah terjajah

Berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British, dakwa sejarahwan Profesor Datuk Dr Zainal Kling.

"Fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British). Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik," katanya.
Katanya lagi, sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi.

"Dinaungi tidak sama dengan kolonial... Hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan iaitu, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

"(Negeri-negeri) yang lain adalah dinaungi (atau) dilindungi... Sejak mula Tanah Melayu bukan tanah jajahan atau koloni. Ini fakta sejarah dan perspektif sejarah (itu) perlu diubah.

"Jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang amat besar," katanya di Putrajaya hari ini.

MKN: Kesan pentadbiran British satu bentuk penjajahan

Katanya, Tanah Melayu hanya terjajah selama dua tahun sewaktu pemerintah Malayan Union pada awal 1946 hingga akhir 1947 dan di zaman penjajahan Jepun.

Sementara itu, Majlis Profesor Negara (MPN) dalam kenyataannya berkata, zaman pentadbiran British yang disamakan dengan "penjajahan British" sebenarnya tidak sahih dan tidak wajar digunakan.

Bagaimanapun, menurut majlis itu "kesan pentadbiran British itu merupakan satu bentuk penjajahan".

"British diberi kuasa untuk 'mentadbir' dari segi pengurusan am dan kewangan serta eksploitasi khususnya sumber alam.

"Penilaian pengkaji sejarah kolonialisme British terhadap perilaku 'penjajahan' British itu disifatkan sebagai 'breach of trust' atau 'indirect rule'.

"Mereka kelihatan melakukan penjajahan walaupun tidak sahih, walaupun hal ehwal Persekutuan Tanah Melayu terletak bawah pentadbiran Pejabat Tanah Jajahan di Britain tetapi kedaulatan Melayu tetap terpelihara," kenyataan itu dipetik.

Sekarang siapa yang mahu cuba pesongkan fakta sejarah?

Apakah kerana UMNO terpukul dengan label talibarut penjajah maka sekarang seorang professor diminta untuk menyatakan bahawa pendudukan British di tanahair bukan berstatus penjajah?

Jika demkian halnya, mengapakah Tunku Abdul Rahman menjerit-jerit perkataan MERDEKA sebanyak tujuh kali di Padang Kelab Selangor pada 31 Ogos 1957 yang disaksikan oleh 20,000 orang hadirin? Merdeka dari apakah itu? Bukankah merdeka dari penjajahan?

Lagi besar sejarah hendak diputarbelitkan, lebih besar dari sejarah mat Indera yang dituduh komunis yang hanya bersandarkan sekeping buku seorang komunis Abdullah CD namanya.

Namanya "naungan British". Hakikatnya itulah penjajahan.

Jika "dinaungi" atau "dilindungi" semata-mata, maka kita tidak sebut MERDEKA selepas selepas bebas daripadanya.

Mari kita tinjau erti kemerdekaan seperti yang diterbitkan di portal
SAMBUTAN 54 TAHUN KEMERDEKAAN.

"Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara."

Di situ sudah jelas terungkap perkataan PENJAJAHAN dan membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing!

Nak putar macam mana lagikah wahai UMNO tentang hakikat bahawa kamu adalah talibarut penjajah dan bahawa sesungguhnya kamulah sekarang ini yang hendak mengubah fakta sejarah? -GB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan