Rabu, 29 Februari 2012

Kes Khalwat Dr. Badrul Amin - PR Lebih Telus Dari BN


Kes khalwat yang dikaitkan dengan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR dan Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Badrul Amin Baharom kini bagaikan badai baru yang melanda parti itu dan juga Pakatan Rakyat secara keseluruhannya. Pelbagai cerita dan versi boleh diperolehi mengenai kes itu sama ada melalui media massa tradisional mahupun melalui media internet.

Meskipun kes tersebut masih dalam proses siasatan dan mengumpul bukti tetapi dari segi politiknya Pakatan Rakyat terutamanya PKR menerima tamparan paling hebat dan mungkin menjejaskan sedikit keyakinan rakyat menjelang pilihanraya umum akan datang.

Rakyat yang selama ini sudah muak dengan cara pentadbiran UMNO dan BN dan mengharapkan sebuah kerajaan baru selepas PRU 13 dengan sandaran utama diharapkan kepada Anwar Ibrahim serta Pakatan Rakyat yang diyakini mampu membawa nafas segar kepada negara dengan pengenalan ciri-ciri pentadbiran yang lebih baik, telus, mengutamakan rakyat, tidak rasuah serta tata kelola yang lebih meyakinkan, mungkin sedikit goyang dengan kes Badrul Amin ini.

Meskipun kes ini belum dibuktikan kesahihannya dan masih dalam proses siasatan sama ada akan dilakukan pendakwaan atau sebaliknya, hakikat yang nyata ialah wujudnya kecuaian di pihak Badrul Amin sendiri.

Sebagai seorang yang sudah matang dan berpendidikan agama pula, beliau sepatutnya boleh mengelakkan diri daripada terjebak dalam kes ini lebih awal lagi jika lebih berhati-hati dan tidak membiarkan dirinya terlalu terdedah kepada unsur-unsur syak wasangka serta fitnah.

Kalau pun terlalu ingin bertanggungjawab dalam menghulurkan bantuan serta menunjukkan sikap budiman sebagai seorang lelaki, Badrul Amin sepatutnya boleh mengelakkan daripada bertemu dengan bukan muhrim di waktu yang tidak sesuai seperti tengah malam atau awal pagi.

Begitu juga untuk menguruskan pendaftaran bilik hotel, beliau sepatutnya hanya menguruskan setakat di kaunter pendaftaran sahaja dan tidak terlajak sampai memasuki bilik hotel wanita yang bukan muhrim dan masih bersuami itu.

Bagaimanapun kerana kecuaian dan kealpaan dalam menjaga maruah diri, keluarga serta jemaah, Badrul Amin akhirnya terperangkap. Walaupun belum didakwa serta belum dibuktikan bersalah atau tidak, hakikatnya rasa malu dan aib sudah pun terhentak ke bahu beliau, keluarganya, PKR serta Pakatan Rakyat seluruhnya.

Dalam hal ini mujurlah Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor telah bertindak pantas menyelamatkan maruah parti dan gabungan pembangkang degan segera memberikan cuti sebulan kepada Badrul Amin untuk menyelesaikan masalahnya itu.

Sebagai Ketua Penerangan kerajaan Selangor dan penasihat agama kepada Menteri Besar Selangor, tugas Badrul Amin adalah penting bukan sahaja dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat tetapi juga memberi imej baik kepada kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Tindakan Khalid yang segera mengarahkan Badrul Amin bercuti untuk menyelesaikan masalahnya itu adalah tindakan paling terpuji dan membuktikan ketelusan Pakatan Rakyat dalam berhadapan dengan sesuatu isu yang melibatkan kepentingan parti dan rakyat. Dengan tindakan ini, rakyat sekurang-kurangnya tetap menaruh keyakinan dan kepercayaan bahawa Pakatan Rakyat tidak sesekali bersekongkol dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma masyarakat. Tiada istilah melindungi atau mahu menutup kesalahan sesiapa saja disabitkan dengan sesuatu tuduhan yang melibatkan undang-undang.

Dalam kes Badrul Amin, pendirian Khalid dan Pakatan Rakyat adalah cukup jelas iaitu biarlah beliau diberi peluang membersihkan dirinya dan membuktikan sama ada beliau bersalah atau sebaliknya. Jika didapati tidak bersalah kemudiannya, beliau boleh kembali berkhidmat dengan jawatan lamanya tetapi andainya didakwa dan terbukti bersalah, Pakatan Rakyat telah memberi isyarat yang jelas kepada rakyat bahawa Badrul Amin seharusnyalah mengundur diri.

Tindakan pantas Khalid ini bukan sahaja berjaya menyelamatkan maruah Kerajaan Negeri Selangor yang begitu diidam-idamkan oleh Najib untuk dirampas dalam pilihanraya akan datang tetapi juga menyelamatkan imej Pakatan Rakyat di mata umum.

Sekurang-kurangnya dengan tindakan Khalid itu, Pakatan Rakyat telah membuktikan ia jauh lebih baik dan telus berbanding BN. Dalam kes lembu NFC misalnya, Najib dan Kerajaan BN masih teragak-agak untuk bertindak tegas terhadap Shahrizat meskipun pelbagai bukti sudah didedahkan dan pihak polis sendiri sudah mencadangkan kepada Peguam Negara agar tindakan undang-undang kerana pecah amanah diambil terhadap mereka yang terbabit.

Najib bukan sahaja masih menyimpan Shahrizat dalam kabinetnya tetapi cuti tiga minggu yang diberi kepada Shahrizat baru-baru ini pun hanya diambil setelah pelbagai bukti dan desakan dilakukan oleh pebagai pihak. Desakan agar Shahrizat berhenti atau diberhentikan daripada kabinet bukan saja datang daripada rakyat dan pembangkang tetapi juga daripada kalangan pimpinan UMNO sendiri. Namun Najib tetap tiada keberanian untuk bertindak.

Begitu juga dalam kes-kes lain yang melibatkan moral dan persepsi rakyat berkaitan pimpinan UMNO dan kerajaan, UMNO dan BN selalu berpegang kepada alasan klise dan lapuk iaitu seseorang tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Ini menjadikan ramai pimpinan UNMO dan kerajaan yang dituduh dan dikaitkan dengan pelbagai dakwaan tidak diambil apa-apa tindakan dan seolah-olah dilindungi pula.

Kadang-kadang dalam sesuatu kes yang didedahkan dan melibatkan pimpinan UMNO dan kerajaan, meskipun satu demi satu bukti ditunjukkan, kerapkali ia juga cuba ditutup dengan pelbagai helah dan alasan untuk mengelakkan pendakwaan seperti kes Jamil Khir dengan wang zakatnya serta beberapa kes rasuah dan salah laku yang melibatkan pemimpin-pemimpin lainnya.

Dalam hal ini, tindakan pantas Khalid dalam menangani kes Badrul Amin adalah paling tepat dan sekurang-kurangnya berjaya mengubah persepsi rakyat yang pada mulanya agak terjejas dengan kejadian itu. ~shahbudindotcom

Tiada ulasan:

Catat Ulasan