Sabtu, 7 April 2012

Himpunan Bersih 3.0 : SPRTidak Perlu Merasa ‘Gelisah’

 
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar supaya jangan panik dengan pengumuman Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk menganjurkan perhimpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April 2012. Bagi DPPM, kenyataan Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang menyifatkan perhimpunan ini sebagai tindakan terburu-buru menunjukkan ‘kegelisahan beliau dalam melindungi sesuatu’.

Sepatutnya, Datuk Wan Ahmad tidak perlu mengulas Himpunan Bersih 3.0 kerana itu bukan kerja beliau. Tugas utama beliau, adalah memastikan perjalanan pilihnraya berlangsung dengan adil dan bersih. Beliau tidak perlu bertindak bagi pihak Perdana Menteri atau kerajaan Malaysia. Yang perlu mengulas isu himpunan Bersih 3.0 adalah kerajaan, sama ada Perdana Menteri, menteri terbabit atau pihak polis. Kenyataan beliau menyerlahkan lagi tahap kecondongannya kepada satu pihak.

Datuk Wan Ahmad tidak perlu merasa cemas kerana himpunan Bersih 3.0 adalah perhimpunan aman. Tujuannnya adalah untuk mengingatkan kerajaan dan SPR agar berlaku adil dalam PRU ke 13. Jangan menipu, jangan menyeleweng, jangan main wayang atau ‘silap mata’. SPR jangan bimbang kerana hasil himpunan ini rakyat sendiri akan memerhati setiap pergerakan SPR mahupun kerajaan dalam PRU ke 13 dan setiap penipuan pasti akan dapat dihidu dan dibongkarkan. Ini kerana sudah banyak hints oleh banyak pihak sebagai gambaran PRU ke 13 adalah pilihanraya yang paling kotor dan rakyat tidak bersedia mendengarnya.

Justeru, jika SPR yakin tidak ada unsur penipuan selama ini apa yang hendak ditakutkan? SPR patut ucap terima kasih kerana rakyat membantu melicinkan lagi usaha SPR mahu membersihkan sistem pilihanraya. Bersih 3.0 juga membantu PSC dalam mendesak kerajaan mempercepatkan pembersihan pilihanraya. Hanya dibimbangi rakyat usul PSC tidak sempat dilaksanakan kerana Perdana Menteri membubarkan parlimen mengikut hati beliau.

Himpunan Bersih 3.0 juga adalah sebagai ‘loceng amaran’ kepada rakyat supaya bersedia menghadapai PRU ke 13 yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa. Himpunan Bersih 3.0 akan mengingatkan rakyat supaya mengosongkan tarikh pada 2 bulan terakhir ini (Mei dan Jun) agar jangan menyusun jadual ke luar negara. Memandangkan Perdana Menteri tidak mahu mengumumkan tarikh awal pilihanraya, rakyat hidup dalam keadaan teraba-raba. Justeru, Bersih 3.0 terpaksa diadakan bagi membina momentum rakyat menghadapi PRU 13.

Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan