Saya ditahan sekitar
jam 350 petang semalam dekat OCBC ketika hendak pergi basuh muka di paip di
situ. Penguatkuasa DBKL dan polis ramai-ramai keroyok saya dan menjerit: “Ini
baju kuning tangkap!”.Saya tak kenal atau ingat identiti mereka tetapi saya
terus diseret dan dimaki hamun.Mereka kelihatan hendak mengejar orang lain
tetapi bila mereka gagal mereka terus cekup saya hanya kerana saya pakai baju
kuning BERSIH! Aneh. Sejak bila pakai baju kuning satu jenayah di Malaysia? Itu
sudah cukup jelas untuk memberi kita isyarat tentang integriti polis dan agensi
lain termasuk DBKL.
“Tua tak sedar diri,
dah tua duduk rumah sajalah.”
Itulah antara ejekan
yang saya dengar sewaktu diheret oleh anggota polis untuk dikumpul di depan
DBKL. Kemudian saya ada mendengar rungutan yang polis turut mengejek kami: “Ini
semua anjing Anwar Ibrahim’” Sewaktu diheret polis mengugut seorang petugas
media yang cuba mengambil gambar saya ditangkap. Begitu juga ketika kami semua
dikumpul dekat Kelab Diraja Selangor.
Macam
samseng
Pelik, adakah
undang-undang menyekat orang ambil gambar di negara ini? Seorang pelajar
fotografi mengadu kameranya yang berharga ribuan ringgit dimusnahkan oleh
seorang anggota polis. Umumnya saya lihat polis bertindak
ganas dan memihak kepada Umno-BN. Pada saya hari itu polis kelihatan macam
samseng PERKASA. Mereka nampak jelas marah dengan Pakatan Rakyat.
Tetapi yang lucunya bila saya tinggikan suara dan tanya
undang-undang apa yang mereka gunakan anggota polis tersipu-sipu dan cepat-cepat
beredar. Ini berlaku ketika kami dihimpun macam pendatang asing dekat Kelab
Diraja Selangor. Itulah gelagat anggota polis berpangkat rendah yang mulanya
cuba tunjuk garang dan samseng. Para pegawai mereka duduk
jauh-jauh.
Pada satu peringkat saya jerit seorang pegawai supaya segera beri
rawatan kepada seorang Orang Kena Tahan (OKT) yang terbaring kesakitan. Pegawai
ini panik dan tak tahu buat apa-apa. Saya kata, “awak ada budi bicara dan kalau
orang ini mati awak akan disoal.” Pegawai ini pucat tak terkata apa-apa. Itu
semua menunjukkan pasukan polis ini jahil dan keliru dan takut dengan kerajaan
Umno-BN. Mereka hanya berani bila mereka bergerak dalam
gerombolan.
Mereka mungkin tak ada akses kepada Internet dan hanya dengar
arahan bos mereka saja. Sikap samseng dan mentaliti gerombolan pasukan polis ini
kelihatan apabila ada tahanan baru sampai. Tahanan ini akan dibawa melalui
kumpulan anggota polis pangkat rendah dan ketika inilah anggota polis ini akan
mengambil kesempatan mengejek dan memaki hamun tahanan yang sudah lemah longlai
diheret itu. Ada juga yang akan mengambil kesempatan menumbuk, menyepak dan
menampar tahanan itu.
Pada satu tahap seorang anggota Unit Amal PAS yang sedia ditahan
bersama kami diseret ke dalam gerombolan anggota polis itu. Riuh rendah
kedengaran di sebalik van dan trak itu. Apa yang kelihatan apabila anggota Unit
Amal itu diseret kembali ke dalam kumpulan, beliau lembik; mungkin telah dipukul
oleh anggota-anggota polis yang menyeringai macam singa dalam kandang menunggu
mangsa itu. Dalam garang dan samseng itu polis ini tidak tahu
apa-apa.
Ketika di Kelab Diraja Selangor, saya lihat pihak polis panik
bila kami ramai-ramai tanya sama ada kami ini ditahan atau ditangkap. Maklumlah
konstabel dan koperal apa tahu. Pegawai pun tidak berani duduk dekat sebab ada
OKT yang tanya soalan dalam bahasa orang putih. Lucu. Masa di DBKL seorang
sarjan yang tadinya kasar dan sombong mula berlembut apabila makin ramai di
kalangan tahanan yang panggil saya “profesor”.
Gambaran kebodohan dan ketakutan Sewaktu di Pulapol, Ketua CID
Bukit Aman Datuk Seri Bakri Zinin ada datang. Bukan main lagilah Cawangan Khas
(SB) dan komando polis mengiringi dia. Begitu juga pegawai-pegawai lain yang
datang bersama. Berdesup-desup mereka tabik dan hentak kaki. Itulah agaknya
gambaran kebodohan dan ketakutan mereka. Ikut perintah orang atas tak kira
apa.
Di Pulapol peguam tak dibenarkan masuk langsung. Dan suasana
dalam khemah kelam, di situ tak teratur. Pihak polis macam tak pasti apa yang
perlu dibuat sedangkan ini bukan kali pertama mereka menangani demonstrasi
BERSIH. Ini jauh berbeza dengan imej tenteram yang cuba ditunjukkan oleh media
milik Umno-BN termasuk RTM.
Satu lagi yang saya nampak ialah majoriti anggota polis yang
bertugas ialah Melayu. Ada segelintir India dan Cina. Tapi yang bongkak, sombong
dan ganas ialah Melayu dan India. Mereka inilah yang bongkak dan ganas. Anggota
Cina amat tertib dan beradab. Para pegawai meskipun ramai Melayu tidaklah
sombong sangat. Mungkin kerana mereka mudah dikenali melalui uniform
mereka.
Sewaktu di Pulapol saya dibawa ke meja Cawangan Khas (SB).
Meskipun saya ditanya soalan-soalan yang saya kira aneh, ia tidak lama. Saya
tidak tahu kenapa. Mungkin kerana mereka tidak mahu berdebat dengan
saya.
Pesta pukul orang
Atau mungkin mereka simpati. Mereka ada bertanya sama ada saya
disakiti. Saya kata saya cuma sakit hati. Saya sempat sebut pada mereka: “Wah
hari ni polis berpesta pukul orang.” Saya sakit hati kerana polis tidak peduli
hak asasi rakyat.
Buktinya cukup banyak. Ada yang mengadu dicekup sewaktu sedang
makan dalam dalam restoran. Ada yang ditangkap ketika di lobi hotel. Dan ada
juga yang ditahan ketika dia hendak membeli tiket di stesen LRT. Mereka berada
jauh dari Dataran Merdeka yang diisytihar kawasan larangan. Mereka juga sudah
bersurai. Mereka dipukul dan diheret oleh polis hanya kerana mereka pakai baju
kuning. Malah ada yang tidak pakai baju kuning pun dicekup sama. Ertinya hari
itu polis geram dengan orang ramai.
Polis sudah menjadi seolah-olah kaki pukul Umno-BN dan gerombolan
anti-Bersih. Ini salah di sisi undang-undang. Apa lagi perlembagaan sebagai
undang-undang tertinggi dan utama negara. Pasuka polis, sebagaimana
cabang-cabang perkhidmatan awam yang lain termasuk angkatan tentera, perlu
bersikap berkecuali dan menjaga undang-undang.
Tanggapan saya terhadap polis, khususnya selepas BERSIH 3.0,
mereka jahil, keliru dan tertekan. Akhlak mereka juga rendah. Ini ternyata bila
Suruhanjaya Dzaidin sendiri merakamkan bahawa pasukan polis antara agensi
kerajaan yang paling korup di negara ini. Sebab itu saya tidak hairan apabila
polis gagal membezakan antara menjunjung undang-undang dengan mengampu atau
mempertahankan Umno-BN.
Apa pun jika lihat gambar besar kita itu semua tidak
memeranjatkan. Kalau para hakim dan anggota Suruhanjaya Pencegahan SPR yang
dilindungi oleh perlembagaan secara jelas pun takut dengan Umno-BN siapalah
anggota-anggota polis ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan