Ahad, 19 Disember 2010

Benarkah pandangan menyesatkan itu dikeluarkan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady?

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Golongan yang mempertikaian kedudukan Islam dan orang Melayu seperti mana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan mereka yang berfahaman plularisme ala John Hick.

Justeru, tokoh cendikiawan Islam, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady mahu golongan tersebut ditentang kerana fahaman mereka anuti itu jelas berlawanan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Malah, beliau berkata, mereka yang memperjuangkan fahaman itu tidak ubah seperti membawa satu agama baru yang akhirnya boleh menyebabkan seseorang itu menjadi murtad.

Itu adalah petikan berita dari sebuah akhbar harian yang menjadi talibarut Umno. Saya membaca berkali-kali laporan berita tersebut untuk mencari maksud yang membolehkan umat Islam di negara ini menghormati ketinggian ilmu seorang cendikiawan seperti Dr. Muhammad Uthman. Malangnya tidak berjumpa, melainkan maksud yang difahami itu adalah menyesatkan umat manusia.

Merpertikaikan kebenaran Islam yang datangnya dari Allah jelas sesat dan membawa kepada kemurtadan. Tetapi mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti mana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan ciptaan sikafir Lord Reid kononnya adalah perbuatan yang jelas berlawanan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah kenyataan yang keterlaluan.

Tinggi sangatkah kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut sehingga setiap dasar dan agenda bertindak dalam struktur pemerintahan dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara dirujuk kepada Islam mengikut perlembagaan itu? Mulia, suci dan murni sangatkah Perlembagaan Persekutuan itu dari pandangan Islam sehingga pertikaian terhadap satu aspek di dalamnya dianggap berlawanan dengan ajaran Islam? Adakah bangsa Melayu satu bangsa yang terlalu istimewa di mata Rasulullah SAW sehingga mempertikaikan ‘kedudukan orang Melayu’ adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang dibawa baginda?

Akhirnya saya membuat kesimpulan sendiri bahawa tidak mungkin seorang ilmuan seperti Dr. Muhammad Uthman mengeluarkan kenyataan seperti itu, melainkan kenyataannya sewaktu membentang kertas kerja bertajuk ‘Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama – Satu Pengamatan Ringkas’ di Wacana Pemikiran Dan Pemikiran Ummah diputarbelitkan oleh akhbar harian primitif tersebut. Hairan kerana tak semena-mena datang pula ‘kedudukan orang Melayu’ dan ‘Perlembagaan Persekutuan’ untuk diraikan semacam mahu menyuburkan lagi pluralisme agama yang sedang menjadi ancaman dalam masyarakat Islam.

Pelik juga kerana isu tersebut mendapat perhatian dan liputan sebuah akhbar harian yang selama ini terkenal menyuburkan budaya pluralisme. Hanya kerana seorang pembentang kertas kerja yang merupakan pensyarah UIAM mendakwa kononnya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sering membawa mesej fahaman pluralisme, maka tiba-tiba akhbar talibarut itu menjadi hero menentang pluralisme. Nampaknya mutakhir ini apa sahaja ucapan ataupun tindak tanduk Anwar yang boleh dikritik maka ruang kritikan dibuka seluas-luasnya.

Bagi PAS isu penentangan terhadap pluralisme agama bukan isu baru. Ia diperjuangkan seusia perjuangan PAS. PAS sudah lama menegur tindakan pemimpin Umno mencampuradukkan perayaan agama di negara ini, sehingga ke peringkat terdapat pemimpin Umno meraikan Thaipusam bersama Samy Vellu dan penganut Hindu di Batu Cave. Aidil Fitri adalah perayaan kesyukuran Umat Islam meraikan kejayaan berpuasa Ramadhan, tetapi di bawah kerajaan BN ia menjadi perayaan ‘syaitan berpesta’.

Semua media-media elektronik milik BN menyiarkan siaran hiburan yang melampau-lampau sempena Aidil Fitri. Wanita mendedahkan aurat terkinja-kinja menari dan menyanyi di atas pentas (kadangkala di hadapan para menteri) bukan dari ajaran Islam, tetapi ia dibuat atas nama Aidil Fitri. Akhbar talibarut BN yang kononnya menentang pluralisme itulah juga yang membuat promosi untuk semua perayaan pluralisme agama itu.

Pluralisme yang difokuskan oleh pihak tertentu mungkin hanya bertumpu di bidang amalan tertentu, seperti perayaan antara agama. Tetapi PAS menentang pluralisme dalam semua bidang termasuk sistem perundangan yang mencampuradukkan antara Barat dan Islam. Sekali lagi Umno dan media talibarut merekalah yang membuat ejekan terhadap segala usaha murni PAS. Sekian lama hudud menjadi bahan senda gurau di perhimpunan agung Umno.

PAS memperjuangkan kebenaran Islam sekalipun sukar untuk diterima oleh pihak lain. Dulu, kini dan selamanya PAS tidak pernah memadamkan cita-cita untuk mewujudkan sistem pemerintahan Islam sekalipun ia tidak dapat diterima oleh rakan kerjasama. Soal ia boleh atau mampu dibuat atau sebaliknya itu cerita lain, tetapi memadamkan satu aspek dari ajaran Islam dalam iktikad dan cita-cita tidak pernah dilakukan oleh PAS kerana ia boleh merosakkan aqidah. Adakah Umno berfikiran sebegini?

Sewaktu bapa saudara Rasulullah SAW Abu Talib meninggal, baginda hilang tempat perlindungan. Akibatnya seluruh kafir Mekah menganiayai baginda dan para pengikutnya sehingga menimbulkan belas kasihan bapa saudaranya Abu Lahab. Lantaran itu Abu Lahab mengisytiharkan perlindungan terhadap Rasulullah SAW menyebabkan golongan kafir Mekah menjadi serba salah. Melihat Abu Lahab semacam mengambil alih tempat Abu Talib, Abu Jahal cuba memecahkan perlindungan tersebut.

Di hadapan Abu Lahab, Abu Jahal mendesak Rasulullah SAW mendedahkan di mana Abu Talib ditempatkan setelah mati dalam keadaan tidak beriman dengan Allah. Jika Rasulullah SAW mahu terus mendapat perlindungan dari Abu Lahab, baginda akan berkata Abu Talib dimasukkan ke syurga. Tetapi Rasulullah SAW memilih untuk berkata sebaliknya kerana persoalan aqidah tidak boleh disembunyikan, dibuat main-main atau ditukarganti dengan apa sekalipun. Akibatnya, Abu Lahab berpaling tadah dari Rasulullah SAW.

Taktik dan strategi yang digunakan oleh Abu Jahal inilah yang dituruti oleh Umno kini. Mereka sering bertanya PAS mengenai cita-cita menegakkan negara Islam, bertujuan menjauhkan bukan Islam dari PAS kerana Umno tahu apa jawapan yang akan diberikan PAS. Mereka tahu Islam PAS adalah tulen tidak seperti pluralisme pegangan Umno.

Mengagungkan Perlembagaan Persekutuan ciptaan Lord Reid, antara bahan campuran (plural) yang kononnya terdapat dalam ‘Islam’ yang menjadi anutan pihak tertentu.

Oleh kerana nama ilmuan Islam Dr. Uthman El-Muhammady dikaitkan oleh akhbar talibarut BN dalam isu ini, maka jika beliau terbaca berita yang tersiar dalam akhbar harian primitif itu dan terbaca tulisan saya yang tidak sepertinya ini; maka mohon kiranya beliau dapat memberi penjelasan. Jangan biarkan umat Islam terkeliru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan