Ahad, 19 Disember 2010

TGHH: BN umpama api dalam sekam

Ahad, 19 Disember 2010 15:18 BlogMaster
  
KEPALA BATAS, 19 Dis - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui Pakatan Rakyat kini dibelenggu 'kelemahan diri sendiri' hingga boleh menggagalkan usaha untuk mencapai matlamat mengambil alih kerajaan.

Beliau berkata, agenda perubahan yang dijanjikan kepada rakyat sukar dicapai sekiranya pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat mudah hilang tumpuan setelah menerima serangan daripada pihak lawan. "

Kita dibelenggu dengan kelemahan diri sendiri apabila ada di antara kita yang mula hilang tumpuan, setelah kita mula diserang dari segenap penjuru oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN)," katanya semasa menyampaikan ucapan pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-2 di sini, Ahad. Selain itu Abdul Hadi berkata, komponen Pakatan Rakyat juga sememangnya berhadapan dengan cabaran besar iaitu dari segi perbezaan pandangan.

Jelas beliau perbezaan pandangan yang wujud antara ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP perlu diatasi dengan baik bagi mengelakkan wujudnya masalah yang lebih besar.

"Kadangkala kita berhadapan dengan perbezaan pandangan dan pendekatan untuk menyelesaikan masalah, dan di sinilah cabaran terbesar kita yang perlu dirungkaikan supaya kita menjadi gagasan terbaik untuk negara ini. "Dalam masa yang sama, saya menyeru kepada semua para hadirin yang menjadi petugas kepada perubahan dalam negara kita ini, supaya kita tidak sekali-kali tersasar dari tujuan kita untuk melakukan perubahan menyeluruh yang bermakna kepada generasi yang akan datang," katanya.

Pakatan Rakyat Perlu Berani Selesaikan Masalah
Bagaimana pun Hj.Hadi berkata, Pakatan Rakyat sentiasa berani dan bersedia untuk berdepan dan seterusnya menangani isu-isu yang timbul secara terbuka dengan semangat penyatuan. "Dengan perasaan penuh keikhlasan kita menyedari akan kelemahan-kelemahan ini, tetapi kita bukanlah seperti komponen musuh yang saling bercakaran sesama sendiri, lalu bertindak menyembunyikan masalah mereka sehingga ianya menjadi seperti ‘api dalam sekam’ yang menunggu masa untuk menjahanamkan negara kita yang tercinta ini.

"Inilah beza nya pakatan kita dengan mereka, di mana kita berani untuk berdepan, berbincang, berbahas, semuanya dalam semangat yang tulen bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam gagasan kita ini. Inilah yang ingin kita sampaikan," katanya. Tambah beliau, pemimpin negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat disaran supaya berani melakukan rombakan pentadbiran kerajaan negeri sekiranya perlu.

"Marilah sama-sama kita bermuhasabah akan pencapaian kita, setelah diberi tanggungjawab melaksanakan amanah pemerintahan di negeri Pakatan Rakyat, menilai dengan penuh kejujuran akan kelemahan dasar dan pelaksanaan, kita mencelikkan mata-telinga kita seluas-luasnya dan berlapang dada dengan kritikan rakyat, seterusnya melakukan rombakanpentadbiran dan perubahan menyeluruh apabila difikirkan perlu. "Berdasarkan maklumat kelemahan kita ini, maka kita perlu bangkit kembali dengan terus laksanakan penambahbaikan dalam pemerintahan dan perkemaskan jentera parti di negeri yang belum bersama kita," katanya lagi.

PAS Akan Perkasakan Islam Sebagai Agama Rasmi
Abdul Hadi turut mengingatkan Pemimpin Pakatan bahawa sebuah pemerintahan yang baik tidak hanya akan berjaya dengan pencapaian ekonomi semata-mata. Menurutnya PAS tidak melahirkan masyarakat yang hanya melihat kepada pembangunan material hingga akhirnya mengabaikan pembangunan jiwa dan rohani hingga menyebabkan penularan penyakit kemanusiaan.

"Apa yang kita mahu, bahawa kita perlulah juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupanrakyat di bawah jagaan kita. "Dalam hal ini, PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di mana perubahan kita adalah dalam ruang lingkup undang-undang negara dengan mengambil kira Islam sebagai agama rasmi negara, dengan meletakkan Islam berdasarkan kepada maknanya yang sebenar. "Dalam masa yang sama, agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana sahaja di negara kita ini," katanya.

PahangDaily: Pakatan Rakyat sepatutnya lebih berhati-hati dalam menentukan hala tuju masa depan mereka, terutamannya dalam usaha menakluki Putrajaya pada Pilihan Raya Umum akan datang. Seharusnya, keyakinan itu tidak terlalu diperbesarkan buat masa ini kerana ia akan menyebabkan pemimpin UMNO BN tidak senang duduk dan senang berdiri bagai "cacing kepanasan".

Adalah lebih elok, masing-masing bersikap berdiam diri daripada melaung-laungkan sesuatu yang akan menakutkan musuh. Malahan, tindakan menghebahkan kononnya Pakatan Rakyat sudah cukup kuat untuk mengambilalih tampuk pemerintahan negara pada PRU akan datang pasti membuatkan Perdan Menteri dan kuncu-kuncunya akan mencari jalan untuk menggagalkan hasrat itu. Lantaran itulah kita tidak hairan Najib boleh keluarkan kenyataan bahawa "Kalau BN tak menang, yang lain jangan harap.." andainya BN tewas dalam PRU-13 nanti.

Malah, dengan penuh yakin Najib mengatakan akan pertahankan Putrajaya habis-habisan demi mencapai matlamat mereka dari terus berkuasa. Mereka juga harus ingat bahawa pilihanraya di Malaysia masih tidak bersih seperti yang diharapkan oleh semua pihak. Lebih elok berhati-hati dalam setiap kenyataan panas yang dikeluarkan dari masa ke semasa itu hendaknya].

Sumber: Pahang Daily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan