Jumaat, 17 Disember 2010

Dedahkan semua sekali: Anwar



KUALA LUMPUR - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar kerajaan Malaysia supaya memaksa kerajaan Singapura mengemukakan semua bukti yang mengaitkan pemimpin negara ini seperti yang didedahkan oleh laman web WikiLeaks.

Menurutnya, ia adalah tidak adil jika hanya beliau sahaja dikaitkan seperti dakwaan unit perisikan Singapura dan Australia yang mengatakan Anwar memang terlibat dengan kes liwatnya seperti dilaporkan oleh media negara ini tetapi meminggirkan laporan lain yang juga menyebut nama pemimpin lain.

Katanya, jika laporan WikiLeaks dijadikan sumber baru rujukan terhadap kesnya, sepatutnya semua laporan tersebut didedah dan dibawa ke mahkamah dan bukannya hanya menjadi bahan untuk menyerang peribadinya.

"Saya tidak ada masalah jika mahkamah memanggil (Menteri Mentor Singapura) Lee Kuan Yew yang mengatakan saya terlibat, kerana saya akan pertahankan diri saya habis-habisan," katanya dalam ceramah umum di sini malam semalam.

Selain itu, beliau juga mengkritik media negara ini kerana hanya mengambil laporan sebelah pihak dan bimbang perkara ini akan menyebabkan subjudis dalam kes liwatnya di mahkamah.

"Jangan cabar saya banyak kali, jangan hina saya sedemikian rupa, saya tahu kes-kes pembunuhan yang ‘cover up’ di negara ini,” katanya.

Katanya lagi, jika benar beliau diperangkap seperti dalam laporan WikiLeaks, Anwar mencabar pihak terbabit mengeluarkan video yang membuktikan beliau benar-benar terlibat dalam kes liwatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan