Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ), Hata Wahari yang dilapor sedang disiasat majikannya, Utusan Melayu Berhad, percaya tindakan terhadapnya didalangi ‘tangan-tangan’ ghaib yang mahu beliau dikenakan tindakan.
Menurut Hata, beliau mungkin dipecat seperti mana nasib yang menimpa bekas Presiden NUJ cawangan Utusan, Amran Ahmad pada 3 September 2009.
Namun, kata Hata, apa-apa jua tindakan tidak akan membantutkan azamnya untuk terus bersuara mewakili kepentingan NUJ.
“Walau apa pun keterangan yang saya berikan, saya menjangkakan akan dipecat pada siasatan dalaman 6 Januari ini seperti yang pernah berlaku kepada Amran Ahmad.
“Mungkin pilihan raya sudah semakin dekat, maka mereka mahu saya berhenti bercakap mendedahkan rahsia-rahsia mereka selama ini,” kata Hata ketika dihubungi KeadilanDaily.
Berpengalaman bekerja di Kumpulan Utusan selama 15 tahun, Hata memberitahu bahawa beliau banyak menyimpan ‘rahsia-rahsia’ Utusan.
“Seandainya saya dipecat, orang ramai di luar sana mungkin berminat untuk tahu siapa sebenarnya Awang Selamat,” kata Hata.
Awang Selamat adalah kolumnis di Mingguan Malaysia yang tidak dikenali dan sering mengeluarkan ulasan-ulasan berbaur perkauman dan menggugat keharmonian kaum di Malaysia.
Mengulas lebih lanjut, Hata berkata selama ini tidak banyak pihak berani membuat teguran untuk kebaikan syarikat penerbitan dan kebebasan media. Namun, situasi semasa politik negara memerlukan mereka yang memegang tanggungjawab untuk tampil ke hadapan dengan berani.
“Sebelum ini NUJ banyak mengambil langkah berhati-hati dalam membuat kenyataan. Namun, sekarang adalah masa yang sesuai untuk NUJ kembali berperanan sebagai watchdog kepada media agar tanggungjawab utama melaporkan kebenaran kepada masyarakat dapat dilaksanakan,” kata Hata lagi.
Sebuah gerbang berita hari ini melaporkan Hata dipanggil oleh Utusan Melayu Berhad untuk memberi keterangan dalam satu siasatan dalaman berhubung komen-komen beliau selaku Presiden NUJ.
Berdasarkan surat daripada bahagian sumber manusia syarikatnya, Hata dikehendaki hadir sesi siasatan tersebut pada 6 Januari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan