OLEH: JR
Tadi saya terbaca kisah mamat berkulit hitam ni...kesian sungguh!! Selepas 30 tahun meringkuk dalam penjara, tinggal dalam sel berjeriji besi kelam tanpa cahaya, dipukul banduan lain, keluarga dihina dan hilang kasih sayang manusia lain, kini selepas 30 tahun baru dia dibuktikan tidak bersalah. Bukan 3 minggu, bukan 3 bulan, bukan 30 bulan tapi 30 tahun terkurung di penjara!! Paris Hilton yang dipenjarakan 3 hari pada 1997 pun menangis terisak-isak bila dihukum, apa lagi jika dihukum 30 tahun, agaknya dia pengsan dan terkencing dalam seluar...(eh,eh, bukan seluar, sebab selebriti ni kononnya tak pakai seluar dalam!)
Kejamnya dunia...30 tahun tersiksa menanggung hukuman atas suatu kesalahan yang tak pernah dilakukan...kejamnya manusia...kejamnya Yang Arif Tuan Hakim yang sebenarnya tak arif ketika menjatuh hukuman.
Cornelius Dupree: "30 tahun aku dizalimi"
30 tahun lalu (tahun 1980), Cornelius Dupree yang ketika itu berusia baru 20 tahun dihukum penjara selama 75 tahun oleh sebuah mahkamah di Dallas, Amerika Syarikat atas tuduhan merogol seorang wanita pada 1979 . Tapi selepas melalui ujian DNA baru-baru ini, pihak pendakwaraya mendapati dia tidak bersalah.
Selepas 30 tahun tersiksa dalam jerejak besi, barulah dia mendapat keadilan dan dibebaskan dari penjara Isnin lepas. Baca selanjutnya di sini...
Itu di Amerika. Bagaimana pula di Malaysia, apakah hakim-hakim Malaysia lebih bijak dari hakim-hakim Amerika yang selalu dipuji sangat bijak itu?
Hakim adalah manusia. Sebagai manusia mereka juga punya emosi yang berbeza setiap hari, setiap saat. Sebagai manusia mereka juga seperti manusia lain kadang-kadang demam, sakit perut, marah, naik angin, tenang dan pelbagai lagi sifat yang boleh mempengaruhi penghakiman mereka. Dan kerana mereka manusialah kadang-kadang hukuman yang dijalankan dilihat tidak adil: mereka yang tidak bersalah dihukum kononnya kerana ada kes prima facie yang kukuh manakala yang lain, kerana kebijaksanaan peguam bela dilepaskan dari hukuman, walaupun dia memang bersalah. Apabila ini berlaku, lalu yang tak bersalah masuk penjara, yang bersalah pula meneruskan jenayahnya.
Dalam kes Cornelius, nasib baik juga dia cuma dihukum penjara 30 tahun, tapi jika dia telah dihukum gantung? Jika dia telah dihukum gantung, bagaimana hakim berkenaan akan meminta maaf kepada mayatnya yang telah lama mereput di dalam kubur itu??
Kerana ramai hakim tak berlaku adillah agaknya mengapa hadis Nabi ada menyatakan bahawa dua pertiga atau majoriti hakim akan masuk neraka:
” Ada tiga jenis Hakim.Dua Hakim masuk neraka dan satu lagi masuk syurga. Hakim yang masuk syurga ialah hakim yang mengetahui hukum (peraturan) yang haq (benar) kemudian memberi keputusan dengan hukum tersebut. Sedangkan Hakim yang masuk neraka ialah : 1) Hakim yang mengetahui hukum yang sebenar tetapi sengaja membuat keputusan yang salah; 2) Hakim yang tidak mengetahui hukum yang sebenar, kemudian membuat keputusan salah disebabkan kelalaiannya itu.” ( Hadis Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi).
Didunia ini, hakim-hakim ini boleh menunjukkan kuasanya, memasukkan orang ke penjara, menyebat mereka atau membawa masuk leher banduan ke tali gantung, tapi di akhirat nanti hakim-hakim curang ini akan menerima hukuman setimpal dari Allah kerana kelalaian mereka menjatuhkan hukuman di dunia...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan