oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Seorang penerbit berita TV menyarankan kepada saya agar Harakah memberikan tumpuan kepada dua isu besar yang timbul dalam Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat, 19 Disember lalu.Pertama, kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang dilihat berlembut dan positif terhadap perjuangan Negara Islam PAS. Kedua, 10 program Pakatan Rakyat untuk melaksanakan reformasi menyeluruh dalam masa 100 hari sekiranya diberikan mandat dalam pilihan raya umum akan datang.
"Bagi saya, politik tahun 2010 ditutup dengan dua isu besar itu. Harakah harus membuat penjelasan yang sepatutnya. Pemimpin dan media BN pasti akan menyanggah keupayaan Pakatan untuk melaksanakan 10 tawaran Pakatan Rakyat dengan alasan yang sudah boleh dijangka," tambahnya.
Sementara saya dan rakan-rakan di Harakah cuba memberikan perincian terhadap tawaran realistik dalam Buku Jingga itu, saya masih tertarik dengan pujian terbuka Karpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu. Beliau menyifatkan "PAS sebagai parti yang paling berdisiplin dalam Pakatan Rakyat kerana wakil rakyatnya sangat setia dan tidak pernah bertindak keluar parti".
Memang saya telah menyinggungnya dalam tulisan terdahulu tetapi saya tetap merasakan ia perlu dilanjutkan sedikit. Bukan untuk berbangga dengan komitmen tinggi wakil-wakil rakyat PAS (lebih-lebih lagi ahli-ahli biasa Parti Islam yang tetap istiqamah dan tidak berubah kehidupan mereka selepas menang) seperti disanjung Karpal, tetapi saya ingin mengaitkannya dengan ideologi perjuangan Islam itu sendiri.
Ia juga selaras dengan kesediaan Karpal mendengar pandangan dan penjelasan dua tok guru PAS (Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat dan Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang) mengenai agenda Negara Islam. Bagi saya, polemik Negara Islam -- dan apa jua isu sensitif lain pun -- sekiranya dibahaskan dalam suasana tradisi keilmuan yang sihat, tanpa sebarang prejudis, pasti mendatang manfaat bersama.
Penegasan Karpal yang menerima peruntukan dalam Perlembagaan bahawa Islam sebagai agama rasmi (lebih tepat lagi "agama bagi Persekutuan", seperti dirakamkan Perkara 3 Perlembagaan) juga wajar dilihat daripada sudut lebih luas.
Pentafsiran pakar perlembagaan seperti Almarhum Prof Ahmad Ibrahim dan Prof Dr Abd Aziz Bari mengenai kedudukan dan implikasi "Islam sebagai agama Persekutuan" wajar disorot secara mendalam.
Bukan tidak ada pimpinan PAS yang melompat parti. Yang Dipertua Agungnya (jawatan sekarang, presiden) turut tergelincir, malah ada calon PAS yang sanggup "menjual kerusi" sebelum pilihan raya berlangsung. Namun keseluruhannya, komitmen ahli-ahli PAS berbanding parti pembangkang yang lain boleh dianggap tinggi dan teruji.
Di Kelantan, semasa penggal 2004-2008, Umno-BN hanya perlu "membeli" seorang Adun PAS bagi mengambil alih kerajaan negeri. Dipercayai Umno cuba menggunakan kesempatan itu sebagai jalan pintas untuk kembali berkuasa selepas kalah semua kerusi Dun dan Parlimen dalam pilihan raya umum 1990. Namun, segalanya terbukti gagal.
Ramai melihat "keistimewaan" ini daripada sudut pegangan ahli-ahli parti terhadap ideologi perjuangan PAS. Bagi sebahagian besar aktivis, PAS sebenarnya bukan satu pilihan, tetapi kemestian. Kewajiban memilih dan mempertahankan PAS adalah disebabkan dorongan agama.
Justeru, apa jua tawaran untuk meninggalkan PAS -- tentunya tidak dapat diyakinkan dengan hujah-hujah agama, pasti ditolak mentah-mentah. Mungkin ada wakil rakyat yang terpesona dengan pujukan, tetapi mereka harus memikirkan puluhan kali tentang natijah "pengkhianatan" itu, terutama apabila membayangkan reaksi ahli-ahli parti nanti.
Islam sebagai sistem hidup menyeluruh, seperti diungguli PAS, mampu memupuk amalan integriti dan akauntabiliti yang tinggi. Prinsip ehsan yang diutamakan dalam Islam,secara semulajadi dapat mengawal seseorang pemimpin untuk bersikap jujur, amanah dan ikhlas walaupun tiada siapa yang memantaunya. Dengan itu, perbuatan rasuah dan sikap mementingkan diri-kerabat dapat dihindari.
Tok Guru Nik Aziz kerap mengingatkan ahli-ahli PAS tentang proses kehidupan selepas mati, azab kubur, syurga neraka. Ia cukup berkesan bagi membentengi diri daripada terjebak dengan "penyakit orang berkuasa".
Kesederhanaan hidup beliau, walaupun selepas 20 tahun menjadi MB Kelantan, cukup dikagumi, terutama oleh masyarakat bukan Islam. Sepatutnya pimpinan PAS lain (yang turut menerima tempias "nikmat kuasa") turut mewarisi gaya hidup sama.
Amat malang jika "wabak Umno" sudah menjangkiti PAS, misalnya hidup mewah dan korupsi.
"Apabila diadakan seminar 'PAS Sedia Ganti Umno', saya cukup bimbang jika segala perangai buruk Umno akan diamalkan PAS bila berkuasa nanti," kata seorang pemimpin kanan PAS.
"Bukankah elok jika kerajaan negeri PAS mendahului amalan baik dalam pemerintahan seperti hisbah dan tender terbuka? Juga, kekallah hidup sederhana tanpa perlu sibuk mengejar peluang kuasa, daripada peringkat atas hinggalah yang kecil-kecil di kampung," tambahnya.
DAP juga boleh dilihat sebagai sebuah parti ideologi. Ada yang mengaitkannya dengan perjuangan sosial demokrat. Prinsip-prinsip keadilan sosial, demokrasi, ketelusan, integriti dan hak asasi dipandang tinggi.
Jika terbukti wakil rakyat PAS bukan saja mempunyai ketahanan diri daripada melompat parti, malah anggotanya dalam kerajaan negeri Pakatan menunjukkan teladan unggul dalam semua dimensi, Islam akan dipandang tinggi dan mulia oleh seluruh rakyat Malaysia.
Maka, yang disanjung kerana hidup sederhana bukan sahaja Tok Guru Nik Aziz dan segelintir pemimpin PAS termasuk Tuan Guru Abd Hadi Awang khususnya semasa menerajui kerajaan Terengganu, tetapi semua yang dipilih di atas tiket parti Islam itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan