Sabtu, 5 Februari 2011

Hikmah di sebalik kekalahan di Dun Tenang

Oleh Suhaimi Mokhtar
Tenang, di Labis, Johor berkocak dan bergolak dengan gelora politik selama lebih seminggu apabila pilihanraya kecil DUN itu berlangsung. Kini ia kembali tenang dan keputusan pilihanraya kecil itu telah memihak kepada Umno-BN yang dapat mengekalkan kubu kuat gabungan parti itu.

Percubaan PAS untuk mengganti Umno-BN diDun itu dengan meletakkan calon muslimat yang masih muda, Cikgu Normala Sudirman gagal membuahkan hasil, tetapi kegagalan pertama Cikgu Mala ini bukan bererti segala-galanya telah berakhir.

 
Dalam usia yang masih muda Cikgu Mala mempunyai masa depan politik yang cerah dan masih panjang. Pilihanraya kecil yang baru berlalu merupakan satu permulaan yang baik untuk perjuanganseterusnya dengan mengarap pengalaman yang ditempuhi untuk mengatur langkah, strategi yang lebih mantap dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.
 
Kemenangan Umno-BN dalam pilihanraya kecil tidak membawa erti bahawa Umno-BN boleh merasa lega dan selesa dalam pilihanraya umum nanti kerana dalam pilihanraya umum suasana, iklim dan persekitaran politik jauh berbeza berbanding dalam pilihanraya kecil.
Umno-BN sepatutnya mendapat undi lebih besar dari yang didapatinya dengan tektik kotor kempen pilihanraya yang diselenggara mereka. Umno-BN melakukan kempen dengan merasuah rakyat dan pengundi dengan projek-projek segera berjumlah ratusan juta ringgit yang ditumpukan kepada kawasan itu untuk meraih undi. Tiap-tiap kaum dikawasan Dun itu dirasuah dengan diberi projek segera bagi menafikan sokongan pengundi kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

PAS tidak berkemampuan untuk berbuat demikian, lebih-lebih lagi sebagai sebuah parti yang bersandarkan kepada perjuangan Islam, etika dan akhlak Islam melarang perbuatan merasuah pengundi dengan projek-projek segera untuk membeli undi.

PAS kalah dikubu kuat Umno-BN tetapi pada masa yang sama PAS telah membuatkan kehadirannya dirasakan di Dun Tenang khususnya dan di Negeri Johor umumnya. Sepanjang negara ini mengenali sistem demokrasi melalui pilihanraya, PAS tidak pernah diterima baik di negeri Johor, bahkan tiap kali pilihanraya ramai calon-calon PAS kehilangan wang pertaruhan dalam pilihanraya.

Bagaimanapun, segala-galanya bertukar dalam dua penggal pilihanraya lalu. Dalam pilihanraya 2004 PAS dapat menghantar wakilnya di Dun Johor apabila calonnya memenangi satu kerusi tanpa bertanding kerana kesilapan teknik calon Umno-BN dalam pilihanraya itu. Dalam pilihanraya 2008, PAS buat pertama kalinya memenangi dua kerusi di Dun Negeri Johor.

Harapan PAS untuk menambah satu kerusi lagi dalam pilihanraya kecil melalui Cikgu Mala kecundang tetapi ia membawa hikmah bahawa PAS perlu berkerja lebih kuat dan gigih bersama komponen Pakatan Rakyat untuk menebus kekalahannya di Dun Tenang dalam pilihanraya umum akan datang.

Umno-BN mungkin merasa selesa dan puas kerana bukan sahaja mengalahkan PAS dan Pakatan Rakyat tetapi meraih undi majoriti lebih besar. PAS pula, walaupun kalah dan tidak dapat mengurangkan majoriti Umno-BN, tetapi masih kekal dan utuh dengan undi yang diperolehinya dalam pilihanraya umum lalu. Ertinya PAS tidak kehilangan pengaruh di Dun Tenang dan di Johor umumnya.

Dalam pilihanraya umum nanti PAS mampu merampas kembali Dun Tenang. Hakikat ini sering berlaku, apabila berlaku pilihanraya kecil disesuatu kawasan, Umno-BN memenangi pilihanraya kecil tetapi dalam pilihanraya umum kemenangan boleh bertukar tangan.

Hakikat yang terpancar dari pilihanraya kecil mencerminkan bahawa PAS telah memberikan saingan terhadap Umno-BN di Johor, sama seperti saingan yang diberikan PAS terhadap Umno-BN dinegeri-negeri lain. Kisah calon PAS kehilangan wang pertaruhan di Johor kini menjadi sejarah. Era baru PAS diJohor ialah memberi saingan di negeri tempat Umno lahir.

Impak dari pilihanraya kecil itu ialah keberkesanan dakwah PAS di Johor dikesempatan pilihanraya kecil itu, apabila tazkirah Tok Guru Nik Aziz mendapat sambutan luarbiasa dinegeri kubu kuat Umno itu. Ceramah-ceramah politik PAS dalam pilihanraya kecil itu oleh pimpinan PAS dari presidennya hinggalah kebarisan pimpinan PAS yang lain telah meninggalkan kesan untuk digembelingkan seterusnya sehingga pilihanya ke-13 diadakan.

Momentum yang digerakkan perlu diteruskan kerana PAS berpotensi melakari sejarahnya yang tersendiri di Johor yang diungkapkan sebagai ‘negeri Umno’. Bukanlah sesuatu yang mustahil Johor menjadi ‘negeri PAS-Pakatan’ selepas pilihanraya ke-13 nanti. Kalau dulu calon-calon PAS sentiasa kehilangan wang pertaruhan dalam pilihanraya tetapi dalam dua pilihanraya umum yang lalu fenomena itu telah tidak lagi berlaku. Ertinya ia bukanlah sesutu yang mustahil PAS akan membuat kebangkitannya di Johor, paling kurang menambah kehadirannya di Dun Johor.

Sebenarnya banyak yang positif berlaku dalam pilihanraya kecil Dun Tenang apabila PAS meletakkan Cikgu Mala. Ia memberi persepsi bahawa PAS mendapat dokongan kalangan muda yang terpelajar, mempunyai minda terbuka dan sentiasa berlapang dada berbanding dengan calon Umno-BN yang dipilih bukan dari kalangan pimpinan Umno tempatan kawasan itu.

Walaupun Umno-BN memenangi pilihanraya itu, tetapi dendam kesumat menyelubungi kemenangan calon Umno itu kerana pimpinan Umno negeri yang diketuai Menteri Besar, Abdul Ghani Othman membelakangi bahagian dan cawangan Umno dalam pemilihan calon itu. Keadaan ini akan menyebabkan pergolakan dalam Umno setempat akan tercetus sehinggalah menjelang pilihanraya ke-13 nanti. Siapakah calon Umno-BN di Tenang dalam pilihanraya umum akan datang? Mungkin calon yang sama yang telah memenangi pilihanraya kecil, tetapi ia tentu tidak disenangi banyak pihak dikalangan pimpinan bahagian yang merasakan mereka juga layak.

Kemenangan Umno-BN diTenang memang dijangkakan seperti juga dalam pilihanraya kecil Dun Galas di Kelantan sebelumnya. Ia kerana kawasan-kawasan itu kubu Umno-BN dan dengan menguasai seluruh media dengan saluran TV-nya, maka kemenangan itu tidak bolehlah dibanggakan sangat.

Kemenangan Umno-BN di beberapa pilihanraya kecil tidak bererti PAS tidak mampu mengganti Umno. PAS mampu dan berupaya menggantikan Umno dan slogan keramat ‘PAS ganti Umno’ memerlukan penghayatan yang lebih segar dari seluruh pendokong PAS dari pimpinan tertingginya sehinggalah kepada pendokong dan aktivis parti diperingkat akar umbi.

Di kawasan-kawasan PAS dan Pakatan, kemenangan berpihak kepada PAS dan Pakatan dalam pilihanraya kecil dan keputusan pilihanraya kecil dikubu Umno-BN langsung tidak memperlihatkan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat kehilangan pengaruhnya. Pengaruh PAS dan Pakatan terus kukuh dan kental.

Kekalahan di Dun Tenang hendaklah diterima dengan berlapang dada kerana ia adalah suatu hikmah mengajak PAS dan Pakatan bermuhasabah diri dan melangkah dengan lebih berani dengan menyusun tektik, stratiji yang lebih bersepadu untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya ke-13 nanti.

Pilihanraya dinegara ini sentiasa berlangsung dalam padang yang tidak samarata. Antaranya wujudnya elemen undi pos;SPR yang tidak bebas sepenuhnya;pembawaan peti-peti undi dari tempat mengundi ke tempat pengiraan tidak dikawalselia dengan baik apalagi dalam pilihnraya kecil Dun Tenang berlaku banjir kilat;pertukaran tempat pengundian dan lain-lain ;semuanya tidak memperlihatkan ia pilihanraya yang adil dan saksama.

PAS dan Pakatan Rakyat perlu mendesak SPR membenarkan pemerhati antarabangsa membuat pemerhatian dalam pilihanraya ke-13 nanti bagi menentukan satu pilihanraya yang demokratik dan adil dengan meminimakan elemen-elemen yang boleh membawa kepada penyelewengan dalam pilihanraya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan