Rabu, 9 Mac 2011

Judi : Muhyiddin tunjuk sikap sebenar Umno

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru rakyat Malaysia membuka mata dan menilai sendiri sikap kepimpinan Umno yang ditunjukkan melalui kenyataan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam kenyataan yang mempertikaikan tindakan Kerajaan PAS Kelantan mengharamkan Judi Loteri di negeri Serambi Mekah itu.


Baru sahaja menang di Merlimau dan Kerdau, Umno terus kembali menegakkan kemungkaran sebagai tanda kesyukuran.
Sebagai seorang pemimpin Islam dan Timbalan Perdana Menteri beliau sewajarnya menyokong tindakan itu kerana jelas ianya diterima oleh semua agama di negara ini yang mengharamkan judi.

PAS juga kesal kerana Umno terlalu suka mengaitkan aktiviti perjudian sebagai aktiviti kesukaan mereka yang bukan-Islam. Mereka yang mempunyai moral yang tinggi memandang judi dalam perspektif yang amat buruk, hanya mereka yang bermoral rendah sahaja menjadikan judi sebagai hiburan mereka yang akhirnya menghabiskan duit poket mereka.

PAS juga yakin, kenyataan itu dibuat ekoran desakan taikun-taikun perjudian dinegara ini yang banyak membantu memberikan sokongan kepada Umno-Barisan Nasional untuk menghadapi PAS dalam mana-mana pilihan raya. Beberapa pemimpin Umno juga dikenal pasti pernah atau masih mempunyai kepentingan dalam syarikat-syarikat judi berkenaan. Maka jelaslah bahawa kenyataan Muhyiddin itu sengaja dilontarkan bagi membela periuk nasi kroni mereka yang telah lama bergelumang dalam industri judi.

PAS menyeru Muhyiddin serta pemimpin Umno lainnya bertaubat kepada Allah kerana berjuang dan menghalalkan judi di negara ini dan meminta maaf kepada Penganut bukan-Islam yang difitnahkannya sebagai kaki judi.

PAS juga memperingatkan Muhyiddin dan Kerajaan Persekutuan supaya menghormati hak perundangan Kerajaan Kelantan dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah bidang kuasa mereka. Jika tidak ada modal untuk bercakap, baik diam diri sahaja.

PAS menyokong penuh hasrat kerajaan Kelantan dan akan terus berkempen memerangi judi di negara ini. Semoga rakyat terus membuka mata dan menolak Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat


Kiriman Herman Samsudeen
Sila layari blog saya di http://syukran.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan