Rabu, 13 April 2011

Tudia tak main dah bilion-bilion..lanie sebut pulak trilion-trilion....!!!

Sasar RM5.8 trilion
Oleh Kamarulzaidi Kamis, Syuhada Choo Abdullah dan Suffian A Bakar
bhnews@bharian.com.my
NAJIB ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Invest Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, semalam.NAJIB ketika menyampaikan ucaptama pada
Persidangan Invest Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

Inisiatif baru CMP2 pastikan pasaran modal negara kekal menarik

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beberapa inisiatif baru menerusi pelancaran Pelan Induk Pasaran Modal Kedua (CMP2) bagi memastikan pasaran modal negara kekal menarik di kalangan pelabur serta merancakkan lagi Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) selaras matlamat menjadi negara maju pada 2020.

Ia dibuat ketika pasaran dunia khususnya Asia bersaing sengit merebut modal bagi meraih pertumbuhan tinggi dalam ekonomi dan daya saing perniagaan, sekali gus memakmurkan negara masing-masing.

Perdana Menteri berkata, CMP2 bagi tempoh 10 tahun akan datang, menggariskan langkah mengurangkan kerenah birokrasi bagi kelulusan perniagaan, meningkatkan penjanaan dana bagi modal perniagaan, memperuntukkan lebih banyak dana dalam industri modal teroka dan ekuiti persendirian serta meningkatkan akses kepada pasaran bon bagi merangsang pelaksanaan projek besar.

Katanya, kerajaan sedar cabaran ekonomi Malaysia pada 2011 sangat berbeza berbanding 2001, iaitu ketika Pelan Induk Pasaran Modal pertama dilancarkan.
Masalah baru menuntut penyelesaian baru dan CMP2 menjanjikan saiz pasaran modal yang lebih besar.

“Berdasarkan jangkaan semasa, saiz pasaran modal kita akan menjadi lebih sekali ganda kepada RM4.5 trilion pada 2020 dan dengan pengantarabangsaan, angka itu boleh meningkat kepada RM5.8 trilion dalam tempoh itu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Invest Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, semalam.
Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata satu skim dana pencen swasta akan ditubuhkan menjelang akhir tahun ini bagi menggalakkan kepelbagaian dalam pengurusan simpanan jangka panjang.

Selain itu, keupayaan pengurus dana untuk melabur secara langsung akan dipermudahkan melalui pengukuhan struktur perundangan bagi pengumpulan pelaburan.

“Meningkatkan bilangan produk pasaran derivatif adalah satu lagi perkembangan penting bagi meningkatkan kecairan pasaran, menambah baik keupayaan untuk dagangan merentasi pasaran dan lindung nilai risiko.

“Nilai semasa dagangan tahunan dalam pasaran derivatif dijangka berkembang pesat daripada RM512 bilion tahun lalu kepada RM4.2 trilion pada 2020, dengan kesan limpahan yang positif ke atas kecairan pasaran saham,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, antara keutamaan CMP2 adalah mengukuhkan peranan pasaran modal dalam menggalakkan pembentukan modal daripada peringkat permulaan kepada pembiayaan inovatif, projek besar baru dan teknologi hijau yang canggih.

Bagi menggalakkan transaksi berskala besar, katanya, akses kepada pasaran bon akan diperluas, mempertingkat minat pelabur terhadap penawaran pelbagai produk hutang dan risiko kredit, memperluas penyertaan industri pengurusan pelaburan dan pelabur runcit dalam pelaburan pendapatan tetap, serta menambah baik infrastruktur pasaran.

Mengenai Rang Undang-undang pengkorporatan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang diumumkan pada persidangan tahun lalu, Najib menjelaskan, ia telah dibentangkan di Dewan Rakyat dan dijangka akan berkuat kuasa pada Julai.

Melalui langkah itu, katanya, MIDA akan diperkasakan sepenuhnya untuk mempercepatkan membuat keputusan dan menyelaraskan agensi promosi pelaburan yang lain bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran ditambah nilai yang tinggi Malaysia dan mengembangkan sektor perkhidmatan.

“Jadi, bagi mengelakkan pertindihan dan kekeliruan, MIDA akan diperkasakan sepenuhnya bagi membuat keputusan dengan segera dan menyelaraskan kesemua agensi promosi pelaburan yang lain bagi sektor pengeluaran dan perkhidmatan Malaysia,” katanya.

Najib berkata, pengurusan ekonomi terbuka, telus dan saksama sentiasa menjadi ciri utama di Malaysia sama ada kepada peniaga ataupun kerajaan, justeru itu kerajaan sudah merencanakan beberapa pelan mencorakkan hala tuju negara dalam mengharungi dekad seterusnya serta membina momentum pertumbuhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan