KOTA BHARU, 14 Jun: Selepas agak lama isu membabitkan Bazar Tok Guru reda, kini Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB kembali kelam kabut apabila menghantar memorandum kepada pelbagai pihak mendakwa kononnya mereka dianiaya.
Isunya bermula apabila bekalan elektrik di pasar tersebut dipotong pada 10 Jun lalu. Ekoran itu peniaga di situ gelabah semula.
Apa puncanya bekalan elektrik dipotong. Persatuan mungkin menyembunyikan fakta bil elektrik berjumlah hampir RM60,000 difahamkan gagal dibayar peniaga di situ sejak beberapa bulan lalu.
Persoalannya sekarang siapa yang tidak menjelaskan bil tersebut, peniaga atau persatuan.
Pemilik bangunan Pasar Lama MPKB, Sensa Timur Sdn Bhd difahamkan mengarah peniaga terbabit mengosongkan bangunan itu 31 Mac lalu, namun hasil campur tangan kerajaan negeri tempoh perpindahan dilewatkan sehingga akhir Jun ini.
Pengurus Pemasaran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Khalili Abdul Kadir berkata, isu terbaru yang ditimbulkan Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB ada kaitan bekalan elektrik dipotong kerana bil tertunggak begitu banyak.
“Difahamkan peniaga terbabit sudah pun dimaklumkan mengenai tunggakan bil elektrik yang belum dijelaskan,” katanya.
Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Salim Ahmad semalam dilaporkan mendakwa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam menarik balik deposit di Tenaga Nasional Berhad menyebabkan bekalan elektrik dipotong.
Persatuan itu juga dilapor menyerah memorandum kepada Istana Kelantan dan kerajaan negeri supaya campur tangan bagi menyelesaikan kemelut tersebut.
Salim juga mendakwa peniaga berdepan dengan pemilih lot secara tidak adil di Bazar Tok Guru.
Sebelum ini persatuan terbabit juga mengharap pemimpin Umno termasuk Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed membela mereka.
Namun sehingga kini Umno mendiamkan diri, sebaliknya masalah mereka diselesaikan kerajaan negeri termasuk menawar lot di Bazar Tok Guru secara percuma selama setahun di tingkat bawah dan dua tahun di tingkat satu.
Selain itu juga mengurangkan harga setiap lot sebanyak RM25,000 menjadikan harga ditawarkan RM63,000 jauh lebih rendah berbanding harga asal RM88,000.
Tawaran memiliki lot di tingkat bawah dan tingkat satu dengan harga RM63,000 hanya sah sehingga 31 Mei lalu.
Dan selepas 31 Mei sehingga akhir Jun ini harga setiap lot ditawarkan sebanyak RM70,000 dan setiap peniaga perlu mengurus sendiri pinjaman bank.
Selepas 30 Jun tiada lagi sebarang diskaun diberi dan peniaga ditawar pada harga asal iaitu RM92,000 di tingkat satu dan RM88,000 di tingkat bawah.
PMBK juga memberi peluang mana-mana peniaga yang mendaftar awal boleh memilih lot dan pendaftaran lewat akan diberi lot secara pengundian.
Sebelum ini hampir setahun persatuan terbabit menjaja isu lot ruang niaga di Bazar Tok Guru sempit dan mahal. Mereka menggunakan Umno bagi menghentam kerajaan negeri.
Sedangkan mereka lupa saiz lot dikecilkan berdasar kepada kehendak persatuan kerana mahu kesemua peniaga ditempatkan di tingkat bawah.
Khalili berkata, peniaga yang mendaftar awal iaitu lebih 80 orang akan berpindah dahulu ke Bazar Tok Guru dalam masa terdekat ini.
“Kumpulan kedua iaitu 200 peniaga yang memohon selepas 2 Mei lalu perlu menjalani pengundian bagi menentukan lot masing-masing,” katanya.
Menurutnya minggu ini surat tawaran dikeluarkan kepada peniaga berkenaan iaitu berdasar kepada permohonan awal yang diterima PMBK.
Persatuan Peniaga Pasar Lama hanya berbaki hayat 16 hari lagi. Sebelum ini difahamkan mereka menemui beberapa pemimpin PAS memohon maaf di atas kritikan dilempar kepada kerajaan negeri berhubung isu Bazar Tok Guru.
Pada pagi Ahad lalu ada pihak tertentu menaikkan bendera PAS di sekeliling Pasar Lama MPKB sebagai memprotes bekalan elektrik dipotong.
Pemilik bangunan juga sudah memasang tiang besi bagi membina pagar di sekeliling pasar tersebut untuk membolehkan projek pembangunan semula pasar dijalankan selepas peniaga berpindah. -Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan