Ismail Hashim
SHAH ALAM, 29 Jun: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said (gambar) menegaskan beliau tetap sertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai depan kecuali dihalang atau 'dihilangkan'.
Ketika menjawab soalan wartawan dalam satu sidang media petang tadi, tokoh seniman pejuang ini bertegas dengan pendirian teguhnya.
Pada 27 Jun lalu, Pak Samad telah dipanggil ke Balai Polis Dang Wangi untuk diambil keterangan tentang sajaknya bertajuk Unggun Bersih.
Sajak yang menyokong Bersih itu dibacakan dalam majlis Pelancaran Bersih pada 19 Jun lalu di ibu kota, itu pun hanya dibaca dalam dua para sahaja.
Sidang media itu disertai juga Presiden Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Dinsman; Setiausaha Paksi, Hasni Abas dan Setiausaha Budayawan Bertindak, Kassim Muhammad.
Sebelum itu, Pak Samad mengulas sebuah novel baru nukilan Razali Endun bertajuk Cinta AF yang menyindirkan situasi sebuah rancangan realiti sebuah rangkaian televisyen.
Dinsman dalam kenyataan sama kesal dan sedih kerana tindakan polis memanggil Pak Samad ke balai polis untuk disiasat kehadirannya di majlis pelancaran Bersih itu sebagai kurang wajar.
Bagi Paksi, karya seorang seniman besar sangat dihargai dan dihormati di negara ini malah di peringkat antarabangsa.
"Betapa murni niat dan geraktindak seorang seniman yang luas berpengalaman ini, untuk berbakti kepada negara, bangsa dan tanahairnya.
"Paksi tidak faham mengapa pihak polis perlu menimbulkan rasa curiga terhadap manusia sebaik Pak Samad ini.
"Jika insan berhati luhur seperti Pak Samad bersuara dan memberikan teguran ikhlas, sama-sama kita mendengarnya dan jangan takut pada bayang-bayang," tegasnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan