Selasa, 6 September 2011

APA CERITA !!! UMNO bela polis Bukit Kepong sampai pencen pun tak bagi

Apa cerita ni? Pemimpin dan Pencacai UMNO kata mereka ini adalah 'Pejuang Negara' meskipun ketika peristiwa berlaku mereka yang terbunuh berkhidmat untuk penjajah British..

Kalau dah dikatakan mereka sebagai 'Pejuang Negara' mengapa pencen tidak dibayar kepada Balu mereka??

Sharifah Aminah Syed Ali, 83, balu kepada seorang anggota polis yang pernah berkhidmat di Balai Polis Bukit Kepong selepas berlakunya tragedi serangan komunis, memohon supaya dipertimbangkan untuk menerima pencen suaminya yang meninggal dunia semasa bertugas di Balai Polis Kulim pada 1962.

Sharifah Aminah, yang kematian suami Syed Omar Syed Yasin hampir 50 tahun lepas, memohon agar dipertimbangkan bayaran pencen kerana sepanjang kematian suaminya, dia tidak pernah menerima imbuhan itu.

"Selepas kematian suami, tok hanya menerima duit sagu hati sebanyak RM1,800 dan selepas itu dah tak dapat apa-apa duit dah. Duit pencen pun tak dapat juga sampai hari ini," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata bahawa selepas berkahwin dengan Syed Omar, mereka menetap di Kota Tinggi, kemudian berhijrah ke Johor Baharu sebelum ditukarkan ke Bukit Kepong.

"Masa mula-mula sampai di Bukit Kepong, rusuhan memang sudah reda tetapi keadaan masa itu sangat menakutkan. Selepas 6 petang, kami perlu tutup semua pintu dan tingkap dan tidak boleh keluar rumah. Nak ambil air dari telaga (perigi) pun tak boleh sebab komunis humban mayat-mayat dalam telaga.

"Kami terpaksa menggunakan air Sungai Bukit Kepong untuk kegunaan seharian," kata Sharifah Aminah.

Katanya beliau terkilan kerana pengorbanan suaminya yang manggunakan nombor pengenalan polis 10568 semasa berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia, tidak dihargai.

Suami beliau, yang ketika itu berusia dalam 40-an, meninggal dunia setelah terjatuh basikal ketika dalam perjalanan ke balai.

"Tok bukannya nak minta banyak tetapi sekurang-kurangnya dapat pencen suami kerana dia meninggal pun semasa bertugas. Sekurang-kurangnya duit tu boleh tok guna untuk tanggung kos rawatan kira-kira RM500 sebulan," kata Sharifah Aminah yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit tulang belakang yang menyebabkan dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Beliau berkata kehidupannya susah selepas suaminya meninggal dunia kerana dia terpaksa mengambil upah menjahit baju untuk menyara enam orang anaknya yang masih kecil.

"Kini semua kos rawatan dan kos sara hidup ditanggung oleh menantu saya yang menerima pencen RM400 sebulan. Dia pun susah sebab kena tanggung anak yang cacat. La ni (sekarang) dia berniaga surat khabar dan nasi lemak bagi menambah pendapatan untuk tanggung kami sekeluarga," kata Sharifah Aminah yang tinggal bersama anak, menantu dan cucunya di Taman Nakishah, Jalan Datuk Kumbar di Alor Setar.

Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan