Khamis, 8 September 2011

MB Johor Contoh Terbaik Talibarut British? (Wajib Baca!!)


Perdebatan sejarah kemerdekaan kembali panas dengan pengakuan MB Johor, yang menukar pendiriannya setelah mengatakan Mat Indera sebagai Tokoh Terbilang suatu ketika dulu. Apakah tujuan MB Johor menukar pendirian? Apakah MB Johor ini ditekan oleh Umno Johor kerana kerisauan Johor juga bakal tumbang jika sejarah sebenar terungkai ?

Merujuk kepada kenyataan MB Johor dalam portal bernama;

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.

Beliau berkata berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM), sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.

"Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan.

"Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).

Sebelum diulas dengan lebih lanjut, mari kita renung apakah tindak tanduk penjajah British (atau boleh saya kata pengganas British?) ketika Mat Indera melancarkan gerakan kemerdekaan. British melabelkan Mat Indera sebagai pengganas komunis lalu meletakkan $75 000 untuk kepala Mat Indera. Keluarga Mat Indera juga diseksa dan dibuang daerah oleh British. Apabila Mat Indera ditangkap, hukuman untuk beliau adalah penyiksaan untuk berbulan lamanya dan akhirnya beliau dihukum gantung di Taiping.

Hari ini, Menteri Besar Johor membuat kenyataan bahawa Mat Indera seorang pengganas komunis yang kejam dan zalim walaupun dalam buku "Pengukir Nama Johor", MB Johor ini jugalah yang menamakan Mat Indera sebagai Tokoh Terbilang. Bukankah kenyataan MB Johor ini menyerupai imperialis Inggeris? Apakah kenyataan MB Johor ini melengkapkan kebenaran betapa Umno adalah talibarut British dan meneruskan legasi British?

Mungkin sedikit masa lagi akan ada pemimpin Umno yang tergamak mengatakan Tok Janggut juga sebagai pengganas kerana Tok Janggut juga membunuh polis melayu yang bernama Sarjan Che Wan di Pasir Mas, Kelantan. Tok Janggut yang dibunuh dan gantung secara terbali, kemudian diheret menyeberangi Padang Bank Kota Bharu, tidak pula dianggap pengganas dalam buku teks sejarah. Inikah yang dikatakan sejarah ?

Berbalik kepada kepahlawanan Mat Indera, beliau pada awalnya telah diiktiraf dalam buku Pengukir Nama Johor sebagai antara tokoh negeri Johor yang terbilang. Ironinya, yang mengiktiraf beliau sebagai tokoh terbilang itu adalah MB Johor sendiri, lantas MB Johor menyatakan;

Penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.

Dengan kata-kata di atas, apakah kita juga boleh melebel sejarah kemerdekaan oleh Umno yang tertulis dalam mana-mana buku teks sejarah yang diiktiraf itu adalah semata-mata bahan kajian di atas prinsip 'kebenaran akademik' untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan ?

Kenyataan MB Johor hari ini juga menyebut, apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan. Tetapi MB Johor tidak pula merungkaikan mengapa hanya hanya gerakan melayu Umno sahaja yang tidak diharamkan?

Ternyata pihak British tidak memberi ruang kepada semua gerakan kemerdekaan apabila mengharamkan PKMM, AWAS, API dan PKM. Semua nasionalis yang menuntut kemerdekaan tidak diberi pilihan. Hanya dengan menyertai kumpulan bangsawan elit Umno untuk kemerdekaan acuan British, atau berdepan dengan risiko merengkok dalam penjara atau lebih buruk, dibunuh menjadi pejuang tidak bernama.

Walaupun kenyataan MB Johor hari ini bersifat dangkal dan bodoh sombong, tetapi kita harus bersyukur kerana ia secara tidak langsung memberi petunjuk jelas betapa kemerdekaan yang dituntut Umno diberi laluan mudah oleh British dengan satu keraguan - Benarkah Umno talibarut British? Ia juga secara langsung membangkitkan ghairah lebih ramai anak muda untuk mengetahui sejarah sebenar kemerdekaan di sebalik sejarah doktrin penutup minda.

Setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah buat MB Johor yang serba flip-flop. Moga lebih ramai pemimpin Umno yang bersuara sepertimana kenyataan MB Johor hari ini. Keraguan sejarah kemerdekaan semakin terserlah dan memasuki era perdebatan terbuka. Benarlah kata orang, Umno akan dimakan sejarah, Umno sejarah...
Edyes @ edyesdotocom

Tiada ulasan:

Catat Ulasan