Ahad, 25 Disember 2011

AWAS..!!! Johor sudah bukan Fix Deposit kepada UMNO...



Johor bukan kubu Umno lagi


Oleh SAFAR JUMAAT

BAGI orang Umno dan penyokong BN, Johor adalah negeri di mana Umno boleh menjanjikan “simpanan tetap” kepada mereka, namun keadaan politik kini, dengan perubahan kepada kekuatan pembangkang yang semakin ketara, sudah ada yang demam tak kebah.
Dalam pilihan raya umum sebelum 2008, PAS dapat satu kerusi percuma di Dun Senggarang apabila calon BN melakukan kesilapan mengisi borang pencalonan

Dr Ramli Mohd Kari merupakan pencetus kepada “mengambangnya bulan purnama” di Johor dan apabila sampai tarikh Pilihan Raya Umum ke 12, Mac 2008, PAS memenangi dua kerusi Dun, iaitu Maharani dan (Dr Mohamad Taslim) dan Sungai Abong (Dr Sheikh Ibrahim Ismail).

Hari ini, KeADILan Johor dipimpin oleh seorang bekas menteri kabinet, Dato’ Chua Jui Meng, bekas Menteri Kesihatan dan bekas Ahli Parlimen Bakri.

Beliau pernah menjadi Naib Presiden MCA dan merupakan antara calon MCA suatu ketika dahulu yang cukup kuat sokongannya daripada pelbagai lapisan masyarakat di Bakri.

Isu paling besar di Johor sekarang ialah soal penggantian Menteri Besar (MB), Dato’ Abdul Ghani Othman yang sudah empat penggal menjadi MB.

Selepas dua penggal menjadi MB, namanya dikatakan mahu digugurkan. Antara nama yang disebut menggantikannya ketika itu ialah Dato’ Seri Mohamad Khaled Nordin.

Namun, Abdul Ghani dikekalkan atas kehendak pihak atasan dan akhirnya sekali lagi Abdul Ghani disebut-sebut mahu ditukar namun ia tidak berjaya.

Ketika Perhimpunan Agung Umno berlangsung di PWTC barubaru ini (29 November-3 Disember 2011), pelbagai risalah mengecam dan memalukan Mohamad Khaled tersebar di PWTC.

Ada pihak mendakwa ini adalah kerja-kerja mereka yang mahu mengetepikan Mohamad Khaled dari disebut sebagai bakal MB Johor selepas ini dan dalam masa yang sama, beberapa bahagian dikatakan bermasalah besar kerana perebutan menjadi calon.

Walaupun sejarah tertulis mengatakan Umno dilahirkan di Johor, namun orang Melayu Johor sudah mula berubah angin. Jika tidak, mustahil undi mereka boleh berpihak kepada pembangkang, iaitu kepada DAP, PAS dan kini KeADILan.

Dari segi sejarahnya, DAP memang pernah menang di Johor, iaitu di Kluang dan kini Bakri. DAP juga pernah menang kerusi Dun Maharani beberapa kali selain dari Bekok dan Jementah. Parti Melayu Semangat 46 (S46) juga pernah menang kerusi Dun Parit Bakar dan dakwaan mengatakan Johor merupakan kubu Umno dan benteng BN adalah silap.

Dari apa yang berlaku sekarang, membuktikan bahawa Johor kali ini akan berdepan dengan pelbagai masalah selain isu rasuah beberapa orang wakil rakyat BN. Hubungan tidak mesra antara Abdul Ghani dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh juga akan menjadikan krisis yang melanda Umno akan menjadi semakin ketara.

Dalam PRU12 yang lalu, Abdul Ghani khabarnya tidak mahu menamakan calon yang Muhyiddin setuju bertanding di Dun Jorak menggantikan Dato’ Samad Ariffin. Ketika nama Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Pagoh disenaraikan tetapi akhirnya Muhyiddin menukarkan kepada Dato’ Dr Shahruddin Md Salleh.

Kali ini, menjadi satu masalah besar jika BN di Johor mahu menggugurkan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar di Kota Tinggi dan bekas Menteri Pelancongan, Dato’ Seri Azalina Othman Said di Penggerang, kerana pengaruh mereka yang semakin mencengkam di kawasankawasan tersebut.

Apakah BN Johor mampu mengetepikan Dato’ Sharir Abd Samad di Parlimen Johor Bahru kerana sudah terlalu lama di situ?

Jika bukan Abdul Ghani menjadi Menteri Besar, jika BN memenangi semula pilihan raya Dun Johor kali ini, siapakah yang layak menggantikannya?

Adakah bakal pengganti Abdul Ghani masih merupakan proksi Abdul Ghani atau, pengganti MB ini mestilah atas pilihan Muhyiddin?

Ada tiga Timbalan Menteri dari Johor yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Ketiga-tiga disebut-sebut bakal menjadi MB Johor selepas Abdul Ghani. Siapakah yang bernasib baik antara Dr Puad Zarkashi, Dato’ Razali Ibrahim dan Dato’ Dr Abd Latif Ahmad?

Biasanya orang Muar yang akan menjadi Menteri Besar jika dilihat sejarah sebelum ini seperti Tan Sri Othman Saat, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Abdul Ghani sendiri, kecuali Dato’ Abdul Ajib Ahmad.

Jika faktor Ajib diambil kira, Dr Abd Latif akan mendapat tempat Abdul Ghani kerana Ajib merupakan wakil rakyat Mersing ketika menjadi MB Johor. Dr Abd Latif adalah Ketua Umno Bahagian Mersing. Jika orang Muar, nampaknya Razalilah bakal menggantikan Abdul Ghani.

Itu cerita lama. Cerita sekarang sudah banyak berubah. Dulu, Umno dan BN merupakan parti dominan. Letak songkok pun boleh menang jika mewakili BN. Tetapi keadaan itu sudah berubah sekarang.

Umno Johor terkial-kial mencari sokongan sekarang kerana pengundi sudah tahu membuat pilihan. Jika dulu, Umnolah yang orang Melayu kenal di Johor tetapi kini mereka sudah berani mengundi PAS dalam pilihan raya.

Jika dulu hanya Kluang sahaja merupakan kawasan DAP tetapi sejak kebelakangan ini, sudah banyak tempat yang DAP boleh menang dan beberapa kerusi, walaupun DAP kalah tetapi undi yang dikutip cukup memberangsangkan.

Dengan apa yang berlaku dalam MCA dan Gerakan sekarang, peluang DAP menambah kerusi di Dun Johor dan peluang PAS menambah kemenangan amatlah cerah. Usah terkejut jika Pakatan Rakyat memerintah Johor selepas PRU13 akan datang dengan apa yang berlaku sekarang.

Pengundi Cina dan India sebenarnya belum mahu kembali menyokong BN kerana mereka sudah lama memberi BN peluang berkuasa.

Apa lagi janji baru yang BN di Johor mahu taburkan untuk menyembunyikan masalah yang sedang mereka hadapi sekarang? Khabarnya di Muar, khidmat Ahli Parlimennya, Razali Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan sudah mula dipertikaikan.

Begitu juga ceritanya di Parit Sulong, Dato’ Noraini Ahmad yang pernah menjadi Timbalan Menteri dikatakan tidak akan dikekalkan sebagai Ahli Parlimen.

Pertelingkahan antara Adun Kempas, Osman Safian dengan Dato’ Nur Jazlan Mohamed di Bahagian Pulai masih tidak berkesudahan.

Betulkah Dato’ Dr Wee Ka Siong tidak berani mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam yang diwakilinya kerana sokongan orang-orang Melayu terhadap keceloparannya menjadi topik perbualan sekarang.

Hishammuddin Hussein juga dikatakan bermasalah di Parlimen Sembrong dan mahu dipindahkan semula ke Tenggara.

Siapakah calon MCA yang bakal diketengahkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Bakri kali ini selepas ketiadaan Chua Jui Meng? Ada banyak persoalan yang berlegar dan menghambat kekuatan BN yang selama ini dianggap kukuh dan bentang di Johor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan