Isnin, 13 Februari 2012

Bayar balik untuk tutup skandal NFC


KUALA LUMPUR, 13 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang menasihati Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil membayar balik RM250 juta yang dipinjamkan kepada syarikat milik keluarganya daripada peruntukan National Feedlot Corporation (NFC).

"Saya tidak nampak apa tujuan sebenar Nazri menasihat Shahrizat agar membayar balik peruntukan tersebut, ini bukannya cara untuk kita menutup skandal yang berlaku di dalam NFC.

"Sebagai seorang menteri yang menjaga undang-undang, beliau sepatutnya berfikir secara rasional dan merujuk kepada undang-undang, yang bersalah perlu dikenakan tindakan apatah lagi dalam isu penyelewengan wang rakyat," tegasnya.

Mahfuz menyatakan pembayaran balik wang tersebut adalah perlu kerana ia adalah duit rakyat tetapi kalau alasan untuk menutup skandal tersebut ia bukan jalan penyelesaian.

"Nazri perlu peka dan jangan jadikan perkara tersebut satu benda yang remeh kerana penyelewengan dalam NFC melibatkan jumlah yang besar, apatah lagi kelemahan telah berlaku dari peringkat jawatankuasa itu lagi.
164

"Malah tindakan Nazri itu adalah umpama ingin melindungi seseorang, yang mana pada waktu ini kita hanya ketahui Shahrizat sahaja yang terlibat dan saya yakin masih ramai lagi yang terlibat, perkara tersebut kita perlu dedahkan," sambungnya lagi.

Dalam kenyataannya, Nazri menasihatkan ahli keluarga rakan kabinetnya itu supaya membayar balik RM250 juta yang diberikan kepada syarikat keluarganya bagi menjalankan projek ternakan lembu itu.

Bercakap kepada wartawan di kawasan parlimennya di Padang Rengas, Nazri berkata tindakan itu adalah penyelesaian terbaik bagi masalah berkenaan tanpa perlu Shahrizat meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Beliau (Shahrizat) tak perlu letak jawatan. Apa yang paling utama, kembalikan semula wang itu kepada kerajaan,” Sinar Harian memetik Nazri berkata.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mendesak agar minit mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan NFC bertarikh 23 November 2011 diserahkan kepada Ahli Parlimen sebelum sesi parlimen tahun ini ataupun didedahkan kepada umum.

Ini, katanya kerana di dalam minit mesyuarat tersebut terdapat laporan daripada kementerian terbabit berhubung NFC.

"Pertama sekali saya ingin meminta agar PAC menyerahkan laporan berhubung dengan skandal NFC kepada setiap Ahli Parlimen sebelum sesi 2012 ini bermula, yang mana kita tahu terlalu banyak kelemahan berlaku dalam projek tersebut.

"Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid perlu berani membuat pendedahan tersebut kerana melalui laporan awal beliau sebelum ini juga ada menyatakan bahawa perjanjian ditandatangani selepas peruntukan diberikan, ini hanyalah sebahagian dari kelemahan yang berlaku," ujarnya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini.

Jelasnya lagi, pendedahan laporan tersebut amat penting kerana rakyat juga ingin tahu apa sebenarnya berlaku dan setiap penyelewengan perlu diketahui walaupun melibatkan seorang menteri.

Malah beliau turut memberitahu, penyelewengan projek NFC itu bukan sahaja berlaku di peringkat perlaksanaan melalui syarikat yang dilantik tetapi ia telah bermula pada peringkat jawatankuasa lagi.

"Saya ingin beritahu untuk perlaksanaan projek NFC ini terdapat empat jawatankuasa yang melibatkan Kementerian Pertanian (MOA), Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kerajaan Negeri Sembilan dan juga pihak pengurusan NFC.

"Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi memantau setiap perjalanan projek tersebut malah peruntukan sebanyak RM250 juta itu juga perlu disalurkan mengikut peringkat projek bukannya secara terus iaitu RM250 juta.

"Tetapi sebaliknya berlaku yang mana peruntuk dibayar sepenuhnya dan apa peranan yang dilakukan oleh jawatankuasa tersebut kalau ia ditubuhkan untuk memantau perjalanan projek bagi tujuan menyalurkan peruntukan," kata Naib Presiden PAS itu lagi.

Mahfuz turut menyatakan isu NFC akan menjadi tajuk perbahasan pasa sesi parlimen kali ini dan desakan akan terus dilakukan sehinggalah kerajaan mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat dalam penyelewengan skandal NFC. -Hrkh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan