Isnin, 21 Januari 2013

Dapat royalti minyak melalui pilihan raya lagi cepat


Siang tadi PM Najib berada di Kota Baru untuk menabur janji lagi. Ada tujuh yang dijanjikan beliau kepada orang Kelantan. Di antaranya ialah membina lebuhraya Kota Baru Ke Kuala Kerai dan membina 3,000 unit rumah mampu milik untuk rakyat Kelantan jika BN berjaya merampas negeri itu dari PAS (PR) dalam pilihanraya kali ini. Selain dari itu ialah untuk membekalkan air bersih, membina UiTM dengan kapasiti pelajar seramai 5,000 dan memperbaiki keadaan sistem pengangkutan awam dan berbagai-bagai lagi janji yang telah kita dengar setiap kali pilihanraya tiba.


Janji yang paling seronok kita mendengarnya ialah masalah royalti minyak dan Najib telah berjanji penubuhan jawatankuasa tentang isu ini. Isu tuntutan royalti minyak sememangnya menjadi isu yang terhangat kerana kegagalan serta keengganan Petronas membayar royalti minyak seperti yang termaktub dalam perjanjian pada bulan Mei 1975 yang lalu. Berbillion ringgit wang royalti yang sepatutnya di terima oleh rakyat Kelantan melalui kerajaan pilihan mereka masih belum dibayar dan wang royalti ini dijadikan sebagai alat menekan rakyat Kelantan untuk memilih BN dalam pilihanraya ini.

Bagi saya rakyat Kelantan mesti jangan percaya dengan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan itu kerana ia belum boleh memastikan rakyat Kelantan akan berjaya mendapatkannya dan ia akan memakan masa yang lama untuk mengetahui kejayaannya. Jawatankuasa itu mungkin untuk menarik perhatian rakyat Kelantan untuk menyokong BN dan juga menggunakan jawatankuasa itu untuk tidak membayarnya setelah mereka (BN) mendapat kuasa nanti.

Rakyat Kelantan ada jalan untuk mendapatkan wang royalti itu dengan mudah dan lebih pasti. Jalannya ialah untuk memperkuatkan usaha menaikkan Pakatan Rakyat dan mempastikan Pakatan Rakyat dapat menguasai Putrajaya. Jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya untuk mendapatkan wang royalti itu akan bertambah mudah dengan melaksanakan perjanjian tahun 1975 itu dengan serta merta dan tidak payah bermula dengan perbincangan awal seolah-olah rakyat Kelantan belum pernah membuat perjanjian dengan Petronas.

Rakyat Kelantan wajar bersama-sama dengan rakyat di negeri-negeri lain untuk memenangi pilihanraya ini kerana kejayaan untuk mendapatkan kuasa itu sudah terlalu hampir jika diizinkan Tuhan. Tidak payah membuang masa untuk bermesyuarat bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan wang royalti itu yang belum pun tentu berjaya diperolehi melalui jawatankuasa itu.

Rakyat Kelantan perlu mendapatkannya secepat mungkin melalui kuasa yang di perolehi dalam pilihanraya nanti. Kalau sudah ada jalan yang singkat, kenapa perlu kita melalui jalan yang berliku-liku. Lagi pun sememangnya rakyat Kelantan sudah pun selesai menanda tangani perjanjian tiga puluh lapan tahun yang lalu dengan Petronas.

Setelah mendapat kuasa nanti laksanakan sahaja perjanjian itu. Habis cerita. Bagi mendapatkan jalan mudah dan pendek ialah dengan mengenepikan BN dalam pilihanraya nanti, kerana BN lah yang menjadi penghalang kepada wang royalti itu untuk dibayar kepada rakyat dan kerajaan negeri Kelantan.

Masanya hanya tinggal kurang dari tiga bulan sahaja lagi. Tidak perlu menunggu jawatankuasa yang di bentuk oleh Putrajaya itu untuk memutuskannya.Melalui usaha jawatankuasa tuntutan royalti itu lambat hasilnya.Jika kita dapatkan melalui pilihanraya ia akan memakan masa hanya lebih kurang tiga atau empat bulan sahaja lagi.

Tetapi saya seperti menyuluh di tempat yang terang. Rakyat Kelantan lebih faham dari saya. -
http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan