Isnin, 21 Januari 2013

Terlibat Beri IC Kepada Warga Asing, AMK Mahu Timbalan Pengerusi SPR Digantung Tugas

Angkatan Muda KEADILAN Malaysia (AMK) memandang serius akan pendedahan dua orang saksi yang memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah.

Kedua-dua saksi yang merupakan bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negeri Sabah mendedahkan bagaimana wujud campur tangan langsung melibatkan tokoh-tokoh Umno termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tan Sri Abd Aziz Shamsuddin dan Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob.
Modus operandi yang dilaksanakan ialah dengan memproses kad pengenalan biru kepada pendatang asing bagi membolehkan mereka mengundi selaku ‘pengundi berdaftar’.

Beban pembuktian paling besar kini berada di tangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Isu pengundi hantu merupakan isu yang secara konsisten diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat di dalam kempen saban waktu. Dan dalam setiap keadaan juga, SPR konsisten mempertahankan bahawa tidak ada pengundi hantu di dalam sistem pilihanraya Malaysia usai 55 tahun kemerdekaan.

Pendedahan di dalam Suruhanjaya Di Raja ini membuktikan secara jelas bahawa Projek IC yang didakwa sebelum ini ternyata wujud.Terdahulu pada tahun lepas tersebar luas pendedahan oleh seorang bekas staf Jabatan Pendaftaran Negara yang juga merupakan tahanan ISA, Yakub Damsah mengenai Ops Gembleng yang dilaksanakan untuk memastikan pertambahan pengundi melalui pemberian Kad Pengenalan Biru kepada warga asing untuk memastikan Barisan Nasional menang dalam PRU 1995.

AMK mencabar SPR untuk menyatakan pendirian mengenai pendedahan ini. Apakah selama ini SPR benar-benar melaksanakan tugas dengan amanah dan integriti yang tinggi ataupun sebenarnya menjadi pencacai Umno-BN selaku ‘jentera kemenangan pilihanraya’ Umno-BN?

Pendedahan ini tentunya menimbulkan keraguan mengenai tahap sebenar ketelusan sistem pilihanraya negara ini, kerana berdasarkan pendedahan ini, wujud kebarangkalian bahawa tindakan serupa juga akan terus dilakukan oleh Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, yang dibabitkan secara langsung di dalam projek IC ini apatah lagi kini beliau menjawat jawatan Timbalan Pengerusi SPR.

Maka AMK mendesak Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar digantung tugasnya serta merta demi menjaga nama baik SPR dan menghalang krisis kepercayaan terhadap badan itu, sehingga siasatan selesai dijalankan oleh Suruhanjaya DiRaja.

AMK Malaysia juga mendesak sekiranya tuduhan ini tidak benar, maka Datuk Wan Ahmad Wan Omar harus dengan segera menafikan dakwaan ini dan bertanggungjawab serta berani untuk berhadapan dengan rakyat yang inginkan penjelasan, bukannya mengelak dan berselindung di sebalik alasan prosiding Suruhanjaya DiRaja masih berjalan.

Penelitian yang dibuat di laman sesawang www.spr.gov.my juga memaparkan bahawa antara jawatan yang pernah disandang oleh Datuk Wira Wan Ahmad ialah sebagai Penasihat Politik Kedutaan Malaysia di Filipina pada sekitar tahun 80an dan kemudiannya pada ketika Ops Durian Buruk dijalankan beliau menjawat jawatan sebagai Setiausaha Bahagian (Keselamatan dan Politik) Jabatan Perdana Menteri. Tentunya jawatan-jawatan yang pernah disandang oleh beliau memungkin secara kuat bahawa keterlibatan beliau tidak boleh disangkal lagi.

Pendedahan ini, jelas terbukti masa depan Malaysia makin tergadai di tangan pendatang asing dek keserakahan nafsu dan tamak kuasa pimpinan Umno untuk terus membolot kekayaan negara, khususnya negeri Sabah.

Rakyat Sabah khasnya dan rakyat Malaysia khususnya harus membuka mata dengan pendedahan ini, dan kembalikan kemerdekaan negara ke tangan rakyat.

Masa untuk Umno ‘menjajah’ Malaysia perlu dihentikan segera.
Ketua AMK
Shamsul Iskandar Mohd Akin


 
Pendedahan RCI Buktikan SPR Terlibat Proses Beri Kerakyatan


KUALA LUMPUR 18 JAN : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa terlibat dalam proses pendaftaran memberikan hak kerakyatan kepada warga asing sepertimana dilaporkan dalam siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai isu yang berlaku di Sabah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendedahan dalam siasatan RCI itu membuktikan penglibatan SPR dalam isu tersebut dan ini meragukan kerana perkara sama turut berlaku kini di Selangor.

“Yang dipertikaikan sekarang ialah tidak mengikut peraturan, isu rasuah dan lebih mengejutkan ialah peranan SPR dalam proses penipuan ini.

“Kita mahukan respon segera daripada SPR kerana ia berlaku pada masa lalu dan kita mempunyai bukti berhubung perkara ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sebelum ini, bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mohd Nasir Sugip memberi keterangan berhubung dakwaan kerjasama pihak berkuasa untuk mengubah demografi pemilih Sabah pada 1990-an.

Mohd Nasir ketika memberi keterangan kepada RCI mengenai masalah imigrasi Sabah mendakwa jabatannya pernah menerima arahan daripada SPR Sabah untuk memberi kad pengenalan kepada pendatang asing untuk membolehkan golongan itu mengundi.

Beliau yang pernah ditahan di bawah ISA mendakwa operasi yang digelar “Ops Durian Buruk” itu dijalankan antara tahun 1992 hingga 1995.

Dakwanya, pengarah SPR Sabah pada masa itu, Wan Ahmad Wan Yusof menyerahkan senarai 16,000 nama untuk diklasifikasikan sebagai pengundi ‘Bumiputera Islam’.

Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor itu berkata, Kerajaan Negeri Selangor telah menjalankan kaji selidik mengenai pendaftaran pengundi baru berjumlah kira-kira 400,000 orang.

“Terdapat lebih kurang 138,000 tidak dapat dikesan.Adakah mereka ini dalam kategori sama sebagaimana dikatakan dalam RCI.

“Sekarang ini ialah tanggungjawab SPR supaya menghentikan penipuan dan penyalahgunaan kuasa ini,” katanya.

Katanya, mereka yang didaftarkan ini mungkin tidak hanya mengundi di Sabah tetapi di Selangor, Kuala Lumpur atau Johor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan