Rabu, 9 November 2016

PAS- Ahli Sunnah Wal Jamaah

PAS TETAP TEGUH DENGAN AHLI AL-SUNNAH WAL JAMA’AH, KENAPA MASALAH SUNNI DAN SYIAH DITIMBULKAN SEKARANG?

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Fasal 7(1) Perlembagaan PAS menetapkan bahawa hukum tertinggi kepada PAS ialah Al Quran, Hadis, Ijma’ Ulama dan Qiyas yang nyata. Inilah sumber hukum para Ahli al Sunnah wal Jama’ah. Ini dengan sendirinya memberi makna bahawa setiap ahli PAS wajib menganut mazhab Ahli al Sunnah wal jama’ah, dan tidak diizinkan mazhab yang lain di luar dari Ahlus Sunnah waljama’ah dalam PAS. Perkara ini tidak ada dalam perlembagaan parti lain, termasuk UMNO sendiri yang berdegar Ahli al Sunnah wal Jama’ah. Oleh kerana berprinsipkan Ahli al Sunnah waljama’ah inilah maka Jawatankuasa Disiplin PAS boleh bertindak terhadap aliran mazhab yang lain dalam PAS, bukan sahaja dalam kes disiplin salah laku terhadap pentadbiran PAS.

Namun PAS yang teguh berpegang dengan Islam dan mazhab Ahli al Sunnah wal Jama’ah ini mengadakan hubungan dengan semua pihak lain, termasuklah di kalangan bukan Islam. PAS lebih ke depan dalam mengadakan hubungan dengan semua kumpulan Islam NGO yang berbeza pendekatan dan berbagai mazhab. PAS dapat membezakan dengan ilmu Islam, berdasarkan batas-batas yang diizinkan oleh syara’. Begitulah PAS menyokong kerajaan Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan Iran, Oman, termasuklah negara barat dan komunis.

Saya telah menulis satu kajian terperinci khusus kepada ahli-ahli PAS dan semua pihak yang ingin tahu. Kajian itu bertajuk: “Mazhab-Mazhab dan Firqah dalam Islam” (edisi tulisan jawi ) dan “Ensaiklopedia Mazhab dan Ideologi” (edisi rumi), dengan merujuk kepada sumber-sember ulama terdahulu dan terkini .

Para ulama telah menyenaraikan mazhab-mazhab yang keluar daripada agama Islam dan mazhab yang masih dianggap penganut Islam, kerana masih berpegang dengan rukun-rukun asas dalam perkara iman dan Islam walau pun salah ijtihadnya. Mereka membilangkan dua mazhab dalam Syiah, iaitu Imamiyyah dan Zaidiyyah, dan satu mazhab dalam Khawarij iaitu ‘Ibadiyyah dimasukkan dalam kategori umat Islam.

Para ulama zaman dahulu dan kini meletakkan mazhab-mazhab ini dalam kajian feqah muqaran (perbandingan) dan disebut juga dalam kitab-kitab tafsir dan hadis. Sehingga kini penganut mazhab ini diizinkan menunaikan ibadat haji di Makkah bersama seluruh umat Islam yang datang daripada seluruh pelosok dunia, walaupun mengikut cara mazhabnya, seperti mencabut bumbung bas dan kereta ketika berihram. Persidangan Kemuncak Negara-negara Umat Islam (OIC) dua tahun yang lalu mengambil kira perkara ini dan menjadikan resolusinya.

Perkara ini sebenarnya sudah difahami oleh umat Islam sejak lebih seribu tahun yang lalu, sehingga tidak menghalang kemaraan perkembangan Islam di seluruh pelosok dunia dan kerajaan Islam Ahli Sunnah menjadi kuasa besar tunggal yang paling hebat. Mazhab Ahli Sunnah terus berkembang tanpa takut kepada mazhab Syiah, Khawarij, Mu’tazilah dan lain-lain yang ada dalam masyarakat Islam sendiri, sehingga mampu juga menghadapi perang salib yang bertalu-talu sehingga beberapa abad.

Kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah di abad yang lalu berlaku, setelah umat Islam meninggalkan ilmu Islam, dan ilmu Islam juga dilemahkan. Umat Islam dipecahkan dengan fahaman sekularisma yang memisahkan politik dan urusan duniawi daripada agama Islam, menyebabkan mereka menganut berbagai-bagai ideologi yang asing daripada Islam, khususnya Nasionalisma (semangat kebangsaan dijadikan aqidah) yang boleh menganut apa sahaja ideologi yang berikutnya.

Aqidah nasionalisma menyebabkan umat Islam dipecahkan dengan semangat kebangsaan masing-masing, sehingga bangsa Arab menganggap kerajaan Uthmaniyah Turki adalah penjajah asing. Iran yang dikuasai oleh majoriti Syiah Imamiyyah dan Yaman yang dikuasai oleh raja syiah Zaidiyyah dan mazhab ‘Ibadhiyyah yang menjadi mazhab majoriti penduduk Oman dipisahkan daripada umat Islam.

Dalam masa yang sama perkara berbeza mazhab di dalam Sunni dan di dalam sama-sama Syi’ah dijadikan bahan untuk melagakan umat, sehingga boleh dilagakan oleh penjajah dan mendapat khidmat dan bantuan penjajah untuk menentang di antara satu sama lain. Berakhir dengan jatuhnya kerajaan Uthmaniyyah dan seluruh tanah air umat Islam dibahagikan di kalangan negara penjajah Timur (komunis) di Asia Tengah dan penjajah Barat (kapitalis) di Asia dan Afrika.

Dahulunya para ulama yang mendalami ilmu Islam dapat menangani secara budaya ilmu yang tinggi yang disalin dalam kitab-kitab yang dikarang, walaupun pendapat yang paling lemah dan dikira salah dimasukkan juga di dalam kitab dan dihujah secara ilmu, bahkan ada pendapat mazhab lain yang diambil kira sekiranya ada hujah yang kuat.

Kini kita berada dalam era kebangkitan Islam yang sangat mengembirakan pendukung Islam dan menakutkan musuhnya yang dengki. Umat Islam wajib kembali semula kepada budaya ilmu yang tinggi dengan menggunakan teknologi maklumat terkini bagi menolak mazhab yang lemah secara hujah, dalam masa yang sama menyedari adanya agenda penjajah baru yang mengulang tayang senario lama dengan solekan baru yang disesuaikan dengan situasi terkini.

Perlu difahami betapa kuasa besar timur dan barat mewujudkan negara haram Israel secara sepakat, sebagai strategi pengacau dalam dunia Islam, khususnya rantau Asia Barat. Semua negara kuasa besar juga berlumba menanam pengaruh di rantau yang mempunyai sumber tenaga minyak, gas dan uranium, paling besarnya ialah rantau Asia Barat dan Asia Tengah.

Mereka memejam mata terhadap Israel yang telah mempunyai teknologi persenjataan yang diharamkan oleh masyarakat antara bangsa, seperti teknologi nuklear sejak tahun enam puluhan dengan bantuan negara barat dan zionis bekas Soviet, bahkan senjata haram itu telah digunakan secara kecilan dalam peperangan di Gaza dan Selatan Lubnan.

Dalam masa yang sama tindakan diambil terhadap mana-mana negara Arab yang memajukan teknologi sumber nuklear, walaupun bertujuan keamanan seperti sumber tenaga elektrik. Loji di Iraq dan Libya pernah dimusnahkan dengan serangan udara di atas nama keamanan dunia dan keselamatan Israel.

Umat Islam sepatutnya melakukan muhasabah terhadap sikap double standard kuasa besar barat dalam tindakan ke atas menjatuhkan regim Mu’ammar Gaddafi di Libya dengan lebih keras, dibandingkan kedinginan dan tidak konsisten tindakan ke atas regim Basyar Asad di Syria yang sama zalimnya. Tidakkah kerana kedudukan yang berbeza bagi keselamtan Israel dan kepentingan barat?

Sebelumnya barat membantu Taliban menjatuhkan Mujahidin di Afghanistan, kemudiannya menyapu Taliban habis-habisan, bagi menempatkan regim yang lebih baik kepada mereka. Adakah drama berdarah ini akan ditayangkan di Asia Barat?

Menteri Pertahanan Israel membuat kenyataan terbaru, bahawa Basyar perlu dikekalkan kerana lebih baik daripada kumpulan pengganas yang menentangnya sekarang.

Mengapa perlunya kewujudan pengkalan tentera kuasa besar barat di rantau Teluk? Adakah kerana keselamatan negara yang diwujudkan pengkalan itu, atau kerana menjaga telaga minyak dan keselamatan Israel? Umat Islam pula perlu membaca dan memahami percaturan politik antara bangsa. Mengapa sekarang dicetuskan peperangan terhadap mazhab Syiah yang telah wujud sejak lebih seribu tahun. Adakah kerana mazhab Syiahnya atau kemajuan teknologi Iran yang mencabar barat dan Israel? Maka negara serantau menjadi wakil kepada barat dan Israel untuk menyelamatkan mereka dengan mengulangi strategi pecah dan perintah.

Akhirnya ini menyebabkan peperangan secara proksi bagi menguji senjata Rusia dan China dan senjata Amerika dan Eropah dengan duit Arab dan Iran, di mana mangsanya ialah rakyat yang dibunuh dan menjadi pelarian di tanahair sendiri. Mengapa perlunya umat Islam mendengar fatwa Amerika dan sekutunya dalam masalah mazhab? Sedangkan para ulama boleh bermuzakarah dengan kitab-kitab yang telah sedia ada dan sumber ilmu Islam yang tidak mati bersama mukjizat Al-Quran.

Adakah masih tidak faham betapa Islam tidak diizinkan menang secara demokrasi yang adil di Mesir, sehingga kerajaan yang dipilih melalui pilihanraya digulingkan oleh rampasan kuasa tentera yang disokong oleh kebanyakan Negara Arab. Sedang diganggu di Sudan, Libya dan Tunisia? Fahamlah betapa negara umat Islam bekas jajahan komunis diizinkan berkiblat ke barat Amerika dan Eropah dan negara bekas tanah jajahan barat diizinkan berkiblat ke Timur Komunis.

Apabila majoriti negara Arab memilih negara Barat menjadi rakan sejawat yang dipercayai dan bersikap negatif terhadap Iran, tiba-tiba Iran pula memilih strategi mendekati Barat, bermula dengan pintu belakang dibuka sedikit di zaman Ahmadinejad dan membuka lebih luas selepas kemenangan Presiden Rouhani, berakhir dengan persefahaman negara Barat yang lebih berlunak dengan Iran demi kepentingan mereka. Maka negara Arab akan tinggal tersengeh mengekorinya. Oman memulakan langkah meninggalkan sikap bersama dengan Kesatuan Negara-negara Teluk. Terkini persidangan negara teluk mengalu-ngalukan persefahaman Iran dan Barat. Apakah mazhabnya negara Arab itu? Di mana pergi sunninya lagi?

PAS pernah dituduh Syiah apabila menyokong Iran dalam perang teluk yang pertama, ketika Saddam Husain menyerang Iran dengan senjata barat, dan PAS pula menentang campur tangan Amerika menyerang Iraq, sikap yang berbeza dengan Iran. Bukan kerana menganut ideologi Parti Ba’ath, tetapi dapat membaca permainan politik serantau.

PAS sudah mengerti betapa jahilnya masyarakat rantau ini dengan ajaran Islam, sehingga pengaruh Syi’ah telah pun mempengaruhi masyakat serantau alam Melayu secara bebal dengan menamakan harba tempatan yang dipercayai paling berkhasiat dengan panggilan Tongkat Ali dan Kacip Fatimah. PAS juga memahami betapa Revolosi Islam Syi’ah di Iran tidak sesuai bagi masyarakat Malaysia dan PAS dapat menangani ahlinya yang terpengaruh dengan perkembangan yang tidak setimpal dengan masyarakat setempat.

PAS tetap mendukung demokrasi dan bersedia menghadapi penipuannya dan ahlinya yang didapati terkeluar daripada landasannya. Sama ada terkeluar dengan sendirinya daripada PAS atau diambil tindakan setelah terbukti dengan adil tanpa menjejaskan dasar dan konsep perjuangan Islam Mazhab Ahli al Sunnah yang didukung oleh PAS secara istiqamah dan muhasabah.

PAS menjadikan politik sebahagian amal soleh dan menolak kemungkarannya. PAS meletakkan langkah politik termasuk dalam amalan berpahala dan berdosa dan tidak menjadikan politik hanya permainan untuk mendapat kuasa tanpa mengira dosa dan pahala.

Saya ulangi supaya pembaca mengambil iktibar daripada sebab nuzulnya surah al-Rom, petunjuk Allah kepada Rasulullah S.A.W. dan sahabatnya dalam menilai politik antarabangsa di zamannya.

ISLAM MEMIMPIN: PINTU PAS TERBUKA UNTUK KERJASAMA

*KENYATAAN MEDIA (8 NOVEMBER 2016)*

*ISLAM MEMIMPIN: PINTU PAS TERBUKA UNTUK KERJASAMA*

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) berpandangan bahawa kerjasama politik adalah satu pendekatan yang sangat penting dalam menjatuhkan kezaliman Kerajaan BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang. Strategi ‘satu lawan satu’ ada strategi terbaik dalam menewaskan BN yang pengaruhnya semakin melemah hari ini. Kerana itu, PAS mempunyai sikap yang sangat terbuka dalam soal ini, dan sentiasa membuka pintu rundingan bagi mewujudkan kekuatan pembangkang.

Namun begitu, sebagai sebuah parti yang berasaskan Islam dan mempunyai pengalaman yang luas dalam politik dan pilihan raya di negara ini, PAS tidak akan mengadakan kerjasama politik yang tidak menguntungkan Islam. Pengalaman PAS bertahaluf siyasi semenjak 1986, telah memperlihatkan satu hasil yang tidak menguntungkan Islam, terutama selepas 2008. PAS berpandangan bahawa tahaluf siyasi yang hendak dilakukan kali ini mestilah dipimpin oleh Islam.

PAS telah menyediakan platform kerjasama yang dipimpin oleh Islam melalui blok ketiga, Gagasan Sejahtera yang kini telah disertai oleh Ikatan dan Berjasa. Mana-mana parti politik yang mahu bekerjasama dengan PAS dalam pilihan raya akan datang, pintu kerjasama sentiasa terbuka dengan syarat mereka menerima kerjasama ini dipimpin oleh Islam. Tawaran kerjasama ini juga terbuka kepada parti-parti bukan Islam yang bersedia dipimpin oleh Islam.

Bekas Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengingatkan bahawa jika Umno menerima Islam, kita bersedia membubarkan PAS. Inilah prinsip kerjasama yang dipimpin oleh Islam yang menjadikan penerimaan terhadap Islam sebagai syarat kerjasama. Pihak yang menentang Islam atau mengkhianati Islam tidak layak bekerjasama dengan PAS, kecuali mereka berubah sikap untuk menerima Islam sebagai pemimpin dalam kerjasama ini.

*HAJI HASHIM JASIN*
Mursyidul Am PAS

PILIHAN RAYA PRESIDEN AS: KEBANGKITAN ISLAM SEBAGAI KUASA BARU DUNIA

*PILIHAN RAYA PRESIDEN AS: KEBANGKITAN ISLAM SEBAGAI KUASA BARU DUNIA*

Mohd Fadli Ghani,
Akademi Al-Ghazali

 ESOK akan berlangsung Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk memilih Presiden AS yang ke-45. Pertembungan adalah antara Donald Trump dari Republican dengan Hilary Clinton dari Democrat. Siapa pun yang terpilih, pasti dunia akan menjangkakan AS tetap dengan dasar yang sama sebagai ‘polis dunia.’  

Sejak kebangkitan AS kerana kejayaan mereka melumpuhkan Jepun melalui serangan bom atom di Nagasaki dan Hiroshima pada 1945, dunia telah terpecah kepada dua blok politik dan ekonomi – Blok Barat (dikepali AS) dan Blok Timur (dikepali Soviet Union – KRSS). Sehingga kejatuhan KRSS pada 1991, dunia diwarnai perang dingin kedua-dua blok ini.

Namun, sejak kejatuhan KRSS, politik unipolar AS telah tercabar oleh kebangkitan semula Islam. Teori The Clash of Civilization yang dikemukakan oleh Samuel Huntington dengan jelas memperlihat peranan Islam sebagai ‘musuh baru’ AS. Kerana itu, sejak 1990-an, Barat mempromosikan pemikiran ‘Pluralism,’ ‘Islam liberal’ dan ‘Post Islamism’ bagi menangani kebangkitan gerakan Islam secara ‘lembut.

Di sebalik gugatan ekonomi China ke atas AS yang semakin ‘menjadi-jadi’ sekarang ini, AS sebenarnya lebih bimbang terhadap gugatan politik gerakan Islam yang menjalar dari Timur hingga ke Barat. Nah! Lihat sahaja bagaimana gerakan Islam mula mendapat kuasa sejak kejayaan kudeta Omar Bashir di bawah pengaruh Front Islamis Nasional (NIF) pimpinan Hassan Turabi di Sudan pada 1989, PAS  pula memerintah Kelantan pada 1990, FIS menang di Algeria (1991), hingga Refah menguasai Turki (1994). Kemuncaknya, kejayaan Morsi di Mesir pada dekad ini.

AS telah sedar bahawa demokrasi yang mereka jajakan di seluruh dunia untuk meluaskan penjajahan bentuk baru (neo-imperialism) telah ‘membaham’ mereka sendiri. Gerakan Islam mendapat tempat dalam persaingan di pentas demokrasi. Tuduhan bahawa Islam hanya tahu bangkit melalui hujung pedang telah terhenti!

Hari ini, AS sama ada melalui pluralism projectnya atau pembentukan muslim democrat melihat golongan Islamis yang mahu mendirikan Negara Islam yang melaksanakan syariat sebagai ancaman yang baru. Mereka menyusun kumpulan Islam dalam dua bentuk:

I. Yang menolak demokrasi secara total seperti Hizbul Tahrir atau kumpulan yang memilih jalan keganasan seperti ISIS

II. Yang menganut demokrasi tegar sehingga menolak syariat. Kelompok Islam Liberal, Democrat Islamis, Post Islamism dan yang sebangsa dengannya menjadi Maqasid Syariah sebagai senjata untuk menolak Islam.

Campur tangan AS dalam pergolakan politik di negara umat Islam tidak menjadi rahsia lagi. Bukan hanya Iraq dan Afghanistan yang menjadi ‘budak’ AS, tetapi AS telahpun terlibat dalam konflik di Syria, mencatur politik Mesir, Yaman dan Turki. Yang terbaru, siri-siri demonstrasi di Jakarta, Mesir dan Maghribi juga tidak terlepas dari permainan politik AS. Melaga-lagakan Sunni dan Syiah di Syria serta Perang Arab Saudi-Yaman adalah lanjutan daripada polemik salaf-khalaf yang mereka binakan.

Apapun pendekatan yang dilakukan oleh AS, pemilihan Presiden AS kali ini bukannya untuk mengekalkan kekuasaan politik dan ekonomi mereka ke atas dunia ini, tetapi akan menjadi titik mula kejatuhan mereka sebagai kuasa besar dunia. Lihatlah! Sama ada  Trump yang bakal menjadi orang paling tua diangkat sebagai Presiden AS atau Hilary sebagai perempuan pertama diangkat Presiden AS. Kedua-duanya adalah sebab kejatuhan AS!

Dalam teori pusingan Ibnu Khaldun, beliau merumuskan bahawa sesuatu kuasa atau kerajaan hanya dapat bertahan di kemuncaknya selama 70 tahun sahaja. Setelah itu akan berlaku kejatuhan dan keruntuhan. Sosialis yang bangkit melalui Revolusi Bolshevik membentuk Soviet Union pada 1917, akhirnya tumbang setelah kalah Perang Afghanistan pada 1988. Sekular yang menjatuh kekhalifahan Islam di Turki pada 1924 juga akhirnya tumbang di tangan Parti Refah pada 1994. 70 tahun adalah usia keruntuhan bagi kuasa-kuasa politik dunia.

AS bangkit menguasai dunia dari tangan British di akhir Perang Dunia Kedua pada 1945. Pada 2015 yang lalu, sudah genap usia 70 tahun kekuasaan AS dalam suasana mereka tercabar oleh kebangkitan kuasa politik Islam dan kuasa ekonomi China. Jika perempuan yang terpilih sebagai Presiden AS yang baru, Sabda Nabi SAW yang bermaksud “Tidak akan berjaya kaum yang menyerahkan urusan pemerintahan kepada wanita” akan menjadi kenyataan.

Bukannya kekuasaan AS sahaja yang genap 70 tahun dan menunggu saat kejatuhannya. Di Malaysia, Umno yang ditubuhkan pada 1946, telah genap usia 70 tahunnya pada tahun ini. Pemerintahan Umno (Perikatan-BN) yang bermula 1955 akan mencukupkan usia 70 tahunnya kurang satu dekad dari sekarang. Ertinya masa depan perjuangan kebangsaan sempit Umno juga akan berakhir selepas siri-siri perpecahan, krisis kepemimpinan dan juga penyelewengan besar-besaran mereka sekarang ini.

Jika perubahan politik dunia akan berlaku dengan genapnya usia pengaruh AS sebagai kuasa besar dunia, maka siapakah yang akan menggantikan AS sebagai pemimpin dunia? Dari seluruh tindakan yang AS lakukan pasca kejatuhan KRSS, membuktikan AS sendiri optimis bahawa penggantinya adalah Islam!

MUNAJAT UNTUK SAUDARA KITA DI MYANMAR

*BERDOALAH SEKEJAP UNTUK SAUDARA KALIAN DI MYANMAR YANG DISEMBELIH HINGGA SAAT INI*

Saudara se-Islam di Arakan Myanmar diperlaku seperti haiwan, dibunuh, disembelih, dibakar, dipotong anggota badan dan pelbagai macam kezaliman.

Jika kalian punyai iman, hati dan perasaan, luangkanlah masa berdoa menadah tangan, memohon agar saudara kalian diberi pertolongan Al-Rahman.

*اللهم إنا نستغيث بك اليوم فأغثنا ونستنصرك اليوم فانصرنا وندعوك فاستجب لنا برحمتك نستغيث*

_Ya Allah, kami sangat memerlukan bantuan-Mu pada hari ini, maka berilah bantuan kepada kami, kami memohon pertolongan dengan-Mu pada hari ini maka tolonglah kami, kami memanjatkan doa kehadrat-Mu, maka mustajablah permohonan kami, dengan rahmat-Mu kami memohon bantuan_

*اللهم عليك بمن قاتل إخواننا المسلمين المستضعفين في ميانمار اللهم عليك بمن كان معهم ومن أيدهم ومن تآمر علی إخواننا معهم*

_Ya Allah, hapuskanlah puak-puak yang membunuh saudara se-Islam kami di Myanmar, hapuskanlah sekutu mereka, orang yang menolong mereka dan yang berpakat dengan mereka untuk bunuh saudara kami_

*اللهم أرنا فيهم قدرتك و عطل أسلحتهم وأضعف قوتهم و سلط عليهم سيف انتقامك وأليم عذابك و دمر قوتهم واحم المسلمين من أعداء الدين*

_Ya Allah, tunjukkanlah keagongan kuasa-Mu ke atas mereka, bantutkan semua senjata mereka, lemahkan kekuatan mereka, hunuskanlah pedang kemurkaan-Mu dan azab pedih ke atas mereka, hancurkan kekuatan mereka dan peliharalah umat Islam daripada musuh-musuh agama_

*اللهم إن إخواننا الشهداء قد مضوا إلى حالهم وسبقونا بأعمالهم الصالحة ، فاجعل مأواهم في أعلى عليين و أبدلهم بمصابهم يوم القيامة أجرا عظيما برحمتك يا أرحم الراحمين*

_Ya Allah, saudara-saudara kami yang syahid telah meninggalkan kami dan mendahului kami dengan amalan-amalan soleh mereka, maka tempatkanlah mereka di setinggi-tinggi illiyyin dan berilah gantian ke atas musibah yang menimpa mereka dengan sebesar-besar ganjaran di akhirat kelak dengan rahmat-Mu wahai Tuhan Yang Maha Mengasihi_

*#DoaSenjataMukmin*
*#WajibDoaUntukMusliminArakan*

_~Asri Ed-Diwanie_

ISU PENDEDAHAN FARAH ADEEBA

FARAH ADEEBA TV AL-HIJRAH TERKEJUT. PERJUANGAN DEMOKRASI, HAK ASASI DAN KEBEBASAN DI MALAYSIA SEBENARNYA SUDAH LAMA MENDAPAT TAJAAN.

Baru-baru ini kita menerima sebaran Whataspp dari Farah yg terkejut dengan agenda US yang inginkan sebuah negara yang mempunyai elemen kebebasan antara agama dan memisahkan agama dari politik / kerajaan. Dalam temubual berkenaan, TV al-Hijrah terpaksa merombak soalan, walau bagaimanapun Rabai berkenaan, menurut Farah masih terus mengalihkan perbincangan kepada aspek demokrasi, kebebasan dan hak asasi.

Sebenarnya, perancangan Yahudi untuk membawa kebebasan agama di Malaysia atas nama demokrasi tidaklah mengejutkan sangat kerana ia telah pun berjalan secara terbuka dan boleh disearch di dalam Google. Mungkin Farah baru sahaja bertemu secara bersemuka.

Salah satu organisasi yang terpenting di Malaysia ialah National Endowment for Democracy (NED) yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang bernaung di bawah Kongres US, Department of State. Ia mendapat tajaan dari syarikat gergasi dunia seperti Google, Microsoft, Coca Cola dan lain2 bagi membawa misi kebebasan, demokrasi dan hak asasi ke seluruh dunia menggunakan model US yang berteraskan sekularisme, rasionalisme, pluralisme dll. Dengan dana yang begitu besar, mereka membiayai lebih dari 1000 projek setiap tahun di berbagai negara di seluruh dunia kepada mana-mana pihak yang ingin membawa misi dan mencapai objektif mereka.

Di Malaysia, NED telah bergerak memberikan sumbangan sekitar hampir 1 juta USD setahun sejak dari 2005 hingga kini seperti yang dapat dilihat dalam rajah di bawah. Dengan jumlah yang begitu besar, mereka bergerak di Malaysia sebagai NGO dan organisasi yang bertindak sebagai kumpulan pendesak kepada kerajaan dan juga memberikan pendidikan kepada rakyat agar lebih demokrasi, meraikan hak asasi dan kebebasan bersuara. Apa yang menjadi masalahnya ialah sebahagian dari desakan dan usaha mereka itu bertentangan dengan nilai tradisional melayu dan nilai masyarakat ketimuran, yang peling penting sekali ialah bercanggah dengan syariat Islam. Namun mereka menganggapnya sebagai universal.

1- Islamic Renaissance Front (IRF) - mendapat USD 50-75k setahun sejak 2014 dan ia cuba membawa wacana Islam baru yang berteraskan kepada demokrasi dan kebebasan. Mereka menulis buku seperti Wacana Pemikiran Reformis dan ada juga memanggil tokoh yang dikaitkan dengan pemikiran Liberal seperti Ulil Absar dari Indonesia dan Mustafa Akyol dari Turki untuk memberikan syarahan. Mereka tidak menggalakkan pelaksanaan hukum hudud. Mereka menggalakkan wacana yang mempunyai elemen demokrasi dan kebebasan.

2- Lawyers of Liberty - mendapat USD40k setahun sejak 2011, merupakan sebuah organisasi yang memperjuangkan hak asasi dan mempertahankannya menerusi saluran undang2 dari perkara yang mencabul perlembagaan dan undang2 atau apa2 perkara yang dianggap tidak rasional dari perspektif mereka. Organisasi ini mengumpulkan para peguam bergerak memperjuangkan ketidak adilan kepada mana-mana pihak.

3- Malaysia kini dan TV Kini. Merupakan portal berita yang menyediakan maklumat yang bebas dan pelbagai dari perspektif demokrasi, hak asasi dan kebebasan. MalaysiaKini mendapat USD100k setiap tahun selama 4 tahun berturut2 dan TVkini pula mendapat USD 35k setiap tahun sejak 2014.

4- Merdeka Center - yang mendapat sekitar USD 60-70k setahun sejak 2011 merupakan pusat kajian yang menjalakan kajian dan survey umum terhadap isu-isu yang berlaku di dalam negara.

5- International Republican Institut (IRI)- mendapat dana yang sangat besar antara USD350k hingga USD400k dan pernah mendapat USD800k.

Dengan dana yang banyak dari NED sehingga RM2-3 juta setahun dan pernah mencecah RM4juta, mereka mempunyai gerakan yang tersusun. Oleh sebab itu, projek, program  dan usaha yang berkait dengan hak asasi, demokrasi dan kebebasan, termasuk kebebasan agama merupakan usaha yang sering nampak di alam maya kerana mendapat biaya antaranya dari NED. Mungkin ada di sana banyak lagi maklumat dan aktiviti yang tidak didedahkan telah pun dilakukan bagi mengukuhkan perjuangan hak asasi, kebebasan dan demokrasi di Malaysia.

P/s: Kena selebriti bercakap dahulu, baru rakyat sedar. Hmm..


Dr. Muhamad Faisal

http://myfaisalonline.blogspot.my/2016/11/farah-adeeba-tv-al-hijrah-terkejut-apa.html

SIla buka page ini untuk lihat gambarajah tajaan yang diberikan oleh NED. https://www.facebook.com/drfaisal7/posts/1302328493119936

SIla buka link NED di sini: http://www.ned.org/

Selasa, 8 November 2016

LARANGAN CETAK GAMBAR TOKOH PADA BAJU

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
*LARANGAN CETAK GAMBAR TOKOH PADA BAJU*

Sabda Rasulullah SAW:

لا تقوم الساعة حتى تلحق قبائل من أمتي بالمشركين، وحتى يعبدوا الأوثان، وإنه سيكون في أمتي ثلاثون كذابون كلهم يزعم أنه نبي، وأنا خاتم النبيين، لا نبي بعدي

Tidak akan berlaku hari kiamat sehinggalah terjadi
1. sebahagian kabilah dari umatku (Islam) yang bergabung dengan musyrikin;
2. sebahagian yang menyembah berhala;
3. Akan muncul 30 pendusta yang mengaku sebagai Nabi, sedangkaj akulah penutup kenabian. Tiada lagi Nabi selepasku.
[HR Abu Daud dan Tirmizi]

Apa yang disebutkan oleh baginda SAW benar-benar telah berlaku satu persatu. Ada pihak yang sanggup menjual agama, bergabung dengan bukan Islam untuk menghancurkan Islam. Contohnya seperti Mirza Ghulam Ahmad daripada India, pengasas ajaran sesat Qadiani yang mengaku menjadi Nabi. Beliau telah dibantu oleh penjajah British untuk menyebarkan fahamannya ke tanah air umat Islam termasuk tanah arab, negara kita dan rantau ini.

Diantara fitnah yang diberi amaran juga ialah hilangnya kepercayaan orang Islam terhadap kekuatan ajaran Islam sehingga mereka tidaklah melakukan dakwah yang berani kepada penyembah berhala sebaliknya bergabung dengan mereka pula untuk mendapatkan kuasa dan mengekalkan kuasa pemerintah walaupun menjual akidah.

Dan kita melihat adanya orang Islam yang menyembah patung-patung yang dinamakan berhala. Apa yang diberi amaran oleh Nabi itu berlaku di zaman kita. Walaupun di sana ada orang Islam yang kata dia bukan sembah, hanya sebagai tugu memperingati pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu, hakikatnya ia tetap dikira sebagai pemujaan terhadap patung yang diharamkan.

Upacara meletakkan bunga, kemudian diam sekejap (bertafakkur) di hadapan patung itu. Fikir apa masa tengah diam tu pun kita tahu. Tiru sahaja apa yang orang putih buat. Tidak kiralah pemimpin atau rakyat sekalipun, perbuatan ini ditegah dalam agama Islam. Para mufti sendiri sudah memfatwakan perbuatan tersebut adalah haram.

Begitu juga, ulama menegah perbuatan menggantung gambar-gambar tokoh kerana ia boleh membawa kesyirikan. Awal-awal dibuat hanya sebagai peringatan, tetapi lama-kelamaan setelah tiba generasi yang jahil, gambar itu akan dipuja pula. Maka Sadd Zariah (menutup lubang kerosakan), ianya tidak dibenarkan. Ramai ulama mengharamkan

Samalah hari ini, jenis cetak gambar pada baju pula. Letak gambar tokoh-tokoh yang kita sayang pada t-shirt dan sebagai. Ini juga tidak baik di sisi Islam. Ada ulama yang mengharamkannya.

Ini saya tegurlah di sini. Mungkin tak ada lagi yang menegur. Kita sepatutnya kalau sayang pada tokoh tertentu, berdoa sajalah supaya tuhan merahmati mereka. Bukan buat patung buat gambar dan sebagainya.

Jadi mereka yang dah mati tu elok buang sajalah gambar mereka. Berdoalah minta Allah beri rahmatnya pada mereka. Wallahualam.

Masjid Rusila
21 Oktober 2016
20 Muharram 1438

(Alang Ibn Shukrimun)

Telegram:
http://tinyurl.com/AlangIbnShukrimun
Facebook:
https://m.facebook.com/alangshukrimun/

ISU SALAF-KHALAF UMPAMA AIR DALAM BOTOL

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
ISU SALAF-KHALAF UMPAMA AIR DALAM BOTOL

Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. [Al-Baqarah:29]

Lafaz istawa ila sama' (menuju ke langit) menjadi khilaf dikalangan Ulama antara salaf dan khalaf. Ulama salaf adalah mereka yang hidup zaman Nabi, sahabat dan tabiin sehingga akhir kurun ke 3 hijrah. Zaman tersebut orang belum banyak berfikir. Zaman orang Islam belum terpengaruh dengan pemikiran luar. Jadi mereka hanya menerima zahir ayat. Kalau tuhan menuju ke langit, maknanya memang Dia tuju ke langit. Namun mereka tidak samakan tuhan dengan makhluk kerana Firman Allah SWT:
ليس كمثله شيء
Tiada yang sepertiNya sesuatupun
[As-Shura:11]

Ulama-ulama khalaf pula mentakwil ayat tersebut dengan erti kekuasaan Allah. Maknanya kuasaNya menuju ke langit untuk mencipta. Timbul pentakwilan sebegini kerana berada di zaman ilmu falsafah, orang banyak menggunakan akal sehingga sesat. Oleh itu ulama menggunakan ilmu falsafah untuk menerangkan hakikat sifat tuhan. Masanya ialah selepas kurun ketiga, selepas munculnya ulama seperti Asyairah, Maturidy dan lain-lain.

Malangnya hari ini masing-masing berbalah. Tuduh menuduh kamu salafi, kamu wahabi, Ibn Taimiah, Asyairah dan Maturidi dan macam-macam. Puncanya kerana tidak membaca akan sejarah ini.

Dulu sesama mazhab fiqh boleh berbeza akidahnya walaupun fiqhnya sama. Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal semuanya mengikut manhaj salaf kerana berada di zaman salaf. Mereka tak mentakwil ayat-ayat ini semua. Belum ada lagi sifat-sifat 20 dan sebagainya. Namun ulama mutaakhirin seperti Imam Ghazali, Imam Haramain, al-Juwaini yang datang kemudian pula bermazhab Asyairah dan Maturidi walaupun bermazhab Syafie. Mereka tak berbalah antara satu sama lain.

Yang jadi ribut hari ini umpama orang mengaji bab gajahlah. Mengaji gajah bahagian kaki saja. Terus kata gajah macam batang pokok. Yang mengaji gajah bahagian telinga, kata gajah macam kipas. Bila berbeza terus berbalah.

Ulama-ulama dulu tak berbalah sebab belajar secara menyeluruh. Belajar akidah dengan sejarahnya, belajar syariah dengan tarikh tasyriknya, tafsir dengan asbab nuzulnya.

Ulama sekarang pula jadi berbalah sebab belajar tak habis. Bila belajar tak habis, ilmunya sedikit. Bila sedikit ilmu, dia jadi macam botol yang ada air sedikit. Bila dikocak memang kuat bunyinya. Kalau dalam tin lagi kuat. Padahal tak ada apa pun.

Masjid Rusila
27 Muharram 1437
28 Ogos 2016

_(Alang Ibn Shukrimun)_

Telegram:
http://tinyurl.com/AlangIbnShukrimun
Facebook:
https://m.facebook.com/alangshukrimun/

ULAMA YANG MEMBAWA IDEOLOGI PENJAJAH


PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
ULAMA YANG MEMBAWA IDEOLOGI PENJAJAH

Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di bumi". [Al-Baqarah:30]

Islam adalah agama yang merangkumi segala aspek kehidupan termasuk pemerintahan. Di dalam ayat di atas menunjukkan bahawa tugas manusia bukan sahaja dalam bab ibadat tetapi juga dalam bab pemerintahan.

Kefahaman bahawa urusan politik tidak ada kena mengena dengan agama bukan dari ajaran Islam. Ia datang dari Kristian. Ia dibawa oleh penjajah ke setiap tanah jajahannya. Penjajah menetapkan urusan agama setakat bab nikah cerai, bahagi pusaka, jagaan anak, tengok anak bulan, urus masjid sahaja. Urusan jaga keamanan, ekonomi, politik, undang-undang serahkan sahaja kepada penjajah.

Selepas kejatuhan Uthmaniyah, era 20an muncul seorang Ulama al-Azhar bernama Ali Abdul Raziq, menulis sebuah buku bertajuk Islam wa usul Hukm (Islam dan dasar pemerintahan). Buku tersebut telah membawa ideologi sekular penjajah dengan menyatakan urusan pemerintahan tidak ada kena mengena dengan Islam. Apa yang dibuat oleh Nabi tidak bersangkut paut dengan Madinah.

Majlis Ulama Azhar yang dipimpin Syeikh al-Khadr Khusain pada waktu itu telah memanggil Ali Abdul Raziq dalam sebuah pertemuan. Ketika dia hadir memberi salam, tidak ada seorangpun yang menjawabnya. Lalu beliau dibicarakan, dipersoalkan berkait tulisan beliau itu. Selepas banyak soalan yang tidak dapat dijawab, akhirnya Ali Abdul Raziq dilucutkan jawatannya serta ijazah ditarik balik.

Muncul pula selepas itu seorang ulama yang menulis menyokong tulisan Ali Abdul Raziq bernama Khalid Muhammad Khalid. Beliau menulis sebuah buku bertajuk Min Huna Nabda (Dari Sini Kita Bermula) menyatakan unsur sekularisme di dalam Islam. Tulisan beliau telah disanggah oleh Syeikh Muhammad Al-Ghazali dengan sebuah buku bertajuk Min Huna Na'lam (Dari Sini Kita Mengetahui).

Di akhir umurnya, Khalid Muhammad insaf dan bertaubat lalu menarik balik tulisannya. Beliau lalu menulis sebuah lagi buku bertajuk Rijal Haulu Rasul (Lelaki-lelaki Sekeliling Rasul) sebagai menebus kesalahannya yang lalu.

Namun pemikiran mereka tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Penjajah menyebarkan buku-bukunya, menterjemah dalam pelbagai bahasa (termasuk bahasa melayu) sehingga mempengaruhi pemikiran orang Islam.

Masjid Rusila
4 Safar 1438
4 November 2016

(Alang Ibn Shukrimun)

Telegram:
http://tinyurl.com/AlangIbnShukrimun
Facebook:
https://m.facebook.com/alangshukrimun/