Rabu, 20 April 2011

Pemilihan: Jangan terikut paluan gendang lawan Ingatlah Sejarah Penubuhan PAS.


Para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS diingatkan agar tidak terpengaruh dengan gendang yang dipukul oleh pihak lawan, berhubung soal pemilihan sebarang jawatan dalam parti, yang memainkan sentimen kepuakan antara golongan ulama dan profesional.

Gendang tersebut dibunyikan untuk tujuan memecahbelahkan perpaduan antara para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS yang seharusnya disambut dengan bijak, dengan tidak terpengaruh dengan rentak yang dipalu oleh mereka.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika mengingatkan perkara itu menegaskan, sebaliknya realiti sebenar di dalam PAS tidak timbul antara golongan ulama dan profesional kerana kesemua pemimpinnya berjuang atas landasan parti yang kukuh untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air.

Menurut beliau, walaupun di dalam PAS sememangnya terdapat kalangan profesional, mereka juga tetap berkemampuan dan berkelayakan menjadi pemimpin dalam parti seperti juga pemimpin-pemimpin lain yang berjuang atas dasar Islam, sekali gus pasti tidak akan lari dari matlamat perjuangan PAS itu sendiri.

Katanya, itulah realiti yang perlu disedari oleh setiap pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS yang turut mendasari perpaduan dalam parti, sehingga menyebabkan pihak lawan berusaha keras memalu gendang tersebut dengan begitu kencang terutama menjelang muktamar agung PAS Jun ini.

"Gendang seperti itu juga turut dipalu oleh mereka menjelang muktamar-muktamar agung PAS yang lalu. Jadi, kita mesti bijak menangani perkara itu.

"Jangan pula perpaduan yang sudah sebegitu kukuh yang terdapat dalam parti dipecahkan sendiri oleh kita hanya kerana terpengaruh dengan rentak yang dimainkan oleh mereka terutama menerusi media utama mereka," katanya ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, tegas beliau, PAS sememangnya mengalu-alukan pertandingan bagi sebarang jawatan dalam parti kerana ia bukan sekadar membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin dan terhadap ahli-ahlinya, tetapi akan lebih memantapkan lagi parti berhubung kepimpinannya.

Alu-aluan itu bukan hanya tertakluk bagi jawatan parti di peringkat kepimpinan paling kecil di cawangan dan bahagian, tetapi meliputi kesemua jawatan termasuk peringkat tertinggi yang melibatkan jawatan Presiden, Timbalan dan Naib.

"Bagi jawatan Presiden sendiri, jika ada pencalonan yang diterima oleh pemimpin lain untuk menentang saya, saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya pun bukan untuk menjadi pemimpin selamanya. Sebaliknya, saya sendiri pun dah semakin berumur dan memang memerlukan barisan pelapis," tegas beliau.

Jadi jika ada pencalonan terhadap seseorang pemimpin PAS untuk memegang sebarang jawatan dalam parti yang melibatkan pelbagai latar belakang dan pendidikan, katanya, ia sepatutnya disambut oleh para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS dengan semangat perpaduan yang tinggi kerana di dalamnya pasti terkandung hikmah amat besar bagi PAS.

Sebelum itu, ketika diminta mengulas mengenai pencapaian PAS dalam PRN Sarawak Ke-10 yang berlangsung 16 April lalu, beliau menegaskan, pencapaian tersebut tidak boleh diukur dari segi demokrasi kerana PRN Sarawak Ke-10 itu bukan berlangsung dalam suasana demokrasi sebenar yang diamalkan di negara ini.

"Kalau PRN Sarawak Ke-10 itu berlangsung dalam suasana demokrasi seperti di negara-negara luar, PAS pasti akan menang kerana ia tidak akan menyekat rakyat untuk membuat pemilihan seperti yang dikehendaki oleh mereka dengan berbagai sekatan oleh para pemimpin BN," tegasnya.

Namun, realiti yang berlaku di Sarawak jelas menyekat PAS dari menyampaikan maklumat kepada rakyat oleh pihak BN dengan berbagai cara terutama menerusi media, sehingga rakyat hanya disogokkan dengan pelbagai propaganda dari BN menerusi media cetak dan elektorik seperti tv dan radio yang masuk ke rumah-rumah setiap penduduk di serata tempat.

Manakala di pihak PAS dan Pakatan Rakyat, peluang itu disekat dengan ketat, tidak seperti di negara-negara luar yang turut memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin pembangkang muncul di media cetak utama, radio dan tv.

"Ini menjadikan PAS gagal menyampaikan maklumat sebenar termasuk menjelaskan dasar-dasar parti kepada orang ramai, sehingga menyebabkan rakyat Sarawak berjaya dipengaruhi oleh BN untuk terus mengundi mereka, walaupun BN ternyata sudah ditolak begitu jauh oleh mereka yang berpendidikan dan terdedah dengan maklumat yang benar seperti di bandar-bandar," katanya.

Keadaan itu, katanya, disusuli pula dengan pelbagai tindakan tidak demokratik lain oleh pihak BN terhadap rakyat Sarawak termasuk menerusi penggunaan jentera kerajaan dengan begitu berleluasa, politik wang, politik ugut dan sebagainya yang jelas melambangkan demokrasi di negara ini masih belum maju.

Sungguhpun begitu, peningkatan sokongan dari rakyat Sarawak terhadap PAS secara keseluruhannya menerusi PRN Sarawak Ke-10 itu, tegas beliau, jelas membuktikan rakyat Sarawak juga tidak selama-lamanya boleh terus diperbodohkan oleh pihak BN yang sekali gus turut membawa petanda PAS mempunyai harapan yang cerah di negeri itu pada masa akan datang.

"Perkembangan yang baik ini perlulah dimanfaatkan dengan baik oleh setiap jentera PAS di semua peringkat dengan terus berusaha gigih menyampaikan risalah perjuangan parti kepada seluruh rakyat Sarawak dan Sabah dari semasa ke semasa, seperti juga yang perlu terus dilakukan di Semenanjung," ujar beliau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan