Khamis, 26 Mei 2011

Kenyataan Media - PAS : Benteng Ombak Penyelamat Ummah

 
 
Pagi ini, saya sempat membelek beberapa akhbar yang menyiarkan laporan muka depan berkenaan pertandingan jawatan-jawatan utama di dalam Muktamar Agung PAS pada minggu hadapan. Calon-calon yang sudah mengesahkan menyertai pertandingan dan tidak kurang juga yang menarik diri dilaporkan secara meluas bahkan mendapat tempat di muka hadapan akhbar. Saya melihat laporan media massa yang meluas ini sebagai satu perkembangan yang menarik.

Bagi saya, ini menunjukkan PAS telah menjadi perhatian ramai. Mustahil jika PAS merupakan parti kecil yang bertaraf kampung dilaporkan secara besar-besaran melalui akhbar harian. Tentulah banyak mata yang sedang memerhati gerak langkah PAS pada hari ini. Samada mata memandang menanti pincangnya langkah atau cantiknya bunga silat, wallahua’lam. Apa yang penting, PAS bukan lagi menjadi parti yang tersisih dari arus politik perdana. Hal-hal dalaman ‘rumahtangga’ PAS pun dijadikan gosip panas sedangkan apa yang pasti siapa saja yang membarisi kepimpinan PAS, pasti semuanya akan tetap melawan UMNO / Barisan Nasional.

Hari ini, istilah ‘ulama’ dan ‘profesional’ dihidupkan kembali oleh akhbar dan media eletronik milik UMNO. Kononnya kedua-dua ini adalah inti yang berlawanan antara satu sama lain. Sedangkan hakikatnya tidak pernah wujud jurang antara ulama atau professional di dalam PAS kecuali jurang yang diada-adakan oleh UMNO/Barisan Nasional. Jikapun ada, kedua-duanya tidak lebih melainkan hanyalah caj positif dan caj negatif yang apabila bergabung menjadi arus eletrik yang cukup kuat untuk memberikan renjatan kepada UMNO/Barisan Nasional.

Tidak ada apa yang pelik jika kepimpinan PAS dilatari oleh individu yang datang dari pelbagai bidang pendidikan dan kemahiran. Di zaman Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda mempunyai latar belakang yang pelbagai. Ada pakar strategi seperti Khalid bin al-Walid, ada penyair seperti Hassan bin Thabit, ada ahli korporat seperti Abdul Rahman bin Auf dan tidak kurang juga ahli ilmu seperti Abdullah bin Abbas dan Abddullah bin Umar radhiallahu anhum. Bahkan jika diteliti sejarah para sahabat Rasulullah SAW yang menjadi khulafa selepas baginda, semuanya datang dari latar belakang yang berbeza. Abu Bakar RA seorang sahabat yang terkenal dengan kehalusan hatinya, mudah menangis dan menitiskan air mata kerana Allah SWT, berbeza dengan Umar al-Khattab yang agak kental jiwanya, sesuai berdepan dengan kerajaan Rom dan Parsi di zamannya. Umar juga seorang tokoh pentadbir yang bijak menyesuaikan dasar dengan situasi semasa, lalu lahirlah pada hari ini perbincangan tentang Fiqhu Umar. Ia merupakan satu mata pelajaran yang saya sempat pelajari sewaktu berada di al-Azhar dahulu.

Oleh yang demikian, tidak ada yang pelik jika di dalam PAS, kepimpinannya dari pelbagai latar belakang. Profesional di dalam PAS itulah golongan ulama, dan ulama di dalam PAS itulah professional. Semuanya menjadi batu bata membentuk benteng kukuh berdepan dengan ombak sekular. Hari ini, gelombang sekular sedang ganas membadai. Jika dulu, ada gelombang berwarwa biru, hari ini pula ia berwarna merah.

Alhamdulillah, di Kelantan saya berharap agar benteng ini terus kukuh mempertahankan kerajaan negeri yang ditegakkan di atas dasar Membangun Bersama Islam. Kita asuh generasi yang ada agar terus kekal dengan perjuangan Islam. Malangnya, usaha kita dituduh meracun pemikiran anak-anak. Hakikatnya, anak-anak muda inilah yang perlu dibentuk dengan pemikiran Islam ketika masih di bangku sekolah. Jika kita boleh mengajar mereka tentang kesedaran alam sekitar, menjaga kesihatan bahkan pendidikan seks pun dicadangkan diajar untuk pelajar sekolah, apa jijiknya jika pemikiran politik cara Islam diajar agar mereka dapat membezakan intan dan kaca? Hairan saya, apabila akhbar-akhbar utama yang saban hari menyiarkan maklumat lucah di muka hadapan dan menayangkan cerita-cerita yang menjijikkan dibenarkan pula memasuki sekolah, bebas sahaja bertebaran di atas meja pusat-pusat sumber sekolah, sebaliknya apabila kita menjemput anak muda membaca al-Quran, kita dituduh meracun? Sungguh rabun mata hati mereka!

Harapan saya, muktamar yang akan diadakan pada minggu hadapan ini akan membuahkan hasil yang terbaik untuk perjuangan Islam. Kepada para perwakilan, pilihlah pemimpin yang bertaqwa kepada Allah SWT. Ikhlaskanlah hati, dan letakkanlah pertimbangan semasa memilih di atas neraca iman kepada Allah SWT. Insya-allah, saya yakin pilihan para perwakilan nanti adalah yang terbaik untuk meneruskan perjuangan PAS di persada politik tanah air.

Sekian, wassalam.

TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS
Bertarikh : 25 Mei 2011 / 21 Jamadil Akhir 1432

Tiada ulasan:

Catat Ulasan