Jumaat, 8 Julai 2011

Apabila Najib buat pusingan U

Apabila Najib buat pusingan- U dan pengikutnya tidak sempat brek...
 
Ia seolah-olah kembali ke titik asal. "Ketegangan yang diredakan" berikutan Titah Khas DYMM Yang di-Pertuan Agong kini ditegangkan semula. Tidak cukup dengan ketegasan bahawa BERSIH 2.0 tetap HARAM, Kementerian Dalam Negeri dan polis yang menurut perintahnya terus mengambil langkah drastik untuk menghalang perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011.

Terbaru, polis telah mendapatkan perintah larangan daripada majistret untuk menghalang 91 pemimpin daripada BERSIH 2.0 (66 orang), PERKASA (14 orang) dan Pemuda UMNO (11 orang) untuk hadir di beberapa kawasan komersial dalam wilayah Kuala Lumpur, yang dipercayai tempat perhimpunan pada 9 Julai 2011.

Malah, Ketua Polis Negara (KPN) Ismail Omar membidas Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan kerana "degil" untuk menolak tawarannya agar perhimpunan BERSIH 2.0 diadakan dalam stadium di luar Kuala Lumpur. Kenyataan ini dibuat selepas pertemuan antara KPN dengan wakil-wakil BERSIH 2.0, petang tadi.

Jalan buntu di STADIUM

Setakat ini, rundingan antara BERSIH 2.0 dengan pihak berkuasa menemui jalan buntunya di "STADIUM". Menurut sumber dalaman dari pihak BERSIH 2.0, mereka "merasai" isyarat daripada pihak polis, bahawa permit akan diluluskan seandainya permohonan dibuat. Tapi, agak mustahil untuk BERSIH 2.0 berganjak langkah lagi dari Stadium Merdeka.

Sungguhpun ditawarkan stadium di Shah Alam, namun agak sukar untuk BERSIH 2.0 menyampaikan mesej kepada penyokongnya dalam masa yang suntuk sebegini - lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana BERSIH 2.0 tidak banyak memiliki pilihan dalam penggunaan saluran penyebaran maklumat.

Dengan kata lain, seandainya Stadium Merdeka tidak membuka pintunya untuk BERSIH 2.0 pada saat-saat akhir, maka sudah hampir pasti akan berlangsungnya "kekerasan polis" untuk menyuraikan "perhimpunan haram" pada 9 Julai 2011, mengikut perkembangan senario terkini.
Najib mungkir janji
Apapun tuduhan yang dilontarkan terhadap Ambiga, sebenarnya hanya bagai meludah ke langit. Utusan Malaysia keluaran 5 Julai 2011 membubuh tajuknya "Ambiga berdolak-dalik" pada muka surat depan, cuba menimbulkan persepsi bahawa Ambiga enggan akur kepada YDPA.

Namun demikian, Najib Razak pada kali ini terpaksa menjilat ludah sendiri - apabila dirinya mengubah pendirian dalam masa yang terlalu singkat, ibarat pusingan-U yang terlalu cepat sehingga media kawalannya, pengikutnya bersama spin doctor-nya, tidak sempat untuk berhenti.

Misalnya, Utusan Malaysia keluaran 7 Julai 2011 menyiarkan satu tulisan bertajuk "Elak pertikai tindakan PM", bermula dengan "Tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri iaitu menawarkan stadium untuk penganjur perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan perhimpunan adalah satu langkah yang bijak dan bertanggungjawab. Tindakan penganjur menerimanya juga satu langkah bagus."

Penulisnya cuba mengemukakan contoh-contoh dari sejarah, untuk membela tindakan Najib menawarkan stadium. Malah, sebelum mengakhiri tulisan tersebut, Faizal Ahmad sekali lagi menulis, "Tindakan Najib menawarkan stadium kepada penganjur adalah satu langkah bijak yang perlu dipuji. Ia boleh menyelesaikan banyak masalah. Anggota-anggota polis juga tidak perlu lagi dikerah bertungkus lumus untuk mengawal keadaan pada hari berkenaan. Mereka boleh beri tumpuan kepada tugas hakiki."

Belum sempat brek...


Bukan di Utusan Malaysia sahaja, malah di Sin Chew Daily, Tay Tian Yan memulakan tulisan kolumnya dengan "Jangan bising lagi! Balik kepada cadangan Perdana Menteri, bukalah pintu stadium!"

Malah, sebelum kerajaan Najib mengubah pendirian untuk menolak permohonan BERSIH 2.0 yang mahu mengadakan perhimpunan dalam Stadium Merdeka, Bernama masih menyiarkan kenyataan-kenyataan daripada Timbalan Menteri yang memuji keputusan mengadakan perhimpunan dalam stadium.

MCA Selangor juga tidak ketinggalan untuk mengeluarkan kenyataan, menyeru agar pihak berkenaan meluluskan penggunaan Stadium Merdeka dengan segera - agar tidak timbul lagi perkara di luar dugaan. "Memandangkan BERSIH telah menerima penyelesaian yang telah dikompromi, iaitu mengadakan perhimpunan dalam Stadium Merdeka, maka pihak berkenaan janganlah timbulkan hal di luar dugaan. Mereka harus menyewa stadium itu kepada BERSIH," kata Timbalan Ketua Biro Penerangan MCA Selangor, Sheah Kok Fah (gambar kiri).

Kenyataan atau tulisan tersebut disiarkan pada hari ini. Maka, semestinya rakyat akan berasa pelik mengapa pemimpin BERSIH 2.0 pula dikecam, sedangkan baru menerima mesej dari media bahawa kerajaan Najib telah membuat keputusan bijak untuk menyelesaikan masalah, dan BERSIH 2.0 menerimanya!

Najib ulangi kesilapan Abdullah dan Mahathir

Perubahan sedemikian mengembalikan senario ke titik asal. Keputusan BERSIH 2.0 untuk berganjak langkah sebelum ini mungkin mengecewakan sesetengah penyokongnya, namun ia disambut baik ramai yang berada di atas pagar. Pertama, BERSIH 2.0 akur kepada YDPA, kerana keputusan berhimpun di stadium dibuat selepas mereka menghadap YDPA. Keduanya, tindakan mereka berganjak langkah memperlihatkan bahawa mereka bersedia untuk berkompromi, demi meredakan ketegangan yang wujud.

Sebaliknya, reaksi kerajaan BN yang keterlaluan telah mengundang kemarahan orang ramai. Ini kerana penangkapan dan penahanan polis terhadap mereka yang berpakaian kuning, malah atas tuduhan "memerangi YDPA", langsung tidak masuk akal untuk kebanyakan orang, termasuk orang seperti Marina Mahathir, yang ketika ditanya, beliau mempersoalkan sebaliknya, "Adakah bapa saya (Mahathir) menangkap orang berpakaian kuning (ketika Operasi Lalang)?"

Untuk mereka yang berada di atas pagar, keputusan BN untuk menarik balik tawaran stadium juga memperlihatkan ketidakwajaran. Belum lagi kenyataan-kenyataan yang dianggap memperbodohkan, dari bibir Menteri Dalam Negeri, mendesak sesebuah "pertubuhan haram", kononnya, untuk memohon permit perhimpunan. Malah, Hishammuddin Hussein mempertikaikan pemakaian baju "BERSIH" - apa perlunya untuk menyampaikan mesej melalui T-shirt - tanpa berfikir bahawa logo dan baju 1Malaysia berada di merata-rata.

Dan di sini kerajaan Najib menggabungkan kesilapan dan kelemahan kedua-dua orang bekas PM Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah Badawi, sungguhpun cuba memperlihatkan sedikit keterbukaan pada mulanya, namun mengambil langkah yang "tidak masuk akal" ketika terdesak - misalnya mohon perintah mahkamah untuk menghalang pemimpin pembangkang tertentu dari menghampiri sesuatu tempat - hari ini ditiru Najib.

Mahathir Mohamad, langsung tidak lembut tangannya ketika berdepan dengan musuh politik atau pembangkang - penangkapan secara besar-besaran, misalnya Operasi Lalangnya pada tahun 1987 yang menahan 106 orang di bawah ISA. Sungguhpun tidak menggunakan ISA, tetapi sudah dua kali pentadbiran Najib melakukan penangkapan secara besar-besaran - satu untuk mereka yang berpakaian hitam, dan satu lagi mereka yang berpakaian kuning.

Kepimpinan dengan kuku besi semakin ketinggalan pada zaman abad ke-21. Najib perlu mengambil iktibar dari pengajaran sejarah - bagaimana gelombang "reformasi" pada tahun 1998 menyingkirkan Mahathir Mohamad, dan bagaimana "tsunami politik" pada tahun 2008 menggulingkan Abdullah Ahmad Badawi. Apabila T-shirt menjadi igauan, jangan pula diharapkan Datuk T boleh menjadi penyelamat.
Baca: Apabila rasional BERSIH 2.0 bertembung dengan ketidakikhlasan BN...

*Lim Hong Siang ialah Editor Merdekareview, edisi bahasa Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan