|
Gambar pemuda ini telah diedit seolah-olah memegang senjata dan disiarkan oleh Berita Harian pada 10 Julai. |
[HD] KUALA LUMPUR, 11 Julai: Sehari selepas berlangsungnya perhimpunan Bersih 2.0, para penyokong BN sendiri mulai menyerang pemimpin mereka dan menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.Najib disifatkan gagal melaksanakan cadangannya sendiri agar perhimpunan dijalankan di stadium dan disifatkan pemimpin 'flip-flop' atau 'kluk-klek'.
Bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamed), Matthias Chang dalam tulisannya memberikan masa sekurang-kurangnya 10 bulan kepada BN untuk boleh membetulkan balik kesilapan cara BN mengendalikan perhimpunan Bersih 2.0 ini.
Sebelum Matthias, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Saifudin Abdullah turut mempertikaikan strategi BN dalam menghadapi Bersih 2.0.
"Selepas perhimpunan 9 Julai 2011, saya mencadangkan agar Perdana Menteri dan seluruh pemimpin BN, bahawa keutamaan mereka sekarang adalah membuang semua penasihat politik yang tidak ada pengalaman langsung dalam realiti politik," tulis Matthias mengulas peranan penasihat politik Najib yang dikatakan pakar dalam “Blue Ocean Strategy” (strategi lautan biru).
Kerajaan BN, kata Mathias, membelanjakan bilion ringgit untuk membayar para 'pakar strategi' ini namun sehingga kini tidak menunjukkan sebarang hasil yang jelas 'di alam realiti dan di peringkat akar umbi.'
Tulisan Mathias membayangkan cerita sebenar di sebalik kegelisahan dan tindakan berlebihan kerajaan pimpinan Najib dalam mengendalikan Bersih 2.0.
Sehari selepas perhimpunan Bersih 2.0, Najib menghimpunkan 6,000 para penyokongnya di PWTC dan memberikan ucapan berapi kononnya Bersih 2.0 tidak ada sebarang kesan.
Sebelum itu, beliau dan timbalannya Tan Sri Muhyidin Yasin telah membuat kenyataan bahawa semua urusan mengendalikan perhimpunan kali ini diserahkan kepada polis.
Hasilnya, seluruh bandaraya Kuala Lumpur dikepung dan tidak ada sebarang kenderaan yang dibenarkan masuk sejak tengahmalam sebelum 9 Julai.
Namun, pelbagai pihak menganggar lebih 100,000 penyokong Bersih berhimpun di ibunegara walaupun mendapat tentangan ganas dari pihak keselamatan.
Seorang peserta, Baharudin Ahmad, 58 tahun telah meninggal dunia. Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur dan Najib sendiri mendakwa ia berpunca dari sakit jantung tetapi keluarganya berkata, Allahyarham, seorang bekas tentera yang segar bugar mustahil terkena komplikasi jantung.
Keluarganya juga berkata, jenazah Allahyarham menunjukkan tanda empat tulang dadanya patah manakala tiga batang giginya turut patah.
Di samping Baharudin, 1697 peserta ditahan sepanjang operasi polis itu termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga.
Kesan dari itu, Mathhias yang menyebut dia adalah bekas setiausaha politik PM sebelum ini berkata, jika pilihan raya diadakan tahun ini, BN tidak akan berjaya mendapat dua pertiga majoriti dalam Parlimen mahupun mengambil balik empat negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat.
Yang lebih teruk lagi, beliau menjangkakan PM akan dihalau keluar enam bulan selepas itu.
Bagi menghadapinya, Matthias memberikan tiga cadangan untuk Najib:
1) Arahkan para penasihat politik beliau menonton siri TV “The Three Kingdoms” dan belajar asas-asas strategi politik.
2) Hantar sepupu beliau, Datuk Seri Hishamudin Husein iaitu Menteri Dalam Negeri untuk dianalisa jiwanya untuk “Enlarged Ego Syndrome” (EES) dan menyusun semula semua pegawai kanan Polis Diraja Malaysia.
3) Masukkan ke dalam peti sejuk semua pimpinan Pemuda Umno pimpinan Khairy Jamaludin. Ini kerana masalah sebenar Najib bukannya pembangkang tetapi dalaman BN sendiri.
Bagi Mathias, perhimpunan 9 Julai 2011 menimbulkan tujuh persoalan untuk dijawab oleh Najib:
1) Mengapa para pakar "Strategi lautan biru" gagal menjangkakan dengan tepat apa akan berlaku dalam Bersih 2.0 dan membuat langkah awal?
2) Kenapa pasukan keselamatan kebangsaan gagal menjangka apa berlaku dalam Bersih 2.0 dan bila PM dan menteri kabinet ditaklimatkan tentang demonstrasi itu?
3) Kenapa kerajaan BN membenarkan agen provokasi Perkasa mengambilalih tugasnya dalam mengendalikan Bersih dan diikuti oleh Pemuda Umno yang tidak matang?
4) Mengapa Najib flip-flop dalam keputusannya membenarkan perhimpunan di stadium dan memberikan kebenaran kepada polis untuk bertindak sepenuhnya?
5) Apa yang menyebabkan agen propaganda BN merasa dengan menyekat seluruh ibu negara akan menyebabkan rakyat marah kepada pembangkang bukannya kerajaan BN?
6) Adakah penilaian dibuat terhadap kesan dari tindakan keras terhadap demonstrasi Bersih 2.0. Adakah ia berjaya mengekalkan penyokongnya atau menghalau keseluruhan 40 peratus pengundi atas pagar dari BN?
7) Adakah dikenalpasti objektif yang hendak dicapai dengan pendekatan kasar menghadapi Bersih dan bagaimana ia boleh menambahkan lagi sokongan kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan