oleh Mohamed Hanipa Maidin
Kali ini aku ingin berkongsi cerita pra, semasa dan pasca himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. Kita mulakan dengan fasa pra perhimpunan. Aku dan Mat Sabu berada di luar negara kerana bererehat sebentar dek terlalu banyak kes Mahkamah yang melibatkanku (peguam) dan Mohamad Sabu atau lebih mesra dipanggil Mat Sabu (anakguam) yang juga Timbalan Presiden PAS.
Di luar negara kami berbincang adakah Mat Sabu perlu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 8 Julai iaitu sehari sebelum Himpunan Bersih. Mat Sabu agak risau dicekup pada 8 Julai di Pulau Pinang maka terlepas untuk menyertai himpunan Bersih. Aku katakan pada Mat Sabu bahawa kami perlu hadir pada 8 Julai di mahkamah.
Maka pada hari tersebut, kami berdua berlepas ke Pulau Pinang dari Lapangan Terbang Subang pada jam 6.55 pagi. Di Pulau Pinang aku dan Mat Sabu hadir di Mahkamah Tinggi bagi rayuan kes oleh Pendakwaraya ke atas keputusan Mahkamah Majistret di Jawi yang membebaskan Mat Sabu dan sembilan yang lain. Tapi jahatnya pihak pendakwaraya, mereka hanya merayu kes Mat Sabu sahaja.
Alhamdulillah di Pulau Pinang Mat Sabu tidak ditangkap. Ramai yang menyapa Mat Sabu tanpa mengira bangsa di Pulau Pinang dan semua bersemangat bercerita tentang Bersih dan tindakan polis yang mereka kata agak kururang siuman. Jam 6.30 petang, kami sampai di Subang. Kenderaan dan petugas keselamatan PAS menanti kami. Di Lapangan Terbang Bayan Lepas, kami membeli baju warna kuning yang bakal dipakai di perhimpunan Bersih 2.0 keesokan harinya.
Pemandu yang membawa kami beritahu banyak sekatan jalan polis dan jika naik kereta tidak selamat. Dua buah motosikal disediakan untuk kami. Sampai di sebuah stesen minyak, Mat Sabu membonceng motosikal untuk dibawa ke sebuah hotel di ibu kota dan aku pula dibawa ke rumah. Kami berjanji akan jumpa malam itu di hotel.
Sebaik sahaja sampai di rumah, aku membersihkan diri dan jam 12 malam berjumpa Mat Sabu di sebuah hotel di ibu kota.
Pagi 9 Julai, aku tinggalkan Mat Sabu di bilik hotel dan turun minum. Aku hanya berseluar jeans hitam dan berbaju T merah (tapi bukan Patriot). Aku minum di gerai mamak tidak jauh dari hotel. Ramai ahli PAS turut minum dan menyapaku. Kepala aku hanya memikir satu perkara; bagaimana nak melepasi banyak sekatan jalan polis? Aku dan Mat Sabu saling berhubungan melalui SMS (khidmat pesanan ringkas).
Tiba-tiba aku terima SMS dari sahabat PAS Johor yang secara kebetulan dapat maklumat daripada seorang kawan lain yang berada di hotel penginapan Mat Sabu. SMS itu berbunyi; “Beritahu akhie Hanipa jangan balik ke hotel kerana polis sedang cari dia.”
Aku forwardkan SMS itu kepada Mat Sabu. Aku minta kawan yang minum bersama aku untuk lihat keadaan di hotel. Kawan aku pergi ke hotel dan beritahu ramai polis berkeliaran. Aku menelefon Dr Mohd Hatta Ramli dan beliau minta aku dan Mat Sabu ke Masjid Negara jika boleh lepas dari kepungan polis. Aku beritahu Mat Sabu apa yang Dr Hatta beritahu. Mat Sabu kata kita ke sana untuk solat Zohor. Maka petugas keselamatan menyediakan dua motor dengan dua penunggang. Aku naik satu motor dan Mat Sabu naik satu motor yang lain.
Sebaik sahaja Mat Sabu berjaya turun ke bawah (polis tidak menyedari Mat Sabu sudah terlepas), kedua-dua motor memecut deras membawa kami. Aku amat gayat membonceng motor yang dipandu laju. Tiba-tiba motor yang membawa Mat Sabu berhenti kerana dalam jarak 100 meter ada sekatan jalan polis. Kami cuba masuk ke kawasan perumahan dan tidak semena-mena kenderaan pacuan empat roda polis dan dua kereta peronda meluru laju dan membrek di hadapan motor kami.
Kami cuba berpatah balik tetapi dikepung dan pacuan empat roda polis dengan sengaja melanggar motosikal yang dinaiki Mat Sabu. Aku nampak bahagian depan jip Pajero itu melanggar kaki Mat Sabu.
Kedua-dua motosikal yang kami naiki jatuh dan beberapa anggota polis bertindak ala gangster menerpa kami sambil berteriak. Aku dijatuhkan dan muka aku ditekan oleh polis sehingga terkena roda motosikal. Aku lihat Mat Sabu dalam kesakitan dan memberitahu polis bahawa dia tidak boleh berjalan.
Tanganku digari ke belakang dan dimasukkan ke dalam kereta peronda. Aku protes tangkapan tersebut dan memberitahu polis yang aku seorang peguam. Namaku juga tiada dalam perintah mahkamah. ACP Fairuz (yang juga aku kenal kerana akulah peguam yang menyoal balas beliau dalam kes himpunan Protes) hanya mengatakan beliau “ikut arahan”. Jawapan standard polis.
Kami berempat dibawa ke Balai Polis Jinjang. Dari sana Mat Sabu kemudiannya di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan. Di Jinjang aku dikenali oleh beberapa anggota polis yang bekerja di mahkamah dan mereka agak terkejut kerana aku ditangkap. Apabila merereka kata pada aku “maaf tuan’ polis yang lain pula terkejut. Aku bersyarah panjang pada polis tentang hak orang yang ditangkap dan sedikit sebanyak mereka akur.
Aku dimasukkan ke dalam sel bersama-sama dua pemandu motosikal yang membawa kami. Di dalam sel, rupanya sudah ada merereka yang ditangkap kerana perhimpunan Bersih. Apabila aku ingin bersolat Zohor, polis arahkan aku berpindah sel. Aku dibawa ke sel baru dan di situ aku terserempak dengan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dalam sel seorang diri. Aku juga melihat seorang lagi Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar juga dalam sel seorang diri. Aku diletakkan dalam sel bersebelahan Mahfuz. Kami bertiga dikurung di sel berasingan seorang diri (solitary confinement).
Tidak lama kemudian Tian Chua pula dimasukkan ke dalam sel di sebelah aku. Selepas itu Mat Sabu pula dimasukkan ke dalam sel di depan sel kami. Beliau hanya berkain pelekat dan kaki berbalut.
Mat Sabu berjalan terdencot-dencot. Tidak lama lepas itu Sivarasa Rasiah pula dimasukkan dalam sel di sebelah sel Mat Sabu. Maka kami berbual (sahut-menyahut) dengan nada ria antara satu sama lain.
Nampaknya, polis boleh menahan kami tetapi tidak boleh mencabut kegembiraan kami menentang kezaliman polis dan BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan