Selasa, 16 Ogos 2011

Pemimpin Umno BN takut bahas, sidang DUN Perak cuma 3 jam

(Oleh Sidiqin Omar)

PERAK: Ketakutan pemimpin Umno Barisan Nasional (BN) berbahas terserlah apabila parti pemerintah itu memendekkan tempoh sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dari dua hari kepada tiga jam, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang.

“Sidang ini patut menjadi tempat menilai prestasi kerajaan negeri tetapi apa yang boleh dibuat dalam tiga jam? Ini helah Speaker dan Menteri Besar yang takut untuk berbahas dengan Adun Pakatan Rakyat.

“Ia sepatutnya berlangsung dua hari tetapi dipendekkan kepada satu hari, dan dalam satu hari hanya berlangsung selama tiga jam,” katanya kepada KeadilanDaily, hari ini.

Sidang DUN itu dijadualkan berlangsung dua hari tetapi ditamatkan kira-kira jam 2 petang hari ini.

Malah, Lih Kang berkata, sidang DUN itu menyaksikan Speaker, R Ganesan bersikap tidak demokratik apabila memadamkan mikrofon Adun Pakatan Rakyat sepanjang perbahasan dan menggantung Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim.

“Ini tidak adil kepada rakyat negeri Perak. Wakil rakyat dipilih untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab tapi dinafi untuk berbuat demikian,” katanya.

Adun Kuala Kurau, Yunus Jamhari pula menyifatkan sidang DUN kali ini semata-mata untuk memenuhi syarat minimum sidang DUN.

“Menurut amalan DUN Perak, satu sidang Dewan Undangan Negeri perlu diadakan tidak lebih dari 6 bulan. Kali terakhir ialah pada April 2011 dan akan datang pada November 2011.

Terdahulu, Adun Pakatan Rakyat keluar dewan membantah pengendalian sidang DUN yang banyak kepincangan dan pelanggaran undang-undang.
Antara isu yang dibangkitkan Adun Pakatan Rakyat ialah penyelewengan projek Teluk Rubiah dekat Manjung berikutan sebuah syarikat bermodal RM100 diberi konsensi menjalankan projek bernilai RM5.2 billion.

Hanya selepas laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat, modal syarikat baru itu ditambah kepada RM5 juta. Justeru, Pakatan Rakyat Perak membuat laporan polis mengenainya.
KD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan