Selasa, 2 Ogos 2011

‘Saya bukan lelaki ganas’

TEMERLOH – Pemuda bertubuh sasa digambarkan ganas dan didakwa membawa pisau ketika perhim-punan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, dikenali berperwatakan sebaliknya dalam kalangan penduduk bandar ini, terutama rakan-rakan dan pelanggannya.

Abdul Razak Endut 32, atau dikenali sebagai Ajak juga antara individu paling mudah ditemui penduduk bandar ini.

Abdul Razak bukan sahaja dikenali mereka yang sebaya, tetapi semua lapisan termasuk wanita dan kanak-kanak.

Faktor populariti itu kerana dia saban hari berada di pusat bandar ini membantu abangnya di sebuah kedai kecil di Jalan Ahmad Shah yang sarat dengan pelbagai jenis kasut menawarkan khidmat menjahit dan menjual kasut terpakai.

Kedai mereka sememangnya dikunjungi ramai pelanggan, tambahan pula berlokasi di kawasan tumpuan ramai. Ajak bekerja seperti biasa duduk di kaki lima dan sudah tentu orang ramai mudah ’cam’ wajahnya.

Seorang rakannya, Khairil Abdul Rahim berkata, Abdul Razak dikenali sebagai seorang yang lemah lembut, bertubuh sasa dan jarang meninggikan suara sekalipun untuk bergurau dengan rakan karib.

Abdul Razak yang mempunyai dua anak, pernah berkhidmat sebagai kelasi kapal selama lapan tahun sebelum ambil keputusan membantu abangnya berniaga kasut.

Pengalaman menjelajah ke serata pelosok dunia sebelum ini banyak mengajarnya erti kehidupan dan walaupun kini bekerja sebagai tukang kasut, dia fasih berbahasa Inggeris.

Abdul Razak sewaktu ditemui di kedainya berkata, dia sebenarnya terkilan dengan apa yang digambarkan terhadap dirinya yang seolah-olah melanggar displin sebagai anggota Unit Amal Pas Temerloh.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh3Voy-UYXnWEk8XX0Ry7_U5_zqJbemzKkmJF8HWgqeWJllRsVMdy9b5Vjrf74rkKjBQs_gAWOjc4FJltzrHf5cd1GlPyaVDVV-1q0opyWDV0ne35FRb2mMbszsfqnj8YUwiUj0r-bZgd0A/s320/409d18df94e976b7df3ec1cca1ff6d8a.jpg
Mengimbas insiden 9 Julai sehingga dia digambarkan sebagai seorang yang beraksi ganas, Abdul Razak berkata, semasa kejadian, ketika polis menembak gas pemedih mata, dia mengambil kanister itu lalu membalingnya semula ke arah padang berhampiran.

“Saya ditugaskan mengawal keselamatan peserta demonstrasi dan sebab itu saya mengambil tindakan membuang kanister itu jauh dari orang ramai,” katanya.

Menurutnya, berikutan gambar dirinya yang dia dakwa telah dimanipulasi dan disiarkan akhbar, imej dan kredibiliti dirinya yang dibina sejak berbelas tahun bersama Pas, telah terjejas.

“Semasa perhimpunan itu, pelbagai kaum dan agama sama-sama berhimpun, setiap titisan air mata dan keringat malah darah sekalipun bakal meruntuhkan tembok perkauman yang yang sedia ada,” katanya.

Abdul Razak yang berasal dari Kampung Bukit Pak Silap di sini berkata, dia tidak mempertikaikan jurugambar akhbar terbabit tetapi mempertikaikan penyunting dan nota kaki keterangan gambar yang disiarkan itu.

Selepas peristiwa gambarnya didakwa memegang pisau disiarkan sebuah akhbar semasa perhimpunan Bersih 9 Julai lalu, Abdul Razak semakin kerap dipanggil memberi ceramah dalam beberapa program anjuran Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan