Menghisab Nasib Ibrahim di Pasir Mas
APABILA berbicara soal politik Kelantan orang tidak akan lepas dari memperkatakan ahli politik bernama Inchek Ibrahim Ali atau di kampungnya orang ‘kelo’ – panggil Mustapa. Tanpa menyebut nama Ibrahim Ali politik Kelantan tidak akan lengkap. Kehadiran beliau dalam kelir politik Kelantan samalah dengan Pak Dogol, Wak Long atau Wak Yah dalam wayang kulit. Watak-watak ini dilihat remeh dan melucukan dalam budaya klasik itu tetapi mempunyai signifiken tersendiri.
Betapa pun sedap dan menarik babak wayang kulit, atau hebatnya Seri Rama bertarung dengan Bota atau Hunuman Kerta Putih, tetapi ia tidak lengkap kalau tidak ada campur tangan Pak Dogol, Wak Long atau Wak Yah. Mereka adalah badut keramat dalam wayang kulit. Demikian juga dengan Ibrahim Ali dalam kelir politik. Ibrahim adalah badut keramat dalam politik.
Suka atau tidak suka dia menghidupkan senario politik Kelantan. Menjadi bahan sejarah dan monumen politik yang senantiasa dikaji. Wataknya bervariasi dalam hal ini. Warnanya melebihi warna pelangi. Berbelang-belang macam rimau dan boleh menyalinkan warna badan macam chemeleon – pak ka. Ada kalanya dia menjadi watak penyelamat dan ada kalanya dia menjadi watak pengacau dan samseng. Kedua keadaan itu boleh dipengaruhi olehnya. Di sinilah kegeligaan Ibrahim yang dikaitkan sebagai seorang ahli politik yang tidak mementingkan moral dan maruah dan 'temooh' - melampau mementingkan kemenangan dan glamour.
Bila sebut Ibrahim jelumu atau kubunya ialah di Pasir Mas. Di sinilah dia bermula dan di sinilah dia mencipta sejarah dan di sinilah dia merasai kepedihan dalam sepak terajang politik. Pasir Mas menjadi kloni membesar, mematang dan mencatat kejayaan buatnya. Pasir Mas senonim dengan diri Ibrahim Ali. Mungkin juga di bumi limbahan logam emas inilah bakal menjadi liang lahad kepada dunia politiknya.
Ibrahim telah meletakkan Pasir Mas sebagai buminya. Dia telah mencangkan begitu dan mempedaya orang Kuala Lumpur. Dia terperasaan dirinya bersinar macam emas. Kerana itu banyak orang menduga Pasir Mas adalah kubu kuatnya. Kawasan survial politiknya. Benarkah begitu?
Bagi mereka yang hanya mendengar dakwaan Ibrahim dan melihat kejayaannya akan meraskaan bahawa Pasir Mas sebagai kubunya. Tetapi kalau didekati dan membuat analisa keputusan serta melihat kepada pengaruh sebenarnya, mungkin tanggapan itu boleh dipersoalkan. Pasir Mas bukan negeri mutlak Ibarahim. Dan diri Ibrahim sendiri tidak secerah kilau emas.
Hakikat ini akan terjawab apabila dilihat kepada keputusan-keputusan pilihan raya (kerusi Parlimen) di Pasir Mas yang melibatkan Ibrahim Ali.
Ibrahim telah bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas sebanyak enam kali dan sekali di kerusi Dun Pengkalan Pasir dalam pilihan raya kecil. Daripada tujuh pertandingan itu Ibrahim menang tiga kali dan kalah empat kali. Secara aggragete kedudukan Ibrahim 3 – 4.
Kali pertama beliau menang ialah pada tahun 1986 untuk kerusi Parlimen Pasir Mas mengalahkan calon Pas Zakaria Ismail dengan kelebihan undi sebanyak 3,376. Ibrahim memperolehi 15,279 undi manakala Zakaria mendapat 11,903 undi. Untuk adil mungkin tidak perlu disebut saat itu Pas Kelantan dalam keadaan lemah yang memudahkan Ibrahim menang.
Pada tahun 1990 sekali lagi Ibrahim menang atas tikit Semangat 46 dengan majoriti lebih besar sebanyak 9,290 undi. Beliau menewaskan Hanafi Mamat dari BN. Beliau memperolehi 20,066 undi manakala Hanafi mendapat 10,776 undi.
Dalam pilihan raya 1995 Ibrahim yang bertanding atas tikit BN tewas kepada Zainuddin M Nor muka baru dengan kekurangan undi sebanyak 3,216. Ibrahim mendapat 19,394 undi manakala Zainuddin mendapat 19,394 undi.
Pilihan raya tahun 1999 sekali lagi memperlihatkan Ibrahim yang bertanding atas tikit BN ‘tertumuh makan tanah’ kepada calon Pas Ismail Nuh. Ismail menang dengan mendapat majoriti besar 8,292 dengan mengutip jumlah undi sebanyak 23,967 manakala Ibrahim mengutik sebanyak 15,575.
Kekalahan berterusan dialami Ibrahim dan paling teruk ialah pada tahun 2004 apabila beliau bertanding atas lambang bebas – bersendirian. Dalam pertandingan tiga penjuru itu di antara calon Pas Ismail Nuh, calon BN Abdul Rahim Abdul Rahman, Ibrahim mampu mengutip undi sebanyak 6,198. Ismail yang mengutip 17,526 undi menang dengan majoriti 1,251 undi manakala Abdul Rahim meraih 16,275 undi.
Seperti dikatakan tadi Ibrahim seorang yang geliga dan bermuka 'bobon' dalam politik. Kekalahan berturut-turut sebanyak tiga kali itu ditebus dengan kemenangan dalam pilihan raya 2008 lalu atas tikit Pas penuh bergaya. ‘Congik cakdong’ politiknya berjaya membodek Pas untuk memberi lambang kepadanya. Cerita macam mana Ibrahim membubuh cenduai kepada Pas akan dikisahkan dalam catatan lain.
Hasilnya Ibrahim menang dengan majoriti besar menyamai kemenangan semasa bertanding atas lambang Semangat 46 1990 dulu, dengan mendapat majoriti 8,991 undi. Ibrahim mendapat sebanyak 28,673 undi mengalahkan calon BN Ahmad Rosdi yang mendapat 19,682 undi.
Melihat kepada keputusan-keputusan itu yang merekodkan jatuh bangun politik Ibrahim itu, kini timbul persoalan bagaimana nasib Ibrahim pada pilihan raya akan datang. Apakah beliau akan mencipta sejarah sebagai seorang politik paling canggih dengan mencatat kemenangan atas berbagai lambang atau pun pilihan raya tahun depan bakal mempusarakan Ibrahim dari politik?
Di sini saya tidak mahu meramalkan apakah Ibrahim akan bertanding atas bebas atau pun kembali mencium semula punggung Umno. Ibrahim boleh dan sanggup melalukan apakah saja demi survial politik dirinya. Dipercayai beliau akan menggunakan pengaruh Dr Mahathir Mohamad untuk ‘memaksa’ Najib memberi laluan kepada Ibrahim. Alasan akan digunakan kalau Nik Aziz sedia bagi laluan kenapa tidak dengan Najib? Dalam percaturan ini Najib dilihat sangat mudah untuk 'disim salbimkan' oleh Ibrahim.
Bagaimana pun apa yang dapat dirumuskan berpandukan keputusan enam pilihan raya itu membayangkan bahawa pengaruh peribadi Ibrahim di Pasir Mas bukan sebesar yang digembur-gemburkan. Bagi melihat pengaruh atau kekuatan Ibrahim sebenar perhatian kepada pencapaian (prestasi) kepada dua pilihan raya disertainya. Pertama pilihan raya 1990 semasa bersama Semangat 46 bergabung dengan Pas di mana Ibrahim bertanding atas lambang Semangat 46, dan kedua dalam pilihan raya lepas (2008) apabila Ibrahim diberi laluan tanpa ‘bai'ah’ atas lambang bulan.
Dalam kedua pilihan raya itu Ibrahim berjaya meraih majoriti hampir 10,000. Tahun 1990, majoritinya 9,290. Manakala tahun 2008 majoriti yang diraihnya sebanyak 8,991. Pertandingan Ibrahim atas lambang BN tahun 1986 beliau hanya mendapat kurang separuh dari jumlah itu iaitu sebanyak 3,3376. Ini bererti kombinasi Ibrahim dengan Pas dan Semangat 46 cukup menyakinkan dan memang besar. Sementara kombinasinya dengan Umno sangat lemah.
Dalam erti kata lain dapatan itu menunjukkan bahawa kemenangan besar Ibrahim di Pasir Mas adalah atas bantuan dan simpati ‘musuhnya’ - Pas dan Semangat. Pertandingan atas tikit bulan BN juga menunjukkan pengundi atas pagar di Pasir Mas turut sama menyokongnya. Pengundi bebas sedia menyokong Ibrahim sekiranya beliau bertanding tidak atas lambang dacing.
Selain dari itu keputusan tujuh kali pilihan raya itu juga menjelaskan pengaruh atau kekuatan sebenar Ibrahim Ali. Adalah tidak benar kalau ada pihak mendakwa pengaruh peribadi Ibrahim mencecah belasan ribu.
Untuk mengetahui berapa ramai pengaruh peribadi Ibrahim boleh dilihat kepada jumlah undi yang dipunggut pada pilihan raya tahun 2004 dimana beliau bertanding atas calon bebas - bersendirian. Keputusan ini adalah realistik. Dalam pilihan raya itu beliau hanya mengumpul sebanyak 6,198 undi saja, iaini tidak sampai separuh daripada jumlah undi dikutip oleh calon Pas Ismail Nuh dan calon BN Abdul Rahim yang mendapat 33,801 undi. Pilihan raya itu menyebabkan Ibrahim hilang wang pertaruhan.
Secara specifiknya pengaruh peribadi Ibrahim untuk Dun Permatang Pasir hanya 415 undi saja. Angka ini didapati apabila Ibrahim meraih jumlah itu dalam pilihan raya kecil Dun Pengkaslan Pasir yang mampu dipunggu 415 undi saja. Secara mudahnya pengaruh atau kekuatan Ibrahim untuk ketiga-tiga Dun yang meliputi Parlimen Pasir Mas (Chetok, Pengkalang Pasir dan Tendung) hanya sekitar 1,500 hingga 3,500 sahaja, di mana kalau dijumlahkan kekuataannya sekitar 6,000 undi saja atau kira-kira 10% daripada 59,640 jumlah pengundi berdaftar tahun 2008.
Paluan gendang dan gong serta salakan mengatakan Ibrahim mempunyai kekuatan peribadi sehingga belasan ribu itu hanya ilusi saja dan mungkin angaka-angka itu turut dicampur dengan bayang-bayang angka yang dapat dilihat itu sekitar 6,000.
Tegasnya sukar untuk Ibrahim Ali mengekalkan kerusi Pasir Mas dalam pilihan raya akan datang. Sama ada beliau diberi laluan bertanding atas tikit BN sekalipun, kemenangan untuknya sangatlah tipis, setipis kulit bawang di belah tujuh. Apa lagi kalau beliau bertanding atas tikit bebas berlambangkan payung sekali lagi tindakan itu adalah satu tindakan ‘harakiri’ baginya. Ibrahim hanya boleh menang sekiranya kesemua calon yang akan mengemukakan kertas pencalonan nanti ditolak oleh SPR. [wm.kl.10:10 04/08/11]
Mohd Sayuti Omar
Mohd Sayuti Omar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan