Sabtu, 3 Disember 2011

Kalau sudah lemah, apa sahaja digunakan untuk menang

Kalau kita sudah lemah atau kurang sehat, kita akan bercakap seperti orang yang meroyan. Ia memang begitu. Kepada orang yang sedang demam panas selalunya dia akan meroyan dan bercakap tidak tentu buah butirnya. Begitu jugalah apa yang kita sedang lihat dalam Perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno dan Perhimpunan Umno sekarang ini.

Muhyiddin memulakan ucapan keras untuk membentuk bibit kebencian di antara rakyat yang berbilang kaum di negara ini. Buat masa ini rakyat berbilang kaum di bawah-bawah ini bersatu dan tidak bermusuhan di antara satu dengan lain. Yang menaikkan semangat benci membenci di kalangan rakyat dan di antara kaum ini ialah pemimpin sendiri dan ini boleh kita lihat dari intipati dalam teks ucapan Timbalan Presiden Umno itu.

Kerja dan usaha memecah belahkan rakyat berbilang kaum itu diperkuatkan dengan beberapa cebisan ayat-ayat suci al Quran dalam beberapa surah di dalam kitab suci itu. Ayat-ayat Quran digunakan untuk memecahkan kesatuan di antara kaum yang wujud di antara kami di bawah ini. Selepas ini apabila keadaan tidak berubah dan sokongan masih tidak didapati, tidak tahulah ayat apa pula yang akan di gunakan. Saya rasa carut-mencarut pula akan menjadi senjata untuk memecah belahkan rakyat untuk mengambil kesempatan untuk mendapat kuasa lanjutan dari rakyat.

Katanya DAP itu rasis, PKR itu parti yang memperjuangkan tubuh badan individu dan PAS itu sudah jadi baruah DAP. Kita memahami kenapa Muhyiddin bercakap begitu. Ia adalah satu usaha untuk menyatukan orang Melayu di belakang Umno. Bagi Muhyiddin saya yakin beliau tidak lagi menaruh harapan kepada bangsa lain kerana bangsa lain terutamanya kaum cina, mempunyai pendirian yang tetap dan payah untuk di goyahkan.

Bagi Muhyiddin oleh kerana kegelabahan dan kegelisahan beliau, Timbalan Presiden Umno ini terlupa dengan apa yang dia kata semalam dan hari ini misalnya. Hari ini bercakap lain, besok dia akan bercakap perkara yang sama tetapi dalam mood yang bertentangan dengan apa yang beliau perkatakan pada hari sebelumnya.

Selalunya kalau kita kaji dari psikolojinya Muhyiddin sudah mula hilang keyakinan terhadap sokongan rakyat khususnya orang Melayu. Bagi Muhyiddin beliau boleh berkata apa sekali pun terhadap bukan Melayu kerana beliau merasakan beliau tidak boleh mengharapkan bangsa Cina untuk bersama beliau dan Umno. Kata-kata beliau begitu rasis, malahan lebih rasis dari Perkasa semasa berucap di Perhimpunan 3 sayap parti, Wanita, Puteri dan Pemuda.

Maka kita lihat apa yang di suarakan oleh Najib melalui slogan 1 Malaysia itu dilanggar secara “head-on” oleh Muhyiddin. Muhyiddin sudah kesuntukan akal. Sebagai Timbalan Perdana Menteri beliau merupakan pengganti kepada Najib jika ada apa-apa yang berlaku kepada kepimpinan Najib. Belum pun beliau mengambil alih beliau telah menunjukkan sikap tidak boleh “co-exist” dengan bangsa-bangsa lain di negara ini, bagaimana kah beliau boleh diterima oleh rakyat secara menyeluruh nanti?

Bagi saya sikap Muhyiddin itu merupakan sikap “mengecilkan padang” beliau sendiri. Beliau hanya mahukan orang Melayu untuk bersatu dan seolah-olah menolak kewujudan bangsa lain terutamanya bangsa Cina yang sudah berada empat keturunan di negara ini.

Bagaimanakah Muhyiddin boleh di terima sebagai pemimpin jika beliau hanya mahu menjadi pemimpin kepada bangsanya sendiri sahaja. Pada Muhyiddin bangsa lain semuanya anti Islam, komunis, jahat, dan semuanya yang tak elok. Hendak juga saya melihat jika Muhyiddin jadi PM dengan hanya menjaga orang Melayu. Bila bercakap seperti orang yang tidak berfikir langsung semata-mata kerana hendak menjaga “hardliners” dalam Umno.

Apakah agaknya sebab-sebab Muhyiddin menuduh DAP hendak jadikan negara ini sebagai sebuah republik? Saya percaya Muhyiddin menyebut ini kerana rasa terdesak di atas keruncingan sokongan orang ramai terhadap Umno dan BN pada hari ini. Kadang-kadang kita tidak boleh menyalahkan MCA dan Gerakkan menuduh yang kedua parti itu tersungkur kerana sikap pemimpin reputasi Umno yang menerajui BN itu. Umno kini tidak mempunyai “magnanimity” yang tinggi. Muhyiddin sepatutnya membaca dan menghayati isi kandungan perlembagaan parti itu betul-betul.

Sesungguhnya saya sudah percaya apa yang di katakan oleh Gerakkan dan MCA beberapa lama selepas kekalahan teruk dalam PRU 2008 yang Umnolah menyebabkan kedua parti itu jatuh merudum. Kaum-kaum khususnya kaum Cina beranggapan yang Gerakkan dan MCA itu hanya sebagai parti-parti yang telah di pariahkan oleh Umno sendiri. Maka tindakan bangsa cina tidak menyokong MCA dan Gerakkan itu adalah tepat bagi mereka kerana MCA dan Gerakkan itu sentiasa mengikuti kerenah buruk Umno sebagai parti tunjang kepada BN itu.

Dengan ucapan pedas Muhyiddin di Perhimpunan 3 sayap Umno yang baru lalu ini bangsa cina nampaknya lebih takut jika BN khususnya Umno, masih diberikan mandat kali ini. Apa yang di perlukan pada hari ini ialah seorang pemimpin Melayu yang di hormati oleh semua bangsa kerana pimpinan utama negara ini adalah moralnya hak orang Melayu.

Tetapi kalaulah pemimpin seperti Muhyiddin yang bakal mengambilalih kepimpinan Najib yang sedang di usahakan oleh setengah kumpulan dalam Umno sekarang ini sudah dibuai dengan sentimen rasisnya maka menjadikan Muhyddin sebagai pemimpin yang bakal menerajui pimpinan BN yang akan hanya mengambil tanggungjawab terhadap orang Melayu sahaja.

Itu cerita Muhyiddin. Bagaimana pula kalau kita belek-belek sedikit cerita Shahrizat, Ketua Wanita Umno, yang masuk parlimen melalui pintu belakang itu? Dalam Perhimpunan Wanita Sharizat secara jelas juga seorang yang tidak begitu “centre” sebagai seorang nombor satu dalam Wanita Umno. Menyingsing lengan bajunya di hadapan perwakilan dengan nada garang tidak bertempat. Ada di antara yang ada di dalam dewan persidangan memberi komen, “kenapa tidak sensing kainnya sekali?”

Kenapa memberikan reaksi marah hanya kepada Zuraida PKR sahaja kerana desakan Zuraida yang meminta beliau meletakkan jawatan? Kenapa tidak marah kepada Bung Mokhtar dan gengnya sekali kerana mereka dalam Umno sendiri meminta beliau meletakkan jawatan?

Saya di sini tidak berkeyakinan yang Umno mampu mengenepikan Shahrizat dalam PRU nanti kerana beliau adalah Ketua Wanita Umno. Jika beliau masih di calonkan maka ianya akan memberikan “effect” yang “negative” kepada BN di seluruh negara. Yang boleh mengenepikan beliau hanyalah beliau sendiri dengan berhenti secara sukarela dan tidak lagi menjadi calon dalam PRU nanti. Lagi pun Umno boleh melantik beliau sekali lagi melalui pintu belakang. Itu pun dengan syarat BN menang pilihanraya nanti.

Yang tidak akan dapat dinafikan oleh sesiapa ialah pendekatan Najib dan Muhyiddin sangat berbeza dan sentiasa bersalah-salahan. Najib dengan 1 Malaysia nya. Muhyiddin dengan rasis Melayunya. Muhyiddin yang rasis Melayu cuba hendak menuduh DAP sebagai rasis cina yang hanya di anggotai oleh kaum Cina. Tetapi apabila DAP hendak membawa orang Melayu untuk mengimbangi kaum-kaum yang berbilang dalam negara ini Muhyiddin kata Cina DAP melakukannya untuk mengumpan dan mengudakan orang Melayu dan orang Melayu yang menyertai parti itu di anggap sebagai pengkhianat bangsa dan negara pula.

Siapa yang pengkhianat? Jika menyertai DAP itu pengkhianat dan memberi ancaman kepada keselamatan negara kenapa tidak haramkan sahaja DAP itu? Tuduhan Muhyiddin ini begitu serius dan kepada siapa yang mahu hidup bersama secara aman mesti menolak Muhyiddin kerana jika beliau menerajui kepimpinan negara kehidupan kita di antara kaum akan porak peranda.

Sebagaimana yang saya tekankan sebelum ini pengkhianat ini ialah seseorang yang menjahanamkan negara dan keselamatan rakyatnya. Pengkhianat yang sebenarnya ialah perasuah kerana budaya rasuah akan menjahanamkan sistem pentadbiran negara dan membawa perpecahan kepada rakyat yang menghuninya. Rasuah lebih dahsyat akibatnya dari ancaman komunis dan dadah.

Mereka yang rasuah ini merupakan benar-benar pengkhianat terhadap negara kerana tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara jujur seperti yang di amanahkan oleh rakyat. Stigma rasuah ini merupakan stigma yang tidak dapat ditanggalkan dari Umno dan BN. Seperti yang saya sebutkan dalam posting yang lalu, Umno dan rasuah itu ibarat aur dengan tebing, saling menyandar di antara satu dengan yang lain, malahan keselamatan negara akan terancam jika rakyat tidak mahu menyingkirkan perasuah dari barisan kepimpinan negara.

Kritikan tentang rasuah ini sudah lebih satu dekad di persoalkan oleh rakyat tetapi nyata rasuah ini tidak dapat ditanggalkan dari Umno. Maka pimpinan Umno wajar berfikir, jangan tuduh seteru politik sembarangan kerana Umno sendiri itu tidak berkemampuan untuk membuat perubahan minda dengan mengaku rasuah itu adalah musuh nombor satu negara dan rakyat.

Pemimpin Umno boleh berucap bertempik-tempik di Dewan Merdeka dengan retorik dan janji-janji menggunung, tetapi rakyat tidak dapat melupakan isu rasuah yang terlalu menebal dengan Umno. Cubalah berusaha untuk bersatu tetapi rasuah tadi tidak akan membolehkan mereka bersatu di antara satu dengan lain dalam Umno dan BN.

Kalau Umno boleh bersatu, rakyat juga boleh bersatu untuk menolaknya. Sebenarnya rakyatlah yang sudah penat menangani isu perpaduan ini. Sudah nampak jelas rakyat mahu bersatu dalam erti kata yang sebenarnya tetapi nampaknya mereka lebih cenderung untuk bersatu di luar Umno dan BN. Sangat susah untuk bersatu dibawah Umno jika pemimpin-pemimpin mempunyai sikap seperti Muhyiddin Yassin. Beliau hanya inginkan orang Melayu sahaja bersatu sedangkan rakyat mahu bersatu bagi semua kaum yang hidup dalam negara ini.

Inilah bibit-bibit yang menyebabkan rakyat berbilang kaum sekarang menerima parti-parti berbilang kaum dan secara deras menolak parti-parti yang di anggotai oleh hanya satu kaum seperti Umno, MCA dan MIC. Perbezaan wadah dan keterampilan Najib dengan Muhyiddin ini akan memberi lebih sebab kenapa rakyat patut menyertai parti-parti berbilang kaum di negara ini.

Setiap parti yang terdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan menerima kandungan perlembagaan negara. Oleh kerana tuduhan pemimpin Umno yang parti-parti ini tidak menghormati perlembagaan negara inilah yang menyebabkan rakyat berpecah belah.Semua parti menghormati perlembagaan dan tuduhan Muhyiddin yang ada pihak tertentu hendak jadikan negara ini negara republik itu amat menyentuh perasaan rakyat kerana ianya adalah tuduhan yang amat jahat dan memalukan bangsa Melayu kita sendiri.

Itulah sebabnya pemimpin-pemimpin terdahulu pernah berkata yang kita mesti jauhkan pemimpin yang mempunyai sikap rendah diri dan mempunyai tahap “confidence” yang rendah untuk memimpin. Ugut mengugut, gertak menggertak dan memulas tangan rakyat adalah senjata akhir untuk terus berkuasa. Memaki hamun, mencarut dan menyinsing lengan macam Sharizat menjadi perkara biasa. Jangan menyinsing kain cukuplah.

Pemimpin seperti ini akan bertindak mengikut rasa hati mereka sahaja dan tidak bertindak mengikut keperluan bangsa-bangsa yang dipimpinnya. — aspanaliasnet.blogspot.com

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan