Sabtu, 3 Disember 2011

Kes Lembu NFC: PKR Pertikai Kenyataan Awal Polis "Bersihkan" Imej UMNO


NFC: PKR pertikai kenyataan awal polis ‘bersihkan’ imej Umno

KUALA LUMPUR – PKR mendakwa polis bertindak membersihkan imej bagi pihak Umno ekoran kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar tiada unsur pecah amanah dalam skandal projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) setakat ini.
“Mengapa mengeluarkan kenyataan (sedemikian) ketika siasatan masih dijalankan. Dan, ketika perhimpunan utama Umno sedang berlangsung?” kata Naib Presiden PKR N. Surendran dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mempersoalkan kenyataan Khalid itu sedangkan pihaknya masih belum memanggil Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang keluarganya diberikan projek itu, untuk diambil kenyataan. -TMI
Setakat Ini Tiada Unsur Pecah Amanah Dalam NFC - TKPN

KUALA LUMPUR: Tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam isu dana Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan pembelian sebuah kondominium mewah di ibu negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan sambil memberi jaminan proses itu akan dilakukan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak.

"Siasatan polis setakat ini mendapati tiada elemen pecah amanah. Namun, kita masih menyiasat secara keseluruhannya kes ini termasuk ke mana wang atau dana NFC dibelanjakan.
"Kita sudah panggil 74 individu untuk diambil keterangan setakat ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Rondaan Bersama Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia di bawah Strategi Gelombang Biru Kebangsaan di Taman Bukit Rahman Putra di sini, hari ini.
Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin, Ahli Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Robert Phang, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Md Rashid.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata siasatan masih diteruskan berhubung penahanan 13 individu termasuk warga Filipina dan Indonesia di Tawau, Sabah baru-baru ini, yang disyaki cuba menghidupkan kegiatan militan di negeri berkenaan.
"Mereka masih disiasat, sebab itulah kita tahan mereka mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana siasatan perlukan masa untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kegiatan dan rangkaian mereka.

"Kita mempunyai asas dan bukti yang kukuh untuk menahan mereka mengikut akta itu kerana membabitkan isu keselamatan negara dan rakyat," katanya. -mstar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan