Salmiyah Harun |
Insiden yang berlaku di Dewan Rakyat pada 16 Disember lalu, memperlihatkan satu sejarah hitam dalam sistem Demokrasi Berparlimen. Pakar perlembagaan Professor Dr Aziz Bari mempunyai pendapatnya tersendiri terhadap insiden itu. Harakah: Bagaimana pandangan Professor terhadap penggantungan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Dato' Seri Anwar Ibrahim dan tiga orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, Karpal Singh, Azmin Ali dan Sivarasa selama enam bulan yang diputuskan speaker Dewan Rakyat 16 Disember lalu? Professor Aziz Bari: Kita tidak persoal undang-undang asalkan ia konsisten. Dalam soal kuasa menggantung ini yang jadi masalah ialah ia tidak konsisten. Ini kerana bila ia melibatkan speaker BN ia mutlak dan mahkamah tidak boleh campur. Tapi bila melibatkan Speaker Pakatan Rakyat lain pula; seperti yang berlaku di DUN Perak di mana kuasa Speaker boleh diganggu oleh mahkamah. Apa pun Speaker, baik BN atau Pakatan Rakyat mesti adil dan tidak menjadi agen partinya; Speaker mesti ada kredibiliti. Kuasa speaker mesti digunakan dengan adil. Mereka yang waras tidak nampak bahawa tindakan Speaker itu wajar dan adil. Apa yang berlaku di parlimen berkisar kepada isu firma perunding Yahudi APCO Worldwide yang dibayar oleh BN. Sepatutnya Anwar Ibrahim diberi peluang untuk mengemukakan bukti mengenai apa yang didakwanya mengenai APCO itu. Malangnya beliau tidak dibenarkan berbuat begitu dan kemudian dihadapkan kepada Jawatankuasa keistimewaan dan terus digantung. Harakah: Kesemua yang digantung tidak diberi peluang membela diri, bagaimana Professor melihat perkara ini? Professor Aziz Bari: Sepatutnya begitulah; mereka perlu diberi peluang membela diri dan tidak dihukum tanpa membela diri. Ia lebih teruk dari mahkamah kangaroo kerana sekurang-kurangnya ia mahkamah. Dalam soal ini ia bukan mahkamah kerana pihak yang dituduh tidak langsung dibenarkan bersuara. Apa yang dikatakan sebagai hak membela diri itu sebenarnya sekadar memberi peluang kepada mereka untuk bercakap dan menjelaskan kedudukan mereka. Itu sahaja. Pelik betul, hendak mendengar itu pun BN takut. Itu sebab timbul tuduhan BN angkuh dan salah guna kuasa. Mereka boleh gantung, tapi berilah peluang kepada mereka bercakap. Harakah: Difahamkan penggantungan itu tidak mengikut prosedur sebaliknya didakwa bermotifkan politik dan bertujuan untuk mengurangkan suara Pakatan Rakyat di dalam dewan. Sejauhmana sudut pandang Professor tentang hal ini? Professor Aziz Bari: Prosedurnya mudah yakni Anwar Ibrahim dan tiga ahli parlimen lain diberi peluang membela diri dan ini memadai. Dan sebenarnya selaras dengan kedudukannya Anwar Ibrahim sepatutnya diberi ruang untuk mengemukakan bukti atas apa yang didakwanya. Aneh sangat; apa yang speaker takutkan? Apa bahayanya mendengar apa yang Anwar Ibrahim hendak katakan? Mereka, dan ini diikuti oleh Speaker, semacam begitu takut untuk memberi ruang kepada Anwar Ibrahim sedangkan BN mempunyai majoriti dalam dewan. Dakwaan motif politik timbul kerana mereka begitu kasar dan ganas apabila menangani kes ini sedangkan apabila tuduhan mengelirukan atau berbohong kepada dewan dibuat ke atas menteri Speaker tidak buat apa-apa. |
Rabu, 22 Disember 2010
Aziz Bari kata Lebih teruk dari 'mahkamah kangaroo'
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan