Sabtu, 1 Januari 2011

Ambang Sejahtera 2011 tepis pandangan serong


SUNGAI PETANI, 1 Dis: Sambutan tahun baru yang dianjurkan buat kali keduanya selepas Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengambil alih pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah berjaya menepis pandangan serong segelintir masyarakat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

"Apabila kita berada dalam majlis Ambang Sejahtera 2011 ini, saya masih teringat suara-suara yang menyatakan bahawa apabila pihak saya mengambil alih menerajui kerajaan negeri, maka program seperti ini tidak akan dianjurkan lagi.
"Saya ingin membetulkan perspektif tersebut, sebenarnya kita masih boleh mengadakan sambutan dan majlis pserti ini, cuma kita hendaklah membuat penambahbaikan dari segi pengisiannya untuk mengelak dari timbul permasalahan lain seperti pergaulan bebas dan seumpamanya," kata Azizan ketika menyampaikan perutusan tahun baru 2011 di Dataran Zero Kilometer, malam tadi.

Azizan juga turut mengingatkan golongan ibu bapa agar sentiasa menemani anak-anak yang berhasrat menghadiri majlis dan program keramaian seperti itu bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

"Telah berulang kali saya peringatkan terutamanya ibu bapa agar sentiasa mengambil tahu hal dan aktiviti luar anak-anak dan seboleh-bolehnya temani mereka kalau nak ke program seperti ni.

"Selain dapat mengeratkan kasih sayang sesama keluarga, ia juga dapat menghindari pelbagai gejala negatif yang menanti anak-anak kita bila keluar bersendirian atau ditemani kawan-kawan yang sebaya mereka," katanya.

Turut hadir memeriahkan sambutan adalah exco-exco Kerajaan Negeri dan sebahagian besar wakil-wakil rakyat dari seluruh negeri itu.

Pelbagai acara telah mewarnai sambutan kali ini termasuklah perlawanan bolasepak persahabatan di antara skuad Liga Super Kedah dan Liga Presiden Kedah pada sebelah petangnya, diikuti bacaan Yaasin perdana selepas solat maghrib, persembahan kebudayaan tiga kaum utama, persembahan pentas oleh artis-artis alternatif dan tembakan bunga api menjelang detik 12 malam yang disaksikan hampir 10 ribu pengunjung. -Hrkh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan