Ahad, 20 Mac 2011

Mahu polis lebih adil


GEORGETOWN - Polis diminta berlaku adil dan bersikap profesional menjalankan tugas khususnya ketika menahan individu yang terlibat dengan perhimpunan secara aman.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP), Ahmad Azrizal Tahir berkata, polis perlu sentiasa menjalankan tugas dengan betul kerana rakyat sedang memerhati setiap tindakan dan gerak geri mereka.

“Jangan jadikan alasan mengikut arahan dan menurut undang-undang sebagai lesen untuk bersikap berat sebelah. Seandainya kawalan keselamatan dapat disediakan untuk himpunan ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN), kami mendesak agar tiada tindakan ‘pilih kasih’ oleh polis.

“Kawalan yang sama harus diberikan untuk memastikan himpunan aman rakyat Malaysia dapat diadakan tanpa sebarang gangguan. Kenapa jika Pakatan Rakyat (PR) buat himpunan, langsung tiada kompromi sedangkan jika UMNO buat, boleh beri masa setengah jam hingga sejam,” katanya pada sidang media di Komtar semalam.

Ahmad Azrizal juga menyatakan kekecewaan terhadap penahanan dua individu oleh polis untuk diambil keterangan berhubung perhimpunan berhampiran Plaza Tol Jawi kelmarin.

“Kita kesal dengan penahanan Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, Amir Ghazali dan Timbalan Ketua Cabang Keadilan Nibong Tebal, Mohd Kamil Abu Bakar kononnya bertujuan mendapatkan kenyataan berkaitan perhimpunan itu.

“Mereka ditahan selepas perhimpunan selesai. Mereka diarahkan bersurai selepas ucapan ringkas namun masih diminta ke balai polis untuk diambil keterangan lebih empat jam,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan