Ahad, 20 Mac 2011

PGU 2: PAS Terengganu bakal buat perubahan

BESUT, 19 Mac: Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut percaya Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Zon Utara Besut/Setiu "PAS Ganti Umno" (PGU 2), hari ini merupakan satu langkah ke arah mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Selaku pengerusi panitia, beliau berkata PGU 2 merupakan program lanjutan dari Himpunan Kebangkitan Rakyat "PAS Ganti Umno" di Kemaman pada 15 Januari lalu.

Beliau percaya program kedua itu menjadi lambang kesungguhan sekaligus menggambarkan kekuatan PAS Terengganu yang akan mencipta suatu perubahan.

"Program ini adalah lambang kesungguhan sekaligus menggambarkan kekuatan yang kita mula bina bagi mencipta perubahan di negeri ini khususnya dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

"Ini sudah tentu akan membuahkan satu hasil yang memberangsangkan kepada perjuangan parti kita menuju kemenangan," ujarnya yang juga ahli parlimen Kuala Terengganu.

Perasmian PGU2 disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 2.30 petang di Dataran PGU Belakang Masjid Jertih, di sini.

Sebelumnya, sekitar jam 12.30 tengah hari, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merasmikan program Jamuan Rakyat dengan mengagihkan kepada para hadirin.

Pengarah program, Datuk Hussin Awang berkata PGU2 yang diadakan di Besut kali ini berada dalam suasana kebangkitan rakyat terhimpit dengan ketidakadilan, tekanan kenaikan harga barang, amalan demokrasi yang tempang, masalh ekonomi, politik dan birokrasi.

Beliau yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu menyifatkan kehadiran seluruh para peserta ke program PGU 2 merupakan jihad Fisabilillah kerana menentang segala kepincangan tersebut.

"Saya selaku pengarah program ini mengalu-alukan kehadiran para peserta dan ahli-ahli parti dari Pakatan Rakyat dan hadirin seluruhnya. Semoga ia diganjari sebagai amalan jihad Fisabilillah," tegasnya.

Antara pimpinan PAS negeri yang hadir ialah pesuruhjaya, Datuk Harun Taib, bendahari, Muhyidin Abdul Rashid, ketua muslimat, Safinah Jusoh dan ketua pemuda, Ustaz Mohd Nor Hamzah. -Hrkh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan