Selasa, 5 April 2011

ISA: Keluarga mahu Kadir dibebaskan segera

30 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA, 4 Mac: Keluarga Kadir Hashim, Orang Kelainan Upaya (OKU) yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini, menyifatkan penahanan tersebut sebagai zalim dan mahu pihak berkuasa membebaskan Kadir dengan segera.

Kadir, 42, yang cacat sebelah tangan sejak berusia 12 tahun, sebelum ini menjalankan perniagaan tomyam di rumahnya di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur. Beliau ditahan mengikut Seksyen 73 (1) ISA pada 1 April lalu oleh pihak polis tanpa sebarang sebab dan alasan.

KeadilanDaily mealporkan ahli keluarga Kadir yang hadir pada sidang media di Ibu Pejabat PKR tengahari tadi, mahu polis mendakwa Kadir di mahkamah, dan bukan menahannya tanpa bicara.

Hadir pada sidang media itu ialah Mah Mat Idris, ibu kepada Kadir dan dua abang kepada Kadir, Muda Hashim dan Hisham Hashim.

Muda, 46, yang kelihatan sedih bercampur marah dengan penangkapan itu berkata beliau benar-benar tidak berpuas hati dengan penahanan adiknya di bawah Akta drakonian itu.

“Saya minta kerajaan lepaskan adik saya ini dengan segera. Sekiranya dia buat kesalahan, sila bawa dia ke mahkamah. Buktikan kesalahan dia dahulu,” kata Muda yang menyifatkan penahanan adiknya itu sebagai tindakan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.

“Apabila rakyat ditahan tanpa apa-apa sebab, ini bermakna pemerintah kita cukup zalim. Negara kita tiada ancaman daripada pengganas, kenapa perlu tahan adik saya?” soal beliau.

Abang kedua Kadir, Hisham Hashim, 43, pula menyifatkan penahanan adiknya itu sebagai biadap kerana sehingga ke hari ini mereka tidak diberikan alasan kukuh penahanan Kadir.

“Ia terlalu biadab dan kami sangat sedih.

“Surat (penahanan) yang diberi sangat umum, kami mahu sebab. Saya gesa kerajaan bebaskan Kadir dengan segera,” kata Hisham.

Naib Presiden PKR, N Surendran yang hadir sama pada sidang media selaku peguam kepada keluarga Kadir kesal kerana pihak polis mengelak daripada memberi jawapan khusus berhubung penahanan Kadir.

“Tidak ada apa-apa maklumat diberi pada keluarga Kadir. Peguam cuba dapat maklumat dpd polis tapi tak ada apa-apa maklumat diperoleh. Tiada siapa tahu di mana beliau berada dan keadaan kesihatannya,” kata Surendran.

Surendran seterusnya menyifatkan penahanan Kadir tidak ubah seperti layanan negara-negara yang diperintah diktator terhadap rakyatnya.

“Ini seperti di Korea Utara, Cuba, dan Mesir. Mereka (tahanan) hilang begitu sahaja,” katanya.

Untuk membuktikan sikap acuh tidak acuh polis terhadap kes itu, Surendran menghubungi pegawai polis yang menandatangani notis penahanan, ACP Normah Ishak, sewaktu sidang media berkenaan untuk mengetahui keadaan Kadir dan tempat beliau ditahan.

Panggilan berlangsung kira-kira 15 minit, namun ACP Normah tetap enggan memberikan alasan khusus Kadir ditahan malah enggan memberitahu tempatnya ditahan.

Beliau sebaliknya meminta Surendran menulis surat kepadanya untuk bertemu secara rasmi.

Surendran memberitahu keluarga Kadir akan membuat permohonan habeas corpus di mahkamah sekiranya Kadir tidak dibebaskan.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan