KOTA BHARU, 4 April: Kerajaan negeri Kelantan telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak sebelum membuat polisi mengharamkan judi di Kelantan, kata Datuk Takiyudin Hassan kepada rombongan Presiden MCA.
"Pihak Kerajaan Negeri terlebih awal mengadakan beberapa perjumpaan dan persetujuan (consensus), pertama memanggil pertubuhan-pertubuhan masyarakat, keduanya ketua-ketua agama, dan ketiga merumuskan resolusi yang mengambil kira aspek moral dan sosial.
"Kemudian dijadikan polisi mengharamkan peremis menjual judi," kata Takiyudin dalam pertemuan di Kota Darul Naim itu petang semalam.
Preiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek bersama Ketua Pemudanya, Datuk Dr Wee Ka Siong dan beberapa pimpinan MCA lagi mengunjungi Kota Bharu semalam bagi membincangkan isu pengharaman judi di negeri itu.
Rombongan itu disambut oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub. Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan turut disertai Datuk Haji Anuar Tan Abdullah, Datuk Haji Takiyudin Hassan, Mohd Zaki Ibrahim dan lain-lain.
Dalam pertemuan ini, Takiyudin (gambar) selaku Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan telah memberikan penjelasan apa yang berlaku dalam isu judi ini.
Dalam penjelasan itu, beliau berkata, judi telah mula diharamkan di Kelantan sejak 20 tahun lalu lagi selepas beberapa siri perbincangan dibuat dengan pelbagai pihak.
Ia berbeza dengan isu arak kerana kerajaan negeri membenarkan ia dijual kepada orang bukan Islam namun judi diharamkan untuk semua pihak. Keputusan ini dicapai selepas beberapa perjumpaan itu dibuat.
Berhubung dengan dakwaan mengatakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) bertindak terhadap peniaga, sebenarnya ia dibuat bersama dengan polis selepas mendapat ‘search warrant’ untuk semua premis.
Afidavit MPKB adalah jelas berdasarkan warrant mahkamah, kata Takiyudin.
Tindakan penguatkuasaan berlaku dengan menyenaraikan tiket-tiket loteri yang didapati dijual di kedai berkenaan dan kemudian saman dikeluarkan, katanya.
"Tiga premis yang disita ialah kedai makan nasi daun pisang dan dua buah kedai buku. Mereka telah bayar compound dan tiket-tiket yang dirampas telah diserah balik," jelas beliau.
Presiden MCA pula dalam pertemuan itu menafikan laporan bahawa beliau berkata, judi adalah budaya orang Cina.
"Tujuan MCA hanya mahu penjelasan dan menegaskan bahawa MCA juga tidak menggalakkan masyarakat Tionghua berjudi dan dinyatakan perjudian bukan budaya.
"Apa yang ingin disampaikan ialah masyarakat Cina diberi hak sama ada nak berjudi atau tidak berjudi," katanya.
Apabila diminta penjelasan oleh Datuk Anuar Tan, yang inginkan penjelasan terhadap kenyataan beliau dalam surat khabar Cina pada 11 Mac, yang melaporkan "judi dengan kepercayaan agama sesetengah orang Cina”
Chua berkata, "Apa pun sumber dari surat khabar, ia bukan kenyataan tepat sebagaimana maksud sebenar."
Dr. Wee Ka Siong kemudian mencelah, “MCA sebenarnya tidak menerima judi sebagai budaya orang Cina dan perjuangan MCA hanya untuk (dapatkan) hak orang bukan Islam.” -Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan