Khamis, 20 Januari 2011

Khir Toyo Kantoi Lagi, Pingat Datuk Seri Nampaknya Dipulangkan Kekal


Selangor dakwa Shamsuddin Haryoni dapat projek RM243.77 juta

Gambar fail: Shamsuddin (kiri) dan Khir sewaktu meninggalkan mahkamah selepas mereka dituduh menyeleweng di dalam penjualan dua keping tanah dan sebuah rumah bernilai jutaan ringgit

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor, ketika di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) telah memberi lima projek secara rundingan terus berjumlah RM243.77 juta kepada syarikat milik Shamsuddin Haryoni, Majumulia Sdn Bhd.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata, pihaknya terpaksa mendedahkan penyelewengan ini bagi mengelak timbulnya spekulasi dan tanggapan buruk terhadap kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat dewasa ini.

“Lima projek itu diberi kepada pemilik Majumulia, Shamsuddin Hayroni ketika Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo menyandang jawatan menteri besar pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Katanya, Dr Khir pada ketika ini sedang berdepan dengan tindakan mahkamah berhubung dakwaan rasuah dan kerajaan negeri telah mengarahkan maklumat lanjut diperolehi melibatkan projek-projek berkenaan.

Faekah berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 16 Disember 2010 membuat keputusan supaya maklumat tentang jenis projek dan nilai projek yang diberikan kepada syarikat milik Shamsuddin didedahkan untuk pengetahuan umum.

Kelima-lima projek itu ialah:
* Pembinaan kuarters kakitangan kerajaan di Seksyen 16, Fasa 1 dengan nilai RM22.880 juta
* Pembinaan kuarters kakitangan kerajaan di Seksyen 16 Fasa 2 dengan nilai RM61.00 juta
* Cadangan merekabentuk, membina dan menyaipkan bangunan Perpustakaan Selangor Maju bernilai RM71.10 juta
* Cadangan membina dan menyiapkan jalan dari Simpang B15/B11 Lama Daerah Sepang bernilai RM73.8 juta
* Cadangan projek pembangunan sebuah stadium terbuka, sebuah pencawang elektrik, dua kebuk dan satu unit loji kumbahan atas sebahagian tapak Kompleks Sukan atas tanah kerajaan, mukim Dengkil bernilai RM14.99 juta

Sementara itu, dua lagi syarikat milik Shamsuddin iaitu Getrahome Sdn Bhd dan Kanasutra Sdn Bhd telah diberikan projek secara penswastaan.

Faekah berkata, Getrahome mendapat projek pembangunan perumahan dan perniagaan secara penswastaan atas tanah seluas 134.57 ekar mukim Dengkil, Daerah Sepang bernilai RM16 juta pada tahun 2000.

“Kanasutra pula diberikan projek cadangan pembangunan perumahan dan perniagaan secara penswastaan atas tanah kerajaan lot 5395 dan 5396 Mukim Dengkil pada 2005 bernilai RM14 juta,” katanya.

Bagaimanapun, MMKN pada 27 Januari 2010 telah membatal dan menarik balik projek berkenaan.

Ujar beliau, “pendedahan maklumat ini dibuat bagi memastikan Kerajaan Selangor dan kakitangan awam tidak dikaitkan dalam perbicaraan kes Dr Khir dan Shamsuddin.

“Ini juga sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban pentadbiran yang didokong oleh Pakatan Rakyat yang sama sekali menolak sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa di kalangan pemimpin dan ahli politik demi kepentingan peribadi,” tambahnya.

“Kerajaan Negeri berpendapat maklumat yang diberikan ini dapat membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya.

Dr Khir didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan