Jumaat, 20 Mei 2011

Nazri Dikecam Hebat Kerana Pertahankan Ibrahim Ali

Menteri 'dibelasah' kerana Ibrahim Ali

Walaupun kenyataan kontroversi berhubung "perang salib" keluar daripada mulut Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz pula sebaliknya menjadi mangsa bidasan banyak pihak kerana membiarkan dirinya diperkudakan.

Selepas memaklumkan tiada tindakan boleh diambil kepada Ibrahim kerana kenyataan seumpama itu merupakan norma di Malaysia, Nazri terus diasak pelbagai pihak, antaranya daripada pemimpin PAS, DAP dan Gerakan.
Anggota parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad menyifatkan logik Nazri itu cuba menghalalkan tindakan berdiam diri kerajaan terhadap Ibrahim.

"Ia hujah yang pelik," katanya sambil memberi amaran tindakan itu boleh membuka pintu kekacauaan dan huru-hara dalam masyarakat.

"Kita bercakap tentang terpadamnya keluhuran perlembagaan, (keadaan) tiada undang-undang sepenuhnya." [Laporan penuh]

Nazri juga turut dilaporkan berkata, walaupun kenyataan sedemikian tidak disenangi, rakyat "perlu hidup" dan "jadi matang" menangani watak seperti Ibrahim.

Tunggu darah mengalir?

Katanya, memandangkan ia turut disiarkan di laman sosial seperti Twitter, ia melangkaui keupayaan kerajaan untuk mencegah atau menghukum.

Sementara itu, anggota parlimen Klang Charles Santiago pula berkata, apa pun sentimen dalam masyarakat pada masa ini, tiada yang "seburuk ucapan Ibrahim".

"Tiada sesiapa bercakap tentang perang salib. Hanya Ibrahim yang sediakan pentas untuk orang Islam menentang orang Kristian."

Katanya, sekiranya Ibrahim terus dibiarkan tanpa dihukum, kenyataannya menyebabkan pelbagai kesan lain, seperti menghalau pelaburan asing, mengancam keharmonian, sekali gus memusnahkan konsep 1Malaysia.

Pemimpin GERAKAN Pulau Pinang Baljit Singh pula mempesoalkan sama ada Nazri menunggu "darah mengalir" sebelum mengambil tindakan sepatutnya.

"Kenyataan Ibrahim, jika dibenarkan bertukar kepada aksi, boleh mencederakan orang.

"Adakah Nazri menunggu darah mengalir baru akan mengambil tindakan yang sesuai?" tanya Baljit dengan marah.

Baljit juga menyufatkan ucapan Ibrahim itu berbaur hasutan dan boleh menyebabkan perselisihan antara kumpulan agama. -mk
Nazri: Tiada tindakan terhadap Ibrahim Ali

Tidak ada tindakan yang boleh diambil terhadap presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berhubung amarannya terhadap masyarakat Kristian kerana kenyataan seumpama itu kini sudah menjadi satu norma di Malaysia, kata menteri undang-undang, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

Tegasnya, walaupun jika kenyataan sedemikian tidak disenangi, tetapi rakyat "perlu hidup" dan "jadi matang" dalam menangani watak-watak seperti Ibrahim dan yang seumpamanya, memandangkan platform sosial dan media seperti Twitter dan blog, turut menyiarkan kenyataan seperti itu yang melangkaui keupayaan kerajaan untuk mencegahnya - atau menghukum - mereka.

"Adalah sukar untuk bertindak terhadap Ibrahim sekarang
dengan adanya Twitter dan blog... kerana kita tidak boleh memilih dalam membuat membuat pendakwaan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Ibrahim telah mencetuskan kemarahan awam apabila mengeluarkan kata dua kepada "orang Kristian yang tidak mengenang budi" sekiranya mereka meneruskan dakwaan rancangan yang menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Ibrahim membuat kenyataan itu berdasarkan kepada laporan Utusan Malaysia awal bulan ini yang mendakwa pemimpin Kristian dikatakan berpakat untuk mengubah perlembagaan persekutuan supaya seorang Kristian menjadi perdana menteri dan menjadi Malaysia sebuah negara Kristian.

Nazri berkata pengguna Twitter dan penulis blog juga telah melakukan kesalahan membuat kenyataan yang dianggap sensitif terhadap kumpulan lain.

"Jika saya mengambil tindakan sekrang (terhadap Ibrahim), saya mesti berbuat demikian terhadap semua blog dan mereka (yang membuat komen yang sama) dalam Twitter," kata Nazri.

Itu, tambahnya, akan merupakan satu tugas yang sukar kerana kerajaan akan dituduh mengekang kebebasan bersuara. -mk

Tiada ulasan:

Catat Ulasan