Muqaddimah.
1. Amanah terbesar ummat Islam ialah memelihara, mempertahan dan memperjuangkan agama Allah swt sehingga ianya tegak secara praktikal di dalam diri setiap individu yang mengaku beriman kepada Allah swt dan juga tegak berdaulat di atas tanahair mereka. Pantang mengalah sungguhpun terpaksa mendepani cabaran getir dan rintangan sengit terhadap perjalanan dan perkembangan Islam di negara ini.
2. Cabaran dan halangan yang dihadapi oleh Islam dan ummatnya di sepanjang sejarah dan tamaddunnya pula adalah merupakan sunnatullah. Justeru itu, ummat Islam digesa agar senantiasa berwaspada, bersedia, peka, sensitif dan responsif terhadap apa jua keadaan dan dimana jua berada agar pemikiran mereka tidak terpesong, keperibadian mereka tidak cela dan aqidah mereka tidak rosak.
3. Musuh pula tidak pernah lalai dan leka menunggu saat dan ketikanya ummat Islam alpa dan asyik dari amanah dan tanggungjawab mereka terhadap perintah Allah swt dan tuntutan agamaNya untuk merosakkan pemikiran, akhlak dan aqidah ummat Islam. Pelbagai ruang dan peluang akan digunakan oleh musuh - musuh Allah untuk melunas tujuan dan hasrat mereka tersebut tanpa jemu, bosan dan berputus asa.
4. Lima perkara yang sering menjadi perantara berkesan untuk membinasakan ummat Islam tanpa disedari, pula berurutan dengan kelemahan dan ketidakpedulian ummat Islam sendiri. Lima perkara yang saya maksudkan ialah "Jerat 5F":
a] Food : Makanan yang tidak halal dan memudaratkan
b] Fun : Hiburan dan keseronokan yang meleka dan melalaikan
c] Family : Keluarga yang runtuh dan berantakkan
d] Film : Filem yang membinasakan budaya, merosakkan minda
e] Fashion : Fesyen yang menjolok mata dan merangsang syahwat.
Ummat Islam Mesti Bangkit.
5. Perkembangan mutaakhir ummat Islam sangat tenat dan menyedihkan. Sukar saya mahu menyebutkan figure dan angka, lantaran perkembangannya terlalu pesat saban hari dan grafnya meningkat mendadak. Tiada siapa yang boleh menafikannya seperti kes rogol, zina, buang bayi, pelacuran, hiburan tanpa batas, pergaulan bebas, penceraian, penderaan, ragut, samun, rompak, bunuh, khurafat, riddah dan 1001 mala petaka sedang menimpa ummat Islam termasuklah fenomena menghina dan mempersenda agama Islam serta mempertikai dan menentang hukum Allah swt secara terbuka.
6. Ummat Islam selayaknya sedar dan segera bangkit untuk melakukan perubahan total dan mengembalikan semula izzah [ kemuliaan dan kehebatan ] mereka bersama Islam sebagai petunjuk dan agama yang benar. Mereka perlu lepas dari ikatan idealogi yang bertentangan dengan Islam dan budaya mungkar yang dimurkai oleh Allah swt. Ummat Islam jua mesti bebas dari pengaruh maksiat yang menjerumuskan dan perangkap riddah yang memalingkan mereka dari ajaran Islam yang suci lagi mulia.
7. Ummat Islam kini perlu dibimbing, dipimpin dan diberi motivasi agar mereka menyedari bahawa mereka adalah ummat terbaik dan mempunyai kekuatan serta kehebatan diri yang telah dikurniakan oleh Allah swt bersama agamaNya sebagai manhaj atau cara hidup yang mulia dan sempurna. Malah Ummat Islam juga mestilah menginsafi bahawa lemah dan hinanya mereka pada hari ini adalah kerana mereka meninggalkan Islam sebagai petunjuk, cara dan gaya untuk hidup. Mereka bukan lemah dan hina kerana melaksanakan ajaran dan hukum hakam Islam.
HIMPUN untuk kebangkitan dan solidariti ummah.
8. Tanggungjawab menyedarkan ummat Islam dari tidur mereka yang panjang sehingga mamai dan hilang daya sensitiviti adalah tanggungjawab semua, justeru Islam bukanlah milik ekslusif mana - mana pihak. Sebaliknya Islam adalah milik semua mereka yang melafazkan syahadatain iaitu penyaksian bersumpah bahawa tiada tuhan yang layak disembah selain Allah dan Muhammad itu adalah Rasulullah. Ertinya ummat Islam mesti bersatu dengan ikatan aqidah, menjulang panji syahadah dan komited dengan amal Islami.
9. Telah tiba masanya ummat Islam menghentikan polemik sesama sendiri, konflik yang merugikan masa depan mereka. Saling curiga mencurigai, fitnah memfitnah, tuduh menuduh, jatuh menjatuh dan khianat mengkhianati diantara satu sama lain adalah punca segala musibah yang menimpa ummah, sedang mereka mempunyai sebab yang sangat kuat untuk teguh bersatu iaitu Aqidah Islamiyyah.
10. Kalaupun ummat Islam sukar mencari titik pertemuan kerana perbedaan ideologi politik, latar belakang sosial, ekonomi, pendidikan dan sejarah silam, saya yakin ummat Islam masih berpeluang untuk bertemu dan bersatu demi kerana aqidah dan masa depan ummat Islam yang perlu kepada kebangkitan semula. Namun setiap ummat Islam mestilah ikhlas dan jujur demi untuk Islam, aqidah dan syariatnya. Bukan saling mengintai peluang untuk memerangkap dan mengenakan pihak lain.
11. Saya dan rakan - rakan dari Dewan Pemuda PAS Malaysia merakamkan setinggi - tinggi tahniah kepada Sekretariat HIMPUN yang dipengerusikan bersama oleh Tuan Hj Azmi Abd Hamid [ Teras Pengupayaan Melayu - TERAS ] dan Dr Yusri bin Mohamad [ Pertubuhan Pembela Islam - PEMBELA ] di atas penganjuran Himpunan Sejuta Ummah [ HIMPUN ] yang bakal berlangsung detik jam 2.00 - 6.00 pm pada 22 Oktober 2011 di Stadium Shah Alam Selangor Darul Ehsan.
12. Saya mengharapkan usaha murni tersebut disokong oleh seluruh ummat Islam dan saya menyeru agar ummat Islam turut hadir beramai - ramai khasnya anak - anak muda setelah saya mendapat komitmen daripada Sekretariat HIMPUN bahawa objektif Himpunan Sejuta Ummah boleh dirumus di atas 3 nokhtah :
a] Memotivasi ummah agar bangkit mempertahan & memperjuangkan aqidah .
b] Menghimpun dan menyatukan ummat Islam khasnya diatas isu aqidah
c] Sebagai satu penyataan sikap dan deklarasi ummah yang sedia berjuang
13. Himpunan hasil gabungan besar yang mencecah 1000 ngo muslim ini adalah julung kali dianjurkan dalam negara kita. Ia adalah himpunan awam yang bakal menyatukan pelbagai lapisan ummat Islam. Bermula dari tokoh - tokoh agama, pemimpin dan aktivis masyarakat, seleberiti dan mahasiswa dijangka akan membanjiri Stadium Shah Alam untuk menyatu suara dan tindakan ke arah memperjuangkan Islam serta mempertahankan aqidah ummah.
14. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengambil pendekatan serupa sewaktu menyokong gabungan lebih 6buah ngo BERSIH 2.0 yang berjuang menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihanraya negara kita. Pemuda PAS bersama dengan himpunan dan denyut nadi puluhan ribu rakyat pada 9 Julai yang lalu.
15. Insyaallah, Saya dan rakan - rakan Dewan Pemuda PAS Malaysia mengambil sikap yang sama terhadap Himpunan Sejuta Ummah pada 22 Oktober kelak . Semoga himpunan tersebut berjaya mencapai matlamat dan menepati objektif yang digariskan bersama berkat dan rahmat Allah swt. Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada semua ngo - ngo Islam yang terlibat. Kami pemuda PAS senantiasa bersama anda semua dalam meneruskan cita - cita perjuangan Islam dan mempertahankan aqidahnya di bumi bertuah ini. Selamat berHIMPUN daripada Dewan Pemuda PAS Malaysia buat semua dan hadirlah dengan niat yang ikhlas kerana Allah swt.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan