Khamis, 20 Oktober 2011

PAS ambil pendirian tidak terlibat dalam 'Himpun', hormati kehendak penganjur

Datuk Seri TG Abd Hadi

PAS memutuskan untuk tidak menyertai Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang akan berlangsung Sabtu ini atas alasan ia tidak melibatkan parti-parti politik.

Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat khas biro politik parti itu yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut malam kelmarin.

“PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program,” kata Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyaatan dikeluarkan tengah malam tadi.

Serentak itu, PAS Selangor juga mengambil pendirian tidak akan menyertai perhimpunan itu yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor bagi membincangkan isu murtad.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider awal pagi semalam, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman mengesahkan pendirian mereka.

“Sudah tentu,” kata beliau apabila ditanya sama ada ia bermakna pihaknya juga mengambil pendirian yang sama.

Dalam satu pendirian dibuat kelmarin, Dr Rani berkata PAS Selangor tidak mahu perhimpunan itu diadakan dengan niat mahu melaga-lagakan masyarakat berlainan agama.

Dalam kenyataannya, Hadi menambah, PAS memperingatkan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan ini agar bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang negara demi menjamin keharmonian negara yang berbilang kaum dan agama.

Tegas beliau, sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana- mana pihak.

“PAS memandang berat sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya,” kata beliau lagi.

Hadi menambah, agenda menyelamatkan akidah merupakan agenda murni tetapi ia mesti diurus dengan cara berhemah.

“PAS menyokong segala usaha memantapkan akidah oleh badan-badan NGO dan pelbagai pihak bagi memperkasakan akidah umat Islam,” kata beliau.

Hadi juga berkata, PAS mengambil pendirian bahawa pengukuhan akidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai sebagaimana Islam telah diterima oleh masyarakat rantau ini secara damai.

Petang semalam, Pakatan Rakyat memutuskan bahawa ia menunggu keputusan mesyuarat PAS sebelum membuat pendirian berhubung Himpun.

Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar berkata, mereka juga sedang mengumpul maklumat dari beberapa pihak berkenaan apa sebenarnya tujuan himpunan tersebut.

“Kita serah kepada kebijaksanaan PAS yang akan bermesyuarat malam ini (tadi). Kita sedang kumpul maklumat . . . adakah penglibatan pihak-pihak tertentu sama ada terlibat dengan Umno atau tidak,” katanya.

Sumber: The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan